Ahad, 27 Januari 2013

THE MAHATHIR DILEMMA-DILEMA MAHATHIR

INILAH payahnya jika kita rasa kita terlalu banyak menyumbang kepada negara, dan ramai yang memuja-muja kita laksana kita ini lebih dari seorang nabi. Bila kita buat salah kita akan kata orang lain lagi salah pada kita dan penyokong kita juga akan ikut sama menyalahkan orang lain.

Bila kita rasa sudah berada pada tahap yang sangat tinggi, apa sekalipun yang kita lakukan dan katakan akan dikira sebagai satu fatwa yang mesti diikuti oleh seluruh rakyat yang berada di negara yang bernama Malaysia.

Inilah Mahathir, beliau sudah begitu tinggi tahap budinya terhadap negara, tinggi jasanya, juga sudah cukup tinggi ilmu politiknya, pada perkiraannya tiada lagi yang setanding dengannya. Jadi siapa pula yang sanggup melawan pengalaman yang dimilikinya? Pendek kata semua buku politik yang ditulis orang lain banyak yang salah dan Mahathir seorang yang mampu memperbetulkannya. Bila dalam karier kita sebagai orang no 1 di Malaysia dan Agong berada di no 2, bahkan kadang-kadang tiada nombor. Kita pula tidak pernah menerima tentangan yang sengit dan tidak pernah kalah. Selama 22 tahun jadi orang no 1 di Malaysia dan rekod itu tidak mungkin dapat dipecahkan oleh sesiapapun, kerana bila saja orang lain berada di tempat yang pernah kita duduk, maka di sanalah kita akan berdiri menjadi hulubalang menari silat kiri dan kanan menikam orang yang berada di tempat kita itu. Akhirnya orang itu bakal kecundang dalam masa yang singkat saja.

Betapa hebatnya Mahathir ialah bila dia berkata dalam satu wawancara baru-baru ini yang membawa maksud sikap orang Melayu yang ada sekarang ialah bersikap 'pendengki' kerana bila sesuatu projek itu diberikan kepada orang yang berjaya, maka projek itu akan berjaya, sebaliknya jika bagi kepada orang yang gagal maka akhirnya segalanya akan gagal. Inilah prinsip 'kroni' yang dibawa Mahathir. Padahal sampai bila orang yang gagal itu mampu bangkit sedangkan peluang untuk mereka selalu kita nafikan. Analogi ini membawa kita kepada satu proses pembelajaran di sekolah. Tidak semua pelajar yang ada dalam kelas itu cemerlang, jadi bila guru hanya memilih pelajar yang cemerlang saja untuk diberikan latihan dan ujian. Maka sampai bila pelajar bodoh itu akan turut lulus dari periksa. Ini konteks dan konsep yang amat tidak adil.

Namun Mahathir tetap dengan prinsipnya bahawa sekiranya orang yang berjaya itu terusan diberi 'projek' atau 'kerja' maka ini akan menguntungkan. Kerana tidak ada kos rugi yang ditanggung atas kegagalan. Justru itu maka segalanya hanya diberikan kepada orang yang berjaya saja. Sudahnya orang gagal akhirnya terpinggir dan akan jadi 'bodoh' selamanya. Mahathir menafikan prinsip gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Tiada peluang bagi orang bodoh. Hanya layak kerja kampung saja. Kais pagi, makan pagi. Itulah idealogi Mahathir.

Akibat idealogi ini beliau masih berdendam dengan Tunku, bila beliau kalah dalam pemilihan 1969, kerana kecewa beliau tulis buku yang dikenali sebagai The Malay Dilemma. Buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris ini hanya menyasarkan kepada golongan bukan Melayu, jika tidak mengapa mesti ditulis dalam bahasa Inggeris sedangkan beliau mampu menulis dalam bahasa Melayu?

Sedar atau tidak, berdirinya Mahathir (maaf saya tidak gunakan pangkatnya untuk menyebut orang seperti ini) sebagai orang yang disanjung dan membawa perubahan ke alam Melayu kononnya berjuang atas tiket United Malays National Organisation sebuah parti berpaksikan Melayu, tapi Mahathir sendiri asalnya bukan Melayu. Namun begitulah hakikat bila sudah termakan budi dan termakan jasa. Maka apa lagi yang orang Melayu boleh buat. Habis dibalunnya sekalipun orang Melayu akan kata "tidak mengapa, kerana dia sangat berjasa kepada negara ini..."

Namun apakah ini dianggap sebagai jasa atau sebagai pengkhianatan?

Di sini saya ingin menulis kembali apa yang tercatat sebagai kebenaran yang dinafikan, saya ambil balik tulisan ini untuk kesedaran generasi yang baru yang terlalu mengagungkan Mahathir, sekurang-kurangnya siapa tidak kenal dengan jasa pengkhianatannya.

Sejarah telah merakamkan pemerintahan Mahathir sebagai satu era di mana seorang pemimpin yang dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi terbuka sanggup menipu rakyatnya dengan semangat kerakusan yang tidak ada tolok bandingnya. Mahathir sudah menunjukkan betapa rakusnya beliau di sepanjang pemerintahan nya. Cuba perhatikan proses keutamaan itu.

1. Sebaik sahaja Mahathir diterima semula oleh UMNO dia diberikan jawatan sebagai Pengerusi FIMA. Apakah yang di lakukannya selain daripada cuba memperbaiki taraf hidup penanam nanas Johor. Adakah dia berjaya? Tidak.

Kemudian dia menjadi menteri perdagangan untuk sementara. Ketika itu dia mencuba memodenkan industri penjualan 'sate', yang akhirnya menemui kebuntuan juga. Apakah bentuk pembaharuan yang pernah dilakukannya kepada industri pertanian? Tidak ada juga. Tetapi dia telah merestui pengimportan lembu muda daripada Australia untuk digemukkan dengan memberikan lebihan nanas di kilang Johor dan kemudiannya lembu itu dihantar ke Kedah untuk di sembelih sebaik sahaja Sanusi Joned membina rumah sembelihan lembu terbesar di dunia selepas 'abattoir' di Saudi.

Kalau dia benar-benar ikhlas, kenapakah tidak digalakkannya pembiakan lembu dan kambing di ladang-ladang FELDA, RISDA dan FELCRA? Malaysia sepatutnya tidak lagi mengimport daging lembu dan kambing daripada mana-mana negeri. PORIM dan juga MARDI telah mempunyai teknologi menggunakan daun kelapa sawit dan juga lebihan minyak (palm cake) sebagai makanan berkhasiat untuk ruminan dengan harga yang murah. Sebaliknya Malaysia mengimport hampir lapan puluh daging lembu tua dan daging kerbau daripada India untuk keperluan dagingnya. Sepatutnya proses pembiakan lembu kerbau dan kambing sudah menjadi perusahaan sampingan yang lumayan kepada peserta rancangan tanah di negara ini. Kalau daging kerbau yang diimport daripada India adalah hasil ternakan individu India secara kecil-kecilan, kenapakah orang Melayu di rancangan tanah tidak mampu membekalkan daging lembu, kerbau dan kambing untuk keperluan negara? Jawapan muslihat itu terletak kepada permit mengimport daging yang di monopoli oleh orang-orang tertentu yang rapat dengan Sanusi dan juga Mahathir. Sepatutnya ternakan kambing secara 'zero grazing' menjadi kerjaya utama perkampungan orang asli agar mereka tidak lagi merempat ke sana-sini mencari hasil hutan sebagai usaha utama mereka. Malahan, orang asli sepatutnya diajar projek pembiakan lebah-madu, yang mampu mengeluarkan madu yang bermutu tinggi. Kalau mereka mampu memanjat pokok yang tinggi sampai 15 meter ketinggiannya untuk mendapatkan madu lebah, bukankah sudah tiba masanya mereka diajar memelihara lebah untuk madu?

