NAMPAKNYA, perang siber menjelang PRU 13 kian galak bertempur di medannya tersendiri, komponen kerajaan dan pembangkang masing-masing punya agenda menjatuhkan pihak lawan dengan senjata dan peluru tersendiri. Ada menangkis, ada menyerang. Hebat dan gamat sekali bak langit menimpa bumi, bagaikan halilintar membelah gunung.
Setiap kelompok pasukan ada peminatnya sendiri, ada musuhnya tersendiri, kreativiti dan ilusi admin pula berbagai warna dan corak untuk menampilkan persembahan yang bermutu lagi jitu. Entri pula berbagai laras dengan berbagai pula ragam bahasanya, ada bahasa loghat, ada bahasa pasar, bahkan ada bahasa yang langsung tiada dalam kamus tatabahasa dewan dan kamus dewan turut menyerikan lagi persada pemblogan ini.
Lagak ngeri dalam berbahasa bagi menyampaikan mesej para admin yang melampaui batas dan norma masyarakat di negara Malaysia ini ialah penggunaan bahasa yang kasar, kesat, lucah, tidak bersopan, malah langsung melanggari adat dan nilai-nilai murni bagi orang yang beragama. Fitnah, umpatan, tuduhan, cacian, maki hamun, ugutan, kejian, cercaan, hinaan, pembohongan dan sebagainya adalah sarapan berhemah demi mencapai maksud. Tapi siapa yang kisah, asalkan ada peluang dan ruang, luahan hati sendiri mahupun orang lain, semuanya menjadi satu pembantaian adat pada sang blogger. Inilah natijahnya.
Ada blogger mencari, ada blogger dicari. Matlamat akhirnya ialah 'makan'-cari wang panas bro.... Sama ada sekadar suka-suka, terpengaruh dan tercabar, bermaklumat, berpengetahuan atau khayalan, mahupun berpeleseran. Semuanya dirangkumi menjadi satu idea yang satu iaitu-MENENTANG MUSUH POLITIK. Mencari hasil melalui cyber troopers yang digaji khusus terutamanya blogger sebelah partai kerajaan. Berbagai projek dan habuan disediakan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga tertuduhnya warga pembangkang.
Khidmat sang blogger ditagih bagi mengekalkan dan menstabilkan serangan blogger pembangkang. Akhirnya, pembaca yang berotak dapat menilai sendiri sejauh mana fakta yang benar dan sejauh mana idea yang direka.
Namun selalunya buat masa sekarang, blogger pembangkang begitu hangat dicari pembaca berbanding blogger pencacai dan pengampu kerajaan. Apa tidaknya, blogger kerajaan berkhidmat demi mencari makan. Sebaliknya blogger pro-pembangkang selalunya menulis dengan kerelaan dan kebenaran. Tiada bayaran, tiada habuan, tiada projek. Keikhlasan dalam memberi pandangan bersandarkan kebenaran banyak memberi impak kepada pembaca. Bukan upah menjadi matlamat.
Kesimpulannya, barang siapa yang menjadi penulis demi kebenaran, maka sesungguhnya itulah satu perjuangan yang murni. Tapi, sekiranya penulis itu memutarbelitkan fakta sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian dengan kerajaan. Ingatlah penulis begini telah menghancurkan negaranya sendiri. Inilah fenomena yang berlaku dalam media arus perdana. Kaki putar alam ini bukan saja terletak di bahu penulis pojok pro-kerajaan tapi kepada pemimpin utamanya yang sudah bergelar Demokrat palsu dan Autarkarat....Tahniah kepada para pemblog pro-pembangkang. Khidmatmu ditagih demi negara tercinta. Kebenaran tetap kebenaran, inilah motonya. Adat berblog jangan dilupakan....
Isnin, 16 Julai 2012
ADAT SEORANG BLOGGER POLITIK JALANAN...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan