Khamis, 28 Julai 2011

Dr Muhammad Uthman El Muhammady VS Dr Juanda - Polemik Wahabi dan Terorisme

Kenyataan Dr Uthman untuk menjelaskan dan menerima pelawaan berdialog adalah satu yang patut diadakan demi menjernihkan kekeruhan yang sedia berlarutan dalam isu 'Wahabi dan Terorisme' di Malaysia.

Kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan ini jelas menimbulkan kekeliruan dalam kalangan muslimin di negara ini. Antara perkaitan yang jelas ialah kenyataannya itu membawa 2 maksud yang berbeza pada pandangan orang awam. Satunya ialah kesesatan Wahabi dan keduanya ialah Terorisme.

Bagi yang terkena tempias dan tuduhan secara tidak langsung akan cuba untuk mengetahui dengan lebih terperinci duduk sebenar perkara ini.

Siapakah lagi yang dimaksudkan dengan 'pakar' yang dikehendaki hadir dalam majlis dialog itu nanti tidak pula diketahui? Bagaimana bagi kita untuk menilai pakar tersebut? Ke arah manakah condongnya?

Diharapkan pada pertemuan nanti akan menghasilkan satu rumusan yang munasabah dan adil, cuma apa yang dikesalkan ialah mengapa ianya perlu kepada perbincangan secara tertutup?

Mengapakah perlu berbuat demikian sedangkan ini adalah soal akidah? Lagipun isu keselamatan negara tidak perlu dipersoalkan kerana Malaysia mempunyai anggota polis yang 'baik' untuk menguruskannya. Apa nak dirisaukan. Manakala soldadu Malaysia pula yang telah lama dibeli scorpene dan tak lama lagi jet pejuang yang dikatakan sudah uzur tanpa ada peperangan sekali habuk, memperhabiskan minyak sahaja buat latihan, masa inilah kalau nak digunakan.

Soalnya mengapa? Adakah Dr Uthman merasakan dia sudah 'tersalah cakap'? Cuma untuk mengundurkan diri terasa pula serba salahnya.

Atau kesesatan yang nyata ini jelas berlaku sehingga memang sudah sampai ke kemuncaknya?

Ada betulnya juga sebab kenyataan-kenyataan yang melalut juga sering kedengaran dari mulut Dr. Asri, malah Dr Juanda sendiri. Mereka berdua ini sering menimbulkan kontroversi dalam isu agama. Misalnya, hukum-hukum yang bersifat 'wahabi' dalam kenyataan-kenyataan rasmi mereka. Manakala isu terorisme pula ialah kenyataan berkaitan pergabungan UMNO + PAS, pengunduran Anwar Ibrahim dan banyak lagi, Mungkinkah asbabnya demikian?

Butir pertemuan nanti bakal menghasilkan satu rumusan yang dipersetujui kedua pihak. Apakah maksudnya? Adakah akan memperlihatkan masih ada persembunyian-persembunyian fakta akan berlaku? Seolah segalanya bakal ditapis terlebih dahulu? Semakin belajar agama, semakin jahil jadinya. Kerana Islam ini sangat luas ilmunya.


Wahabi: Uthman sedia temui Mufti Perlis tapi tertutup, disertai pakar

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady sedia menerima pelawaan berdialog Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

“Objektif pertemuan ialah ia mesti membawa kepada bahan perbincangan yang membawa hasil, benar-benar berdisiplin atas semangat persaudaraan,” kata beliau sambil menjelaskan, pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu bersifat tertutup dan maklumatnya tidak wajar diumumkan kepada publik.

“Saya sudah berumur, sudah (lebih) 60 tahun... saya tidak mahu bertengkar dengan sesiapa. Perbincangan seharusnya diadakan dengan penyertaan pakar dan secara tertutup, saya harap begitu,” kata beliau yang berusia 68 tahun ini.

Uthman diminta mengulas laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik Juanda yang mempelawa Tokoh Maal Hijrah itu agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mempelawanya bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”

Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar surat hari ini mempelawa Uthman, yang dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat MKN Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.

“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.

“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.

Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.

“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.

“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu... jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.

Uthman telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi pada sesi anjuran MKN di Putrajaya, Isnin lalu.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code