Rabu, 29 Januari 2014

SIAPA IMAM SYAFIE?


Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Idris, dilahirkan di Gaza pada 150H, iaitu pada hari wafatnya Imam Abu Hanifah. Beliau Wafat di Fusthath, Mesir (pada malam Jumaat selepas Maghrib, hari terakhir bulan Rajab 204H). Imam Syafie tinggal di Makkah, bersama ibunya ketika berusia 2 tahun. Guru beliau yang utama ialah Imam Malik. Imam Syafie berperwatakan berkepala botak atau jika tidak mempunyai rambut panjang kusut, dan beliau sering memakai jubah lusuh.

Keilmuan al-Imam as-Syafie diiktiraf dalam ilmu al-Quran & hadith, ilmu feqah, ilmu bahasa, sastera, nahu, danbalaghah. Beliau juga mahir dalam bersajak & mencipta syair, di samping menguasai ilmu nujum. Beliau disegani di kalangan masyarakat Arab kerana kemahiran beliau menghafal dan mempunyai pengetahuan tentang Salasilah keturunan Arab.

Ramai tidak mengetahui akan kelebihan-kelebihan unik yang ada pada al-Imam as-Syafi’e. Antaranya beliau boleh menghafal pelajaran sebelum gurunya selesai mengajar. Perjalanan ilmu al-Imam as-Syafie amat sukar. Beliau bahkan menggunakan pecahan-pecahan genting, kulit-kulit binatang kering, pelepah-pelepah pohon kurma, dan tulang unta untuk menulis hadith. Perbuatan beliau disedari ibunya lalu ibunya mengumpulkan kesemua tulisan-tulisannya dalam satu bekas.

Imam as-Syafie juga dikagumi akan kekuatan daya ingatannya sejak kecil. Beliau telah mula menghafaz al-Quran sejak umurnya 9 tahun, bahkan diberi kepercayaan untuk mengeluarkan fatwa pada usia beliau baru mnececah 15 tahun! Beliau bahkan mampu menghafal kitab al-Muwattha’ (karangan Gurunya, Imam Malik) selama 9 malam sahaja.

Kehebatan beliau dalam mengeluarkan fatwa, mencurahkan ilmu dan berda’wah kepada masyarakat menyebabkan beliau disegani seluruh masyarakat Arab di tempatnya pada ketika itu. Namun, kehebatan beliau tidak menjadikan beliau seorang yang sombong, bahkan menurut beberapa pendapat ulama’, beliau tidak pernah berdebat dengan seorang pun. Hal ini amat berbeza dengan metod yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah yang lebih mengambil pendekatan berlawan hujah (memandangkan pada zaman Imam Abu Hanifah merupakan zaman kemasukan pelbagai ajaran dan dakyah bukan Islam).

Ketokohan Imam as-Syafie tidak terhad kepada ilmu dan sumbangan beliau terhadap dunia keilmuan Islam semata-mata. Hal ini dibuktikan melalui keperibadian Imam as-Syafie yang amat kuat beribadah kepada Allah. Beliau pernah mengkhatamkan al-Quran 60 kali dalam bulan Ramadhan, di luar solat. Menurut pendapat yang lain, Imam as-Syafie sekali beliau membuka lembaran al-Quran, beliau akan khatamkannya. Katanya, “Aku malu sekali pada al-Quran jika sudah ku buka, aku tidak sampai ke akhirnya (khatam).” Imam Syafi’e pada usianya tujuh tahun, tatkala beliau membaca Al-Quran, betapa ramainya orang yang mendengar menitiskan air mata. Meskipun beliau begitu banyak amalannya, namun beliau di penghujung riwayat hidupnya masih mengatakan yang beliau masih tidak dapat menjamin dirinya akan masuk syurga atau neraka. SubhanAllah!

Pesanan Imam as-Syafi’e kepada semua penuntut ilmu:

“Selamanya tidak ada sesuatu pun yang patut disabitkan kepadaku. Tiada suatu ilmu di dalam kalbuku kecuali aku ingin ilmu itu menjadi milik semua orang.”

“Saya tidak pernah makan kenyang sejak usia enam belas tahun, kerana kekenyangan akan menambahkan berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan otak, mudah mengantuk dan malas beribadah.”

“Pergilah merantau untuk mencari kemuliaan, kerana dalam perantauan itu ada lima kegunaan, iaitu menghilangkan kesedihan, mencari penghidupan, mendapatkan ilmu, megagungkan jiwa, dan dapat bergaul dengan orang ramai.”

“Kau tidak akan memiliki ilmu, kecuali dengan enam syarat, yang akan disebutkan seperti berikut: kecerdasan, semangat waja, rajin dan tabah, berkemampuan, bersahabat dengan guru dan waktu yang lama.”

“Orang yang diangkat darjat mulia kerana ilmunya, tidak mungkin diberi harta melimpah. Kerana ilmu dan harta tidak mungkin jalan bersama.”

“Aku terjaga di tengah malam untuk menekuni ilmu, lebih nikmat bagiku daripada mendengar lagu merdu atau mencium bau wangian.”

“Seseorang yang memiliki sifat wara’, tidak akan mempedulikan keburukan orang lain, oleh kerana ia sibuk dengan keaibannya sendiri. Ibarat orang sakit, ia tidak akan mungkin menghiraukan penyakit orang lain, kerana ia sibuk dengan penyakitnya sendiri.”

“Jadilah engkau sebagai seorang faqih sekaligus sufi. Demi Allah, dengan begitu aku hanya akan setia kepadamu. Faqih itu berhati keras, tidak ada rasa takut di dalam hatinya. Sedangkan sufi itu orang bodoh; mana mungkin orang yang bodoh itu boleh jadi benar?”

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code