LEMAL – Dua remaja bertarung nyawa apabila motosikal ditunggang bertembung lori tangki berdekatan sebuah stesen minyak lalu tersepit antara motosikal dengan tayar lori berkenaan, jam 8.45 malam, kelmarin.
Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, mangsa yang terlibat adalah Zulkifli Johari, 26, dan rakannya Mohd Irwan Che Hamid, 20.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa menunggang motosikal dari Pasir Mas menghala ke Bulatan Lemal ketika kejadian dan pihaknya menerima panggilan pada jam 8.49 malam serta bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lima anggota.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa lima minit dan kedua-dua mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, mangsa Zulkifli berkata, dia menunggang motosikal bersama rakannya ketika dalam perjalanan pulang ke To Uban.
Menurutnya, mereka tidak menyedari lori tangki berkenaan keluar dari sebuah stesen minyak kerana faktor jalan gelap.
“Saya mengalami kesakitan di bahagian pinggang kerana pernah terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi, Johor September lalu,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas, kelmarin. Seorang lagi mangsa, Irwan mengalami luka di bahagian lulut dan tangan kiri, dibenarkan pulang pada hari yang sama.
0 comments:
Catat Ulasan