KUALA TERENGGANU - Seorang guru dari sebuah sekolah rendah di daerah Marang diperintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan memiliki dua biji pil kuda serta positif saringan awal ujian air kencing dadah jenis methamphetamine.
Majistret Noradila Ab Latif mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap guru berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.
Guru yang berusia 36 tahun itu ditahan setelah taktiknya yang menyorokkan dua biji pil kuda di dalam sebuah kotak rokok dan diletakkan di bahagian atas almari di ruang tamu terbongkar dalam satu serbuan di kediamannya di Kampung Temala Hilir Pengkalan Berangan, Marang, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.
Serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di rumah guru berkenaan sebaik menerima maklumat berhubung penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut, polis menemui satu kotak rokok yang diletakkan di atas almari di ruang tamu rumah dan kemudian menemui dua biji pil kuda di dalam dua tiub straw yang disimpan di dalam kotak berkenaan.
Semua barang dirampas dan guru yang sudah berkahwin itu dibawa ke IPD Marang untuk tindakan selanjutnya.
Selain itu, guru berkenaan juga didapati positif dadah methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di IPD Marang kira-kira jam 5 pagi, semalam.
0 comments:
Catat Ulasan