Rabu, 27 Julai 2011

PKR TOLAK BIOMETRIC OLEH SPR DAN UMNO

Pakatan mahu reformasi pilihan raya total, bukan hanya biometric

Jelas, tepat dan betul keputusan yang diambil oleh PKR berkenaan pendiriannya terhadap SPR. Suruhanjaya ini menjadi musuh nombor satu kepada bukan sahaja kepada pembangkang tetapi rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran..

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Pakatan Rakyat menggesa kerajaan mengadakan reformasi sistem pilihan raya secara total, bukan hanya setakat memperkenalkan pindaan-pindaan kecil termasuk kemungkinan penggunaan sistem biometrik semasa pilihan raya umum ke-13.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Pakatan Rakyat juga menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib kembali kepada lapan tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

“Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat,” kata Pakatan Rakyat.

Kenyataan bersama Pakatan Rakyat ini dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Md Ramli, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong da Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Menurut Pakatan Rakyat, sistem biometrik juga akan menghapuskan proses timbang tara melalui penyertaan ejen mengundi dan ejen pengiraan dalam proses membuang undi sedia ada, yang memberi ruang kepada parti-parti politik memainkan peranan memastikan pilihan raya adalah adil dan saksama.

“Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi,” kata perikatan tiga parti komponen itu.

Malah menurut Pakatan Rakyat, kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

“Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Pakatan Rakyat juga berkata pihaknya mengalu-alukan penyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai pelaksanaan sistem biometrik, yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulang kali memang wujud dalam amalan pilihan raya di negara ini.

Sabtu lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik.

Selain itu menurut Pakatan Rakyat, langkah SPR mencadangkan pelaksanaan sistem biometrik untuk mengekang masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali adalah bukti bahawa pimpinan Barisan Nasional (BN) sekalipun tidak mampu menafikan suara rakyat yang menyertai Bersih 2.0.

“Maka, kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai. Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud,” kata Pakatan Rakyat lagi.

Pun begitu tambah Pakatan Rakyat, penerimaan terbuka oleh SPR dan BN itu diikuti pula dengan cadangan sistem biometrik yang hanya akan menambahkan masalah, bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini.

“Kosnya menelan belanja ratusan juta ringgit dan akan membebankan rakyat yang sudah pun berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi,” jelas Pakatan Rakyat.

Selain itu tambah Pakatan Rakyat, mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.

“Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang pilihan raya umum ke-13, kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

“Lebih penting lagi adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana ia dibina berdasarkan pendekatan yang salah iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah. Ini akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam pilihan raya umum ke-13,” tambah Pakatan Rakyat.

“Justeru, pendirian banyak pihak yang mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu adalah tepat apatah lagi apabila penyelesaian sedia ada melalui penggunaan dakwat kekal adalah mudah, murah dan berkesan.

“Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderungan pengundi keluar mengundi,” kata Pakatan Rakyat.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code