Rabu, 29 Ogos 2012

KELANTAN DAN PERGOLAKAN POLITIK 1970AN

sambungan dari...

Peristiwa Kelantan sama sekali tidak terlepas dari andaian ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Kelantan merupakan kubu Parti Islam yang paling pejal. Oleh yang demikian, kepejalan itu mesti dileburkan, sekurang-kurangnya dilumpuhkan atau pun dilemahkan. Itulah juga apa yang berlaku sepanjang dua kali pilihan raya - 1964 dan 1969 - iaitu sebelum kita memasuki Barisan Nasional. Jawapan terakhir bagi segala percubaan dan sepak terajang itu diberikan oleh rakyat sendiri.

Dengan lahirnya Barisan Nasional maka pilihanraya tahun 1974 adalah merupakan pilihan raya yang bersejarah. Suasana pilihan raya berjalan lancar dengan tenteram, tidak terdapat lagi ugutan dan tangkapan oleh pihak berkuasa sebagaimana pada beberapa pilihan raya sebelumnya. Masing-masing pihak berusaha memberikan kerjasama dan menunjukkan kejujurannya sama ada dengan ikhlas atau tidak.

Dalam pilihan raya ini Barisan Nasional memperoleh kejayaan 100% di Kelantan dan sebagaimana pada era sebelumnya PAS tetap memiliki majoriti yang menentukan dalam Dewan Undangan Negeri.

Rakyat di Kelantan telah meletakkan harapan yang sangat besar kepada Barisan Nasional dan mereka turut merasa berbahagia atas bercantumnya dua golongan masyarakat PAS dan UMNO, bagi sama-sama mencurahkan khidmat bakti kepada mereka. Mereka mengimpikan akan dapat melihat berjayanya pembangunan jasmaniah dan rohaniah yang seimbang, menuju matlamat bersama: Kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Era ini dikenal sebagai era 'action-oriented', dan sebagai pemegang saham terbesar dalam Barisan Nasional di Kelantan, PAS merasa dirinya berkewajipan mengemukakan muka-muka yang benar-benar mempunyai keupayaan bagi menjalankan tugas dan amanah suci membentuk kerajaan untuk menghadapi cabaran zaman, dan PAS membuat pilihan sesuai dengan ketentuan dalam perlembagaan PAS sendiri dan selaras dengan semangat Barisan Nasional atas keyakinan terhadap kejujuran yang diharapkan dari semua pihak.

Pembentukan kerajaan di semua negeri di Semenanjung telah berjalan dengan lancar dengan tidak ada sesuatu masalah pun yang timbul, termasuk pembentukan kerajaan di Pulau Pinang oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia atas nama tiket Barisan Nasional.

Tetapi malangnya, tidak demikian halnya dengan pembentukan kerajaan di Kelantan. Suatu masalah yang rumit telah timbul. Sengaja ditimbulkan oleh satu golongan tertentu. Atas nasihat dua orang tokoh UMNO Kelantan yang mempunyai ambisi besar, pimpinan Barisan Nasional telah menolak pilihan PAS, yang tentu saja dengan seribu satu alasan yang sengaja dicari-cari. Dan untuk pengetahuan kita bersama, salah seorang dari tokoh yang dimaksud itu, sekarang ini sedang diamankan kerana dianggap terlibat dengan kegiatan komunis yang mengancam keselamatan negara yang kita cintai ini.

Kita telah berusaha mengadakan rundingan dengan pihak pimpinan Barisan Nasional di Kuala Lumpur untuk memecahkan kebuntuan ini dan seterusnya kita diminta datang ke Kota Kinabalu untuk melanjutkan perundingan, kerana kebetulan dengan kunjungan pimpinan Barisan Nasional ke Sabah. Demi untuk menghormati semangat Barisan Nasional kita memenuhi panggilan ke Kota Kinabalu, tapi di sana kita hanya untuk mendengar bahawa perbincangan ditangguhkan hingga kembali di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya ada tokoh-tokoh yang menasihatkan supaya perundingan jangan dilanjutkan sebelum berjumpa dengan mereka, dimana mereka telah mengemukakan pencalonan Datuk Haji Mohammad bin Nasir dari PAS kepada pihak pimpinan Barisan Nasional untuk membentuk dan memimpin kerajaan Kelantan. Pencalonan itu diterima dan direstui oleh pimpinan Barisan Nasional, dan Datuk Haji Mohamad Nasir sendiri juga menerima pencalonannya, walaupun sebelumnya beliau telah menyatakan kepada pihak Perhubungan PAS Negeri Kelantan bahawa beliau tidak ingin dicalonkan untuk memegang sesuatu jawatan.

