Robert Mayau di depan kedai tatu miliknya, Borneo Native & Western di Kapit, Sarawak.
Kisahnya pernah diabadikan oleh penulis terkenal Barat, Carl Bock di dalam bukunya The Head Hunters of Borneo yang diterbitkan pada 1881. Kini seiring dengan perkembangan masa, tradisi itu telah luput ditelan zaman.
Walaupun era 'ngayau' telah berlalu namun, semangat serta keberanian mereka menentