Khamis, 14 Jun 2012

PENDEKATAN SYARAK ANTARA HAJI DAN PILIHAN RAYA MANA LEBIH UTAMA?

Haji atau pilihan raya menurut perbahasan syarak


Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.


HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim


Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Merdeka
5- Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

- Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
- Kewajipan hanya sekali sahaja
- Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
- Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah:

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب

Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

- Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

“Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

6- “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1- Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2- Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3- Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

- Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat : -

- Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
- Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1- Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2- Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3- Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4- Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1- Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2- Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3- Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4- Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5- Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6- Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

1- Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami


PAKDOE ALLAN

Source: http://wargamarhaen.blogspot.com/

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code