Bagi kita hal ini adalah merupakan ujian pertama terhadap survival Barisan Nasional yang kita sendiri ikut membinanya itu. Demi untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dengan perasaan yang terlalu pahit PAS sekali lagi terpaksa memberikan pengorbanan yang menyinggung kewibaannya sebagai satu parti politik yang mempunyai identitinya sendiri. Fait a comply dihadapkan kepada kita. Dan kita terima perlantikan Datuk Haji Mohammad bin Nasir menjadi Menteri BesarBarisan Nasional di Kelantan.

Sesudah perlantikan berlangsung, kenyataan yang pertama dari beliau ialah: 'Saya bukanlah Menteri Besar lantikan dari PAS, tapi saya adalah Menteri Besar lantikan dari Barisan Nasional' dan sejak dari itu bermulalah suatu sejarah baru bagi kerajaan Kelantan, yang klimaksnya sebagaimana yang sudah diketahui bersama.

Selepas kerajaan Barisan Nasional ditubuhkan, minat dari pihak penghancur tetap tidak berubah. Manouvre politik dibuat untuk melemahkan PAS, parti yang memerintah negeri. Salah satu yang menonjol ialah buku 'Politik dan Dilema Pembangunan Kelantan' yang diterbitkan tidak berapa lama selepas Kerajaan Barisan Nasional dibentuk. Buku itu mendedahkan keberanian mereka, dan keberanian tersebut dibuat mungkin atas perhitungan bahawa PAS sudah hampir musnah akibat perpecahan yang berlaku. Buku itu terang dan jelas membawa mesej UMNO yang pertama dikemukakan dalam pilihanraya 1964 dan kemudiannya dalam tahun 1969. la juga dengan beraninya mendedahkan siapa dan siapa yang terlibat di sebalik penyusunan buku itu.

Dari satu aspek lain, Kelantan merupakan gelanggang pertarungan dari dua penjuru dalam bentuk yang berasingan. Satu penjuru adalah pertarungan terbuka antara PAS dan UMNO - Perikatan. Pihak PAS mempertahankan diri dalam pertarungan ini, sementara pihak UMNO bermati-matian untuk merampas negeri itu dari tangan PAS. Dari segi lain, pertarungan sesama sendiri dalam perebutan kuasa dalam pimpinan UMNO Pusat. Negeri Kelantan secara kebetulan dijadikan medan perjudian kerana ada di antara pemimpin UMNO yang berasal dari Kelantan dikatakan mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin negara suatu masa kelak. Dengan erti kata lain, gelanggang Kelantan boleh menentukan masadepan pucuk pimpinan negara Malaysia.

Bagi mencapai maksud besar tersebut, PAS tidak dapat tidak mesti dihancurkan. Hanya melalui puing-puing kemusnahan PAS itu barulah boleh dijadikan tapak melangkah dan pengkalan bergerak untuk belayar bagi menuju dan mencapai pulaunya. Cumanya mereka silap perhitungan, kerana perebutan pengkalan tersebut tidak semudah yang dijangkakan, dan lambat laun bisa menenggelamkan kapal mereka sendiri.

Apabila Barisan Nasional ditubuhkan, maka terbukalah suatu peluang bagi mengeksploitasikan kelemahan pimpinan Kerajaan Negeri sebagai alat menghancurkan kekuatan PAS dari dalam. Mereka menggunakan senjata kita sendiri. Patutlah diakui dengan terus terang bahawa dengan senjata barunya kali ini menyebabkan berlakunya semacam kejejasan dalam beberapa aspek perjuangan PAS, terutama Kerajaan Negerinya, pimpinan dan pemimpinnya.

