Isnin, 20 Januari 2014

HARAM WANITA DEDAH AURAT KEPADA WANITA? BAGAIMANA PERSOALAN FIQH INI BERLAKU....


INI BUKAN SOAL SESAMA GENRE....TAPI IA ADALAH PERSOALAN AGAMA....JENIS SAMA, AGAMA LAIN JUGA DIHUKUMKAN HARAM....BENARKAH???

Di dalam masalah ini, majoriti para ulama mengeluarkan pendapat bahawa perempuan non-Muslim tidak boleh melihat perempuan Muslim kecuali muka dan tapak tangan. Maknanya, perempuan Muslim tidak boleh mendedahkan aurat mereka kepada perempuan non-Muslim.[1]


Antara dalil yang digunakan oleh majoriti ulama ini ialah,

1)Firman Allah SWT,

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (31)

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur: 31)

Pada lafaz,

أَوْ نِسَائِهِن

Maksudnya: “atau perempuan-perempuan Islam.” Berdasarkan ayat ini, majoriti para ulama telah menafsirkan bahawa maksud ayat ini ialah merujuk kepada perempuan-perempuan dari kalangan Muslimat.

Imam asy-Syaukani menyebut, “Makna ayat di atas adalah merujuk kepada para Muslimat, bukan selain daripada Muslimat, maka haram bagi perempuan Muslim menzahirkan aurat mereka kepada perempuan non-Muslim.”[2]

2)Ubadah Bin Nusai telah meriwayatkan bahawa Umar al-Khattab telah menulis surat kepada Ubaidah Bin al-Jarrah, “Umar telah mengutus kepada aku surat, dia melarang perempuan non-Muslim masuk ke dalam tandas Muslimah iaitu bercampur tandas. Hal ini kerana, perempuan non-Muslim dilarang melihat aurat Muslimah.”

Ungkapan ini membawa maksud, bahawa perempuan Muslim tidak boleh bercampur tandas dengan perempuan non-Muslim, kerana apabila bercampur tandas, pasti ia akan dapat melihat aurat perempuan yang Muslim. Oleh itu, Umar melarang daripada bercampur tandas antara perempuan Muslim dengan perempuan non-Muslim.

3)Telah berkata Ibnu Abbas, “Tidak halal bagi aurat perempuan Muslimah dilihat oleh perempuan daripada kalangan Yahudi atau Nasrani.”[3]

Manakala ulama daripada kalangan Hanabilah (sekelompok ulama mazhab Hanbali) berpendapat bahawa aurat perempuan Muslimah dengan perempuan non-Muslimah sama dengan aurat sesama perempuan Muslimah. Maknanya aurat antara perempuan Muslimah dengan perempuan non-Muslimah ialah antara pusat hingga ke lutut sahaja, dan bahagian lain bukan aurat.[4]

Menurut Imam Fakhrurazi, “Inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini, kerana hampir tidak mungkin untuk para Muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita non-Muslimah..”[5]

Antara dalil yang digunakan oleh para ulama mengenai pendapat ini ialah,

1)Seorang perempuan non-Muslim telah datang berjumpa dengan Aisyah, iaitu dia masuk ke dalam rumah, ketika itu Aisyah tidak menutup auratnya dan tidak disuruh pula untuk menutup aurat.

2)Telah berkata Asma’ bahawa beliau telah berjumpa dengan ibunya yang bukan Islam. Dan Nabi SAW membenarkan Asma’ duduk dengan ibunya tanpa menutup aurat.

3)Tidak ada nas yang jelas menunjukkan bahawa perlu pakai hijab ketika bersama dengan perempuan non-Muslim. Dan adapun ayat,

أَوْ نِسَائِهِنَّ

Maksudnya: “atau perempuan-perempuan.” Ayat ini merujuk kepada semua perempuan sama ada Islam atau bukan Islam. Justeru, perempuan Muslimah boleh membuka auratnya di hadapan perempuan non-Muslim.

Prof. Mohammad Ali As-Saayis di dalam Kitab Tafsir Ayat al-Ahkam menyatakan, “Wanita Muslimah dibolehkan untuk menzahirkan sebahagian auratnya kepada perempuan non-Muslim, sebagaimana ia boleh menzahirkan auratnya di hadapan perempuan Muslimah. Ini adalah salah satu pendapat dari dua pendapat dari kalangan ulama Hanafiyyah dan Syafiyyah. Imam al-Ghazali membenarkan pendapat ini dari ulama Syafi’iyyah dan juga Imam Abu Bakar Ibnu al-’Arabiy.”[6]

Ada di kalangan ulama tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir. Akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak:

a) Wanita yang dikenali dengan berakhlak serta baik; boleh membuka hijab di hadapannya sama ada dia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir.

Begitu juga, jika berhadapan dengan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang Muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.[7]

Antara fatwa kerajaan Malaysia mengenai hal ini:

Tarikh Keputusan:

1 Jan, 1970

Keputusan:

Terdapat dua pendapat berkaitan permasalahan ini:

1) Harus bagi wanita bukan Islam melihat anggota wanita Islam yang terdedah pada kebiasaannya ketika menjalankan pekerjaan. Yang dikehendaki dengan anggota yang terdedah di waktu menjalankan pekerjaan ialah kepala, tengkuk/leher, lengan dan hujung betis. Dan haram baginya melihat anggota-anggota yang lain.

2) Harus bagi wanita bukan Islam melihat aurat wanita kecuali anggota di antara pusat dan lutut memandangkan kepada mereka sama-sama wanita.

Pendapat pertama adalah muktamad, namun demikian memandangkan keadaan pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain, maka pendapat kedua itu ada kesesuaian dengan keadaan sekarang ini.

Keterangan/Hujah:

Rujuk nas Hasyiyah Qalyubi juzuk 3 m/s 211[8]

Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menerima pertanyaan hukum melalui Talian Hukum yang disediakan. Di bawah ini penjelasan hukum yang diberi setelah diperakui oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Dr. Juanda bin Jaya.

Soalan:

Apakah batas aurat wanita Muslimah di hadapan wanita bukan Muslimah? Terima kasih.

Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan tentang batas aurat wanita Muslimah di hadapan wanita bukan Muslimah. Sebab perbezaan pandangan ini kerana berbeza cara faham mereka terhadap ayat dari surahal-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن …أو نسائهن

Mafhumnya: “Dan jangan para wanita itu menampakkan perhiasan (aurat) mereka melainkan kepada suami-suami mereka…atau kepada para wanita mereka.” (al-Nur: 31)

Para ulama berbeza pandangan dalam menafsirkan kalimah nisak (wanita) di sini, antaranya:

1. Dimaksudkan nisak (wanita), iaitu Muslimat sahaja.

2. Dimaksudkan nisak (wanita) kepada semua wanita sama ada Muslimat atau bukan Muslimat.

Pandangan yang lebih benar ialah harus wanita menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan Islam melainkan jika dibimbangi berlakunya keburukan yang lain seperti bimbang wanita bukan Islam itu akan menceritakan ciri-ciri tubuh badan wanita Muslim kepada lelaki ajnabi, maka pada ketika itu wajib menutup aurat tidak kira di hadapan wanita kafir atau wanita Muslimah yang rosak akhlaknya.

Antara bukti yang menunjukkan pandangan ini adalah yang lebih benar ialah harus wanita Muslimah menampakkan auratnya di hadapan wanita bukan Islam, iaitu hadis ‘Aisyah RA yang diriwayatkan olehal-Bukhari dan Muslim, yang menyebut seorang wanita Yahudi pernah menemui beliau (‘Aisyah) di dalam rumahnya, dan tidak diriwayatkan beliau menutup aurat pada ketika itu.

Al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz RH menyebut:

لا يجب الاحتجاب عنهن – أي : غير المسلمات- فهنَّ كسائر النساء في أصح قولي العلماء

Mafhumnya: “(Wanita Muslimah) Tidak wajib berhijab di hadapan wanita bukan Islam, mereka adalah sama seperti wanita lainnya berdasarkan pandangan yang lebih benar dari dua pandangan ulama yangada.”

(Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 2/582)

Oleh yang demikian, aurat seorang wanita Muslimah yang dibenarkan untuk diperlihatkan kepada wanita lain ialah aurat yang dibenarkan ketika dia bersama dengan mahramnya.

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:

لها أن تكشف لمحارمها عن الوجه والرأس والرقبة والكفين والذراعين والقدمين والساقين ، وتستر ما سوى ذلك

Mafhumnya: “Bagi seorang wanita Muslimah itu, dia boleh membuka aurat kepada mahramnya terdiri dari muka, kepala, lutut, dua tapak tangan dan hasta, dua betis dan lengan, manakala dia tutup auratyang selain dari itu.”(Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah 1/417)

Wallahu a’lam.[9]

Kesimpulannya, boleh bagi perempuan Muslimah menzahirkan auratnya kepada perempuan non-Muslim. Sekiranya, perempuan non-Muslim itu jahat, seperti mengambil gambar aurat perempuan Muslimah, kemudian tunjukkannya kepada lelaki lain yang ajnabi, menyebarkannya kepada khalayak ramai, berkehendak atau bersyahwat kepada perempuan dan lain-lain perkara yang dilarang oleh syarak.

Maka haram hukumnya menzahirkan aurat kepada perempuan-perempuan yang ada ciri-ciri tidak baik seperti yang telah disebutkan di atas.

[1] Bulghah as-Salik, 1/105, Hasyiah ad-Dusuki, 1/213, Mughni al-Muhtaj, 3/132, ad-Dar al-Muntaqo, 2/539

[2] Tafsir Fath al-Qodir, Imam Asy-Syaukani, 4/26

[3] AL-Qurtubi, 12/233

[4] Al-Mughni, 6/563

[5] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 90

[6] Prof. Mohammad Ali As-Saayis, Tafsir Ayat al-Ahkam, hlm. 164

[7] Tafsir surah an-Nur, Dr. Abdullah Mahmud Syahatah, hlm. 143-144.

EXPRESS MY GRATITUTE TO USTAZ MUHAMMAD FATGULLAH AL-HAQ

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code