2. Malaysia masih mengimport bijiran dan jagung untuk makanan ayam, itik dan ikan peliharaan di negara ini. Apakah peliknya penanaman jagung itu sehinggakan ia tidak menjadi industri terbesar selepas getah, sawit, koko dan kopi di negara ini? Pergilah ke Peranchis, Switzerland dan sebahagian kawasan di Eropah Barat. Ladang jagung dan bijiran yang luas, ditanam dalam tempoh musim panas di Eropah. Begitu juga di Australia yang merupakan pembekal terbesar negara. Kenapakah tidak diusahakan projek ini sedangkan teknologi perairan mudah dilakukan secara menyedut air di bumi? Jawapannya kerana kapal yang digunakan untuk membawa masuk bijirin ini adalah kapal anak kesayangan seorang perdana menteri sejak dulu lagi. Malahan, satu ketika dulu ladang yang digunakan untuk menanam jagung dan ternakan lembu di Australia pernah dimiliki oleh segelintir menteri bajingan di Malaysia.

3. Begitu juga dengan projek penanaman tebu di negara ini yang bermula di Gula Perak dan menjalar ke Chuping dan Gula Perlis dan kemudiannya di Gula Bahau. Gula Perak merupakan ladang gula terbesar di dunia dalam segi pemilikan jentera 'multiple harvester'. Projek ini lingkup seperti yang pernah saya tulis dalam siri SLPM dulu. Projek di Bahau pun lingkup juga. Alasan yang diberikan ialah cuaca yang tidak menentu. Penyebab sebenarnya ialah pengurusan yang buntu dan palsu. Kemudian negara cuba menanam sejenis bunga raya di Terengganu sebagai gantian kepada tebu. Projek itu berjaya tetapi mengalami masalah tenaga pekerja untuk mengutip hasilnya. Apakah yang dilakukan oleh Mahathir untuk melindungi projek tebu dan bunga raya itu? Adakah dia mengenakan kuota kepada kemasukan gula daripada luar negara? Adakah dia membuat penilaian untuk menarik-balik monopoli pengimportan gula yang diberi sejak negara merdeka kepada Keluarga Kuok?

4. Malaysia pada dasarnya adalah negara yang kuat tradisi pertaniannya secara perladangan. Kepintaran Malaysia dalam pengurusan ladang memang sudah teruji. Tetapi Mahathir tidak memberikan penekanan kepada bidang ini kerana dia tahu dia tidak punyai peluang yang banyak untuk membalun harta negara. Dia tahu sebarang projek yang melibatkan rakyat marhaen tidak akan memberikan keuntungan sampingan. Adalah lebih baik melakukan projek yang besar-besar dengan kos yang tinggi-tinggi. Projek semacam itu tidak melibatkan ramai manusia yang boleh dijadikan kroni, malahan urusan untuk putar-belit amat mudah lagi. Kerana itu negara membuat projek yang besar-besar dan berstatus mega. Sedangkan wang yang ada sepatutnya mengembangkan teknologi pertanian agar Malaysia menjadi kukuh dalam bidang itu. Dari situ boleh dikembangkan segala bidang bio-teknologi, biologi-mikro dan segala bidang teknologi yang tercanggih di dunia. Ini pun tidak mahu diuruskannya. Dia sanggup membiarkan makmal Getah Asli di London terus di sana tanpa mengambil-alih makmal itu dan membawanya ke Malaysia peserta segala arkib penyelidikan yang ada. Dia sanggup membiarkan industri getah menjadi satu industri yang malah ataupun 'sunset industry' sedangkan getah boleh dikembangkan menjadi satu industri pembalakan yang lebih lumayan.