Tetapi Allah S.W.T. maha mengetahui dan maha adil kerana walaupun demikian, namun para pengikut PAS masih bersifat 'teras' dalam perjuangan dan pantang mundur, apabila mereka pantang mundur dalam saat-saat yang paling genting seperti ini, maka mereka layaklah dianggap sebagai panglima-panglima jihad yang tulen. Ujian yang paling baik dapat ditentukan dengan dua keadaan, keadaan susah dan keadaan senang-lenang. Banyak orang yang tahan menghadapi ujian kesusahan, tetapi jarang orang yang tahan menghadapi ujian kesenangan. Apabila kedua-dua ujian itu kita mampu menghadapinya, maka merekalah mujahid yang sebenarnya.

...dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahuludaripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta. Al Ankabut : 3

Pihak yang berwajib yang bertanggungjawab dalam PAS sedar bahawa keadaan yang demikian jika dibiarkan berpanjangan, akan melumpuhkan perjuangan PAS dalam jangka pendek dan jangka panjangnya. Mereka telah berusaha menyelamatkan keadaan. Tidak ada lain maksud, kecuali menunaikan tanggungjawab penyelamatan itu. Mereka lalu berusaha menukarkan pimpinan kerajaan yang nyata bukan saja telah diperalatkan malah menyeleweng dari khittah perjuangan parti.

Mungkin ada pihak yang menimbulkan masalah 'masa' dan 'cara' dalam tindakan ini. Tetapi, 'masa' ini adalah paling baik dari masa-masa yang lalu dipandang dari perspektif perpaduan PAS, dan jika ditunggu lebih lama lagi, menurut perhitungan kita; jarum-jarum yang dicocokkan itu akan bertambah kukuh dan sendi tulang Kerajaan dan perjuangan PAS akan semakin lemah. Faktor-faktor yang timbul dari tindak tanduk yang berlaku ini dirumuskan dan didapati bahawa 'masa' ini adalah sebaik-baiknya, sekurang-kurangnya paling baik dari masa-masa yang tidak baik sebelum atau sesudahnya.

Demikian pula mengenai cara, bahawa dalam sesebuah negara demokrasi seperti yang diamalkan di negara ini, maka 'cara' yang kita buat adalah berlandaskan asas tersebut. Tidak dapat disangkal bahawa ini adalah keras, tetapi tiada pilihan lain dalam konteks tindakan ini. Kita dapati ketebalan pengaruh musuh ke atas 'orang kita' yang telah diperkudakan itu, adalah sukar untuk dikikis lagi. Pengaruh mereka sudah menjunam mencengkam ke dalam diri orang yang berkenaan, sehinggakan sudah sampai ke tahap sanggup menghancurkan Kerajaan PAS itu sendiri yang diperjuangkan olehnya dan oleh ahli-ahli PAS sejak sebelum atau pada mulai tahun 1959 itu. Yang mau diselamatkan nampaknya ialah dirinya sendiri dengan alasan apa yang di namakan kepentingan rakyat Kelantan. Semua ini kita ukur sebaik-baiknya.

Ketepatan ukuran dan perhitungan ini dibuktikan sendiri oleh Datuk Haji Mohammad bin Nasir bila beliau mengakui satu persatu sewaktu mesyuarat Jawatankuasa Agung pada 26 September, 1977. Beliau berkata, memang beliau berusaha memujuk dan menawar orang-orang PAS agar menyokongnya dalam pengertian tertentu “agar menyelamatkan dirinya”. Mendengar pengakuan ini, lebih-lebih lagi apabila beliau didapati tidak menunaikan janji dan ikrar untuk sama-sama menghadiri mesyuarat pada 29 September itu, juga ikrar damai yang diputuskan dalam sidang 26 September, maka saya sebagai yang Dipertua Agung, tidak ragu-ragu lagi untuk memberi undi pemutus pada mesyuarat 29 September.

...dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum
Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
Al Hujurat : 9

Sebenarnya mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Agung pada 26 September itu, setelah mengkaji dan berbahas dengan panjang lebar, telah mengambil keputusan dengan sebulat suara bagi menyelesaikan krisis PAS Negeri Kelantan itu dengan penuh rasa muhibbah dan ukhuwah Islamiah dan pihak yangbertentangan telah dengan rela hati bermaaf-maafan dan berdamai (sulh) yang mengandungi makna yang sangat tinggi nilainya dalam konteks perpaduan dan perjuangan, di mana pihak Datuk Haji Mohamad bin Nasir diminta menarik balik semua tuduhan yang dihadapkan kepada pemimpin-pemimpin dan parti PAS dengan cara terbuka; sementara pihak ahli-ahli Dewan Negeri PAS Kelantan dan Perhubungan PAS Kelantan menarik balik usul undi tidak percaya terhadapnya. Dan dengan demikian langkah memecatnya pun tidak akan diteruskan.

Datuk Haji Mohamad telah meminta tempoh sehingga 29 September untuk membuat pernyataan itu. Dalam tempoh tersebut telah dipersetujui bahawa kedua-dua pihak tidaklah dibolehkan membuat sebarang kenyataan akhbar atau berucap di mana-mana majlis bagi mengelakkan daripada berbangkit semua persoalan itu. Mesyuarat tersebut ditamatkan dengan salam bersalaman yang penuh mesra.

Tetapi malangnya janji dan ikrar bersama pada 26 September itu telah dinodai oleh beliau sendiri, dengan kenyataan-kenyataan akhbarnya dan ucapannya kepada pelajar-pelajar di Kuala Lumpur pada 27 September, juga ucapannya dalam sebuah rapat umum di Pasir Mas pada 28 September.

Semuanya ini merupakan bukti-bukti yang nyata bagi sesiapa sahaja yang dengan ikhlasnya ingin mencapai penyelesaian apa lagi jika kita kembali mengingatkan pengakuan seperti yang saya sebutkan terdahulu dari ini, pengakuan mana telah dilakukan di hadapan mata dan telinga ahli-ahli jawatankuasa kerja agung sendiri, walaupun ada di antara mereka yang hadir itut etap tidak setuju beliau dipecat.

Jawatankuasa agung telah mengambil langkahnya dengan penuh cermat dan teliti hatta terpaksa mengakui kesilapan tekniknya sendiri dalam menghitung jumlah undi dan terpaksa mengadakan mesyuarat semula bagi membetulkan kesilapan teknik itu. Saudara-saudara yang hadir pun sedia maklum betapa soal kesilapan tekniktelah dijadikan ejekan oleh setengah-setengah pihak tertentu, tetapi demi untukmencapai penyelesaian yang jernih dan bersih, Jawatankuasa Kerja Agung denganberani menghadapi segala-galanya.

Berkait dengan soal pemecatan Datuk Haji Mohammad bin Nasir dari ahli PAS ada suatu perkara yang menarik perhatian yang mungkin jika tidak diberi penjelasan akan memperliar lagi tohmah dan tuduhan terhadap pemimpin PAS, iaitu mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pusat Dewan Ulama PAS pada 9hb Oktober 1977, yang telah membuat keputusan berhubung dengan pemecatan tersebut, di mana mesyuarat Jawatankuasa Agung pada 19 Oktober 1977 telah membuat keputusan yang berlawanan dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Dewan Ulama itu. Akibatnya telah menimbulkan tuduhanbahawa Jawatankuasa Agung PAS tidak mengendah dan mengenepikan nasihat dari Dewan Ulama PAS sendiri, dan beberapa orang ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat telah meletak jawatan masing-masing.

Terlepas dari persoalan teknik tentang adanya mesyuarat Dewan Ulama itu, saya terpaksa memberi sedikit penjelasan tentang fungsi Dewan Ulama di dalam PAS. Sebagai badan Ulama yang sama-sama kita hormati, ianya telah diberi suatu fungsi yang amat penting sebagai tempat meminta atau memberi nasihat atau pendapat di dalam masalah hukum-hukum Islam, agar PAS sebagai sebuah parti politik Islam dalam perjalanannya tidak terkeluar dari landasan Islam. Demikianlah ketika sebelum kita memutuskan di dalam muktamar khas dahulu, sama ada bersetuju atau tidak menyertai di dalam kerajaan campuran yang terdiri dari berbagai-bagai golongan kaum dan agama, maka kepada Dewan Ulama telahdirujukkan untuk mendapat pandangan yang sahih dari segi hukum Islam, Maka
Dewan Ulama dengan penuh tanggungjawab telah menjalankan tugasnya mengkaji secara mendalam, sesuai dengan kehendak hukum Islam, yang akhirnya memberikan pendapat bahawa menyertai kerajaan campuran adalah"harus" (mubah). Dengan berdasarkan pendapat itu muktamar khas PAS telah membahas dengan panjang lebar pula dari segi politik dan implikasinya di mana akhirnya muktamar khas itu telah mencapai keputusan bersetuju PAS ikut serta di dalam kerajaan campuran di semua peringkat. Amanah dan tanggungjawab yang dilakukan oleh Dewan Ulama itu sesuai dengan kandungan perlembagaan PAS fasal 40 ceraian (2) mengenai tugas dan tanggungjawab Dewan Ulama.

Adapun berkenaan dengan pemecatan ahli, segala syaratnya telah dijelaskan dengan terang di dalam Perlembagaan PAS dengan kaedah, aturan dan sebagainya. Berdasar kepada kehendak-kehendak Perlembagaan itu, PAS di dalam sejarahnya pernah mengambil langkah-langkah disiplin terhadap ahlinya, ada yang digantung keahliannya di dalam tempoh tertentu, dan ada pula yang dipecat terus dari ahli. Langkah-langkah seperti itu tidak pernah menimbulkan sebarang keraguan dan kesangsian. Sebab sebagai sebuah parti politik, disiplin adalah merupakan perkara yang amat mustahak bagi menjamin agar pertubuhan itu tidak dikhianati, dihancurkan atau terjejas. Langkah disiplin terhadap seseorang ahli PAS seperti yang telah diambil terhadap Datuk Haji Muhammad bin Nasir merupakan setakat ini kemuncak dari langkah jaminan menyelamatkan parti. Kekeliruan di dalam mentafsirkan perlembagaan oleh sebahagian dari kita adalah
perkara biasa. Demikianlah anggapan saya tentang kekeliruan mentafsirkan fasal 40 ceraian (2) Perlembagaan PAS itu.

Sebagai anggota parti politik kita haruslah dapat memahami persoalan ini dengan jujur dan amanah. Penterjemahan kita terhadap fasal-fasal di dalam Perlembagaan kita hendaklah dirangkaikan dengan pandangan yang luas dan menyeluruh terhadap kandungan penuh Perlembagaan itu sendiri. Allah tetap memelihara dan menguatkan pertubuhan kita selagi kita sanggup diikat oleh nizam yang kita sendiri berpegang di dalam lingkungan perjuangan yang lebih luas dan suci.

Dengan suluhan-suluhan yang awal dan kemudian terbukti tepat inilah maka ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan membuat keputusan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Kelantan itu.

Surat kata dua itu sesungguhnya masih bersifat rahsia. Tidak ada sesiapa yang tidak berkenaan mengetahuinya. Tetapi pada 14 September, menjelang HariRaya Puasa yang keramat, Datuk Haji Mohammad Nasir rupa-rupanya telah mendedahkannya kepada pihak akhbar. Pendedahan tersebut dikepilkan dengan tuduhan-tuduhan yang mengandungi fitnah jahat. Tuduhan-tuduhan lapuk itu pernah beberapa kali dibangkitkan oleh musuh-musuh politik PAS pada masa lalu.

Oleh kerana tuduhan dan fitnah tersebut sangat berat serta membabitkan nama baik pimpinan PAS dan mengancam kredibiliti Kerajaan PAS Kelantan dan pemimpin-pemimpinnya selama ini, kecuali Datuk Haji Mohammad Nasir yang sebelum ini pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar selama dua kali pemerintahan; maka sebagai yang Dipertua Agung dan juga sebagai Menteri Besar dulu, saya telah menjawab bagaimana tersiar dalam akhbar-akhbar dua hari kemudiannya.

Jawapan dalam akhbar-akhbar tentu tidak sepenuhnya tersiar dan dalam gelombang yang sedemikian hebat tentu tidak mendapat perhatian yang sebaik-baiknya. Kerana itu izinkanlah saya memberi jawapan secara lebih teratur kepada para perwakilan sekalian tentang tuduhan fitnah itu dan hakikat disebaliknya.

-bersambung...

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code