Di sebalik itu dia menggalakkan Malaysia membazirkan wang untuk menguruskan perusahaan padi di Afrika. BERNAS ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja itu. Di waktu yang sama orang Melayu tidak dibenarkan menanam padi yang menghasilkan beras wangi di negara ini kerana dikatakan akan mencetuskan penyakit. Muslihat sebenar ialah BERNAS mahu memonopoli pengimportan beras wangi dan menjualnya dengan harga yang tinggi di negara ini. Tinggallah petani Melayu dengan beras yang berkualiti rendah yang hanya menjadi makanan orang yang kelas bawahan semata. Kenapakah BERNAS dibiarkan membuat perdagangan seperti itu sedangkan usaha pengurusan itu mencekik bangsa Melayu? Pada 14 Januari yang lalu BERNAS membeli 30% ekuiti syarikat roti Gardenia Sdn. Bhd. dengan belanja RM54.81 juta.

Tujuan pembelian saham Gardenia itu ialah: 'selaras dengan strategi jangka panjang untuk memperkukuhkan rangkaian pengedarannya melalui usaha sama strategik dengan syarikat pengeluar produk makanan tempatan dan antarabangsa.' Demikian alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Mohd Nor Abdul Rahim, Pengerusi Kumpulan Bernas. Bolehkah masuk akal alasan itu? Siapakah yang dulu wujud di negara ini dengan rangkaian pasaran yang menyeluruh seantero negara? Bernas ataupun Gardenia? Jawapannya ialah BERNAS.

Kemudian alasan yang kedua menyebut Mohd. Nor berkata: 'Satu gagasan pengedaran tempatan yang efisien, digabungkan dengan rangkaian perniagaan antarabangsa akan membantu mengukuhkan kedudukan Kumpulan Bernas di pasaran khususnya bagi menghadapi cabaran globalisasi.' Cantik sungguh alasan itu. Tetapi, bukankah Bernas sudah lama mempunyai 'rangkaian kukuh di pasaran luar negara termasuk Thailand, China, Myanmar dan Pakistan'?

Gardenia Sdn Bhd. adalah dipunyai oleh Ben Foods (M) Sdn. Bhd. dan Gardenia International (S) Pte Ltd (GIPL). Kedua-dua syarikat ini adalah anak syarikat milik penuh QAF. QAF adalah merupakan 47 peratus milik Salim Group dari Indonesia, pengeluar terbesar di dunia bagi tepung dan mi segera dengan jenama Indomie dan Indofood. Siapakah tuanpunya Salim Group? Bukankah ini manusia yang terkenal di Indonesia sebagai pemegang proksi semua perniagaan bekas presiden Suharto? Apakah benar salah seorang anak tuan punya Salim Group adalah juga merupakan isteri kepada salah seorang anak lelaki pemimpin negara ini? Apakah kemungkinannya dengan membeli saham-saham dalam Salim Group ini Malaysia melalui Bernas berkemungkinan membeli saham-saham yang sebenarnya kepunyaan Pak Suharto dan anak-anaknya?

Apabila disebut Salim Group tentu kita teringat kisah ladang kelapa sawit yang besar-besar di Indonesia yang dibeli dengan menggunakan wang Tabung Haji dan juga Guthrie yang merupakan milik PNB. Dengan lain perkataan harta kepunyaan Salim Group di Indonesia pun cuba diselamatkan oleh Mahathir dengan menggunakan wang ringgit hasil titik peluh orang Melayu dan umat Islam di negara ini? Kemudian sudah timbul berita di Indonesia bagaimana tanah perladangan yang dibeli itu diduduki oleh orang tempatan tanpa sebarang amaran. Mereka mendakwa tanah itu dulu adalah pesaka warisan keluarga mereka. Apakah yang akan jadi dalam hal ini akhirnya. Apakah Guthrie dan Tabung Haji akan berperang dengan orang tempatan yang mengambil sebahagian tanah mereka secara sesuka hati itu?

Kerakusan Mahathir berikutnya ialah apabila dia sudah tidak lagi mempunyai jalan lain untuk membalun harta negara yang sebenarnya milik rakyat negara ini. Dia sudah seleweng royalty minyak rakyat Terengganu dengan bertopengkan konsep Wang Ihsan. Dia sudah tipu rakyat Kelantan dengan menyalurkan gas dan petroleum ke negara Thai di mana 'Terminal' (pangkalan minyak dan gas) di negara itu dikendalikan oleh anaknya sendiri. Bayangkan gas daripada Kelantan disalurkan ke Thailand dulu dan dibawa masuk ke Kedah melalui saluran paip. Kenapakah paip itu tidak dibina secara terus daripada Kelantan ke Kedah? Apakah muslihat sebenar taktik perniagaan itu. Kenapakah pihak pembangkang sanggup diam membisu dalam hal ini? Kenapakah Sultan Kelantan dan juga Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai penasihat diraja Kelantan) sanggup membisu dalam perkara ini? Bayangkan kalau gas Kelantan disalurkan ke Gurun melalui tanah KESEDAR, berapa banyakkah industri kecilan menggunakan bahan gas itu dapat dibangunkan di wilayah Kesedar untuk kebaikan ekonomi orang Melayu? Di manakah cerdik pandai Kelantan seperti Wan Azmi, Hassan KUB, Dolah Komunis, Cikgu Husin Serama dan lain-lain lagi yang sanggup membiarkan Mahathir menipu rakyat jelata Kelantan dalam hal ini? Kalaulah gas paip itu dibina secara terus sudah tentu pemasanganya dilakukan di pinggir Lebuhraya Timur Barat. Sekaligus ekonomi kawasan seperti Banding, Gerak, Klian Intan, Baling, Kulim dan sebagainya ikut meletup sama. Tetapi Mahathir tidak mahu ambil kira semua itu kerana dia mementingkan kemewahan anaknya sebagai pedagang antarabangsa yang menerima ihsan seorang bapanya. Kerana Mirzan dan adik beradiknya, Mahathir sanggup meminggirkan masa depan orang Melayu di Kelantan, Hulu Perak dan Kedah. Malangnya perkara ini masih tidak disedari oleh majoriti orang Melayu di negara ini.

Sikap kerakusan yang berlebihan itu membuatkan Mahathir memilih sekumpulan Cina yang haprak sebagai rakan niaganya. Dia seolah-olah mempelajari taktik ini daripada Suharto dengan menggunakan Salim Group yang satu ketika dulu adalah seorang pembekal makanan kecilan di kem tentera. Cuba perhatikan semua peniaga Cina yang diberi muka oleh Mahathir. Siapakah mereka sebelum itu? Pemilihan mereka oleh Mahathir adalah sesuatu yang sudah lama dibenci oleh majoriti peniaga Cina yang besar-besar. Tetapi mereka sanggup berdiam selamba kerana cuba mengolah sistem menang-menang dalam hal itu. Mereka membiarkan sahaja taktik yang digunakan oleh Kumpulan KEJAM (Kelab Elit Jin Alam Mahathir) untuk mempunyai hampir semua projek mega di negara ini dengan harga kontrak yang berlipat kali ganda tingginya daripada harga pasaran. Mereka tahu ahli perniagaan Cina kecil-kecilan dapat menumpang kenikmatan besar yang diberikan oleh Mahathir kepada Kumpulan KEJAMnya. Kini, hampir semua (saya ulang balik perkataan SEMUA) projek mega yang ditaja oleh Mahathir dengan wang rakyat marhaen dan diberikan kepada Kumpulan KEJAM itu sudah lingkup. Siapakah yang akan merana dan menanggung bebannya kalau bukan rakyat Malaysia juga?

Kelentongan Mega

Ada satu peribahasa Cina: 'Kalau tahu curi makan, mesti tahu sapu mulut.' Mahathir amat faham akan bidalan Cina ini. Kerana itu dia galakkan projek 'Malaysia Boleh'. Ini yang membuatkan MGG Pillai sebut Malaysia sudah bertukar menjadi 'Bolehland'. Saya terjemahkan dengan panggilan 'Darulboleh'. Untuk melalaikan rakyat marhaen agar terus berangan-angan Mahathir anjurkan projek 'Malaysia Boleh' seperti mengelilingi dunia secara solo dengan kapal layar, mendaki Everest, Terjun di Kutub Utara dengan Proton Wira dan Terjun di Kutub Selatan. Semua ini adalah kerja bodoh kerana ia membabitkan wang rakyat marhaen. Apa faedahnya yang boleh dinilai sekarang? Berapa ramaikah anak Malaysia yang memenangi pingat di Olimpik setakat ini? Berapa ramaikah saintis Malaysia yang memenangi hadiah Nobel?

Disebabkan Projek Malaysia-Boleh, kita lihat semalam Universiti Kebangsaan menaja pembikinan lemang terpanjang untuk dimasukkan dalam Buku Rekod Malaysia. Alangkah bodohnya kerja itu sehinggakan sampai ke tahap pemikiran orang di menara gading. Di waktu yang sama ada rakyat miskin di Kedah yang masih tidur dalam bekas kandang kambing (di Alor Star). Ada rakyat Kedah yang cacat yang terpaksa diusung dengan besen plastik kerana usaha mendapatkan kerusi roda daripada kebajikan masyarakat ditolak sebanyak empat kali. Begitu juga dengan keadaan seorang pelajar yang masih belajar dan tidak diberikan kerusi roda. Apabila kisahnya dijadikan perhatian umum, berlarilah menteri besar Kedah dengan satu kerusi roda dengan iringan kamera TV untuk menunjukkan keihsanannya.

Di Kedah, kalau kita mahu lihat keadaan orang kampung yang susah-susah pergilah ke Baling dan masuklah kampung di situ dan lihatlah berapa daifnya kehidupan mereka. Malahan, kalau kita pergi ke kawasan setinggan di sekitar Alor Star kita tidak akan percaya bahawa kumpulan manusia yang daif begitu boleh wujud sedangkan itu adalah negeri Kedah, negeri kelahiran seorang perdana menteri.

-tulisan di atas sumbangan marhaen tua.


Kisah terbaru yang mendalangi perubahan politik Malaysia ialah bila tanpa segan dan silu beliau telah mengaku memberi IC kepada warga asing di Sabah, namun sekali lagi beliau menyatakan bahawa pemberian itu adalah mengikut undang-undang. Padahal semua orang tahu peristiwa ini. Zaman menutup perbuatan jahat kerajaan sudah berakhir, jika dulu semua rahsia kerajaan disembunyikan dengan mudah dari pengetahuan rakyat, tapi kini segalanya terlondeh dengan senang. Pemberian IC itu pula jatuh betul-betul waktu hampir pilihan raya.

Sekali lagi Mahathir berjaya menyerap tekanan dengan mengatakan sekiranya dia salah maka Tunku juga bersalah kerana memberikan kerakyatan percuma kepada sejuta warga asing termasuk Cina dan India. Jadi menurutnya, kesalahan yang dilakukannya adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan Tunku.

Inilah kehebatan penipuan Mahathir dan kebijakannya 'membelit' seluruh orang Melayu yang bodoh dan masih mengangguk-angguk kepala menyatakan yang mereka semua bersetuju dengan cara Mahathir. Beliau tanpa rasa bersalah sedikit pun dan masih tetap ego.

Pengaruh orang Cina dan India yang ada di Malaysia kini mengikut tafsiran Tun Dr Mahathir adalah berpunca dari Tunku Ab Rahman. Beliau menegaskan betapa ketika itu Tunku telah memberikan kerakyatan kepada warga asing secara tidak sah. Saudara nilailah sendiri kenyataan Mahathir ini sedangkan saya telah ulas kenyataannya bahawa Tunku beri untuk menebus kemerdekaan dari British, sedangkan Mahathir untuk pertahankan kuasanya.

Jika ingin diulas dengan persepsi yang agak dalam bagi saya, Tunku juga sebagai seorang yang terpaksa dan terdesak, bukan tidak bijak, bukan tidak cerdik tapi kerana mengelak dari berlakunya perang antara rakyat dan penjajah. Akhirnya Tunku akur dan 'terpaksa' sanggup gadaikan maruah bangsa dan memperakukan orang asing kerana desakan kemerdekaan. Orang Melayu ketika itu tidak mampu berperang dengan British. Bahkan dilema yang terjadi ketika itu juga ialah orang asing pada masa itu sudah tidak ada tempat untuk mereka pergi, nak balik ke negara asal. Mustahil. Inilah keadaan sebenar pada masa itu.

Keadaan orang Melayu pada ketika itu juga terdedah dengan berbagai ancaman seperti kumpulan berhaluan kiri, serta komunis. Jadi kedaulatan negara pada masa itu dalam keadaan yang amat payah dan desperate. Jalan yang Tunku ambil itu adalah jalan tengah yang ada simpang-siurnya. Sangat tidak adil bagi menutup kesilapan, Mahathir terpaksa mengheret Tunku ke lembah yang hina sepertinya.

Saya ingin kemukakan kembali tulisan Mahathir dalam bukunya The Malay Dilemma yang mentakwilkan "AMUK" menurutnya:

"Amuk" adalah sepatah perkataan Melayu. Perkataan ini sekarang difahami orang di seluruh dunia. Tidak ada sepatah perkataan lain yang dapat memberi huraian mengenai 'amuk'. Dan sebabnya nyata sekali — kerana `amuk' itu menerangkan satu lagi sifat Melayu. `'Amuk' merupakan curahan perasaan jasmaniah mengenai konflik yang terdapat di dalam diri orang Melayu yang timbul disebabkan pematuhan yang terus-terusan terhadap undang-undang dan peraturan dalam kehidupannya. Mengamuk merupakan akibat daripada kegetiran dalam hatinya yang meluap-luap dan melimpah ruah. Mengamuk merupakan putusnya ikatan yang mengikatnya. Itulah pelepasan diri yang terakhir dan yang selengkapnya dari segi latihan dan pertimbangan akal fikiran. Tekanan dan kongkongan terhadap dirinya telah dilepaskan, maka dia sudah tidak mempunyai tanggungjawab lagi. Tidak ada suatu apa yang penting. Dia bebas lepas. Ikatan dengan masa lampau sudah putus dan masa depan tidak mempunyai apa-apa makna. Yang pentingnya hanyalah sekarang. Dengan pengertian biasa dia naik darah. Dalam keadaan tidak sedarkan diri itu dia menyerang secara membabi-buta. Sifatnya yang pemalu, merendah diri itu telah berubah. Dia sekarang menjadi harimau — kejam, tidak berperasaan dan mahu memusnahkan semua. Akan tetapi, peralihan dari orang Melayu yang sopan-santun dan merendah diri kepada pengamuk itu selaluny amerupakan proses yang sangat perlahan. Proses ini tersangat perlahan hinggakan kadang-kadang peralihan ini tidak berlaku langsung. Dia mungkin akan mati sebelum pergolakan dalam dirinya ini meletus.

Sekarang mengamuk hanyalah menjadi legenda. Peradaban telah menundukkan orang Melayu. Dia masih menyimpan perasaan dendamnya tetapi dia dapat mengawalnya dengan lebih baik. Dengan itu, dia sudah menjadi orang yang lebih baik kerana sifat itu. Namun begitu, sifat ini masih menjadi sebahagian penting dari peribadinya, satu sifat asas dalam perwatakannya.

- The Malay Dilemma


Dari tulisan tersebut amat terang bahawa sekarang Mahathir sendiri sedang mengawal amukannya, beliau sendiri seorang yang sangat pendendam. Mahathir kini dalam dilema yang diciptakan sendiri. Apakah wajar kita hormatinya sebagai wira? Atau hormati sebagai seorang manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan, atau sebagai seorang bajingan yang tyranny dan perlukan hukuman.....atau sebagai syaitan yang dikenali? Sekian.



PAKDOE ALLAN



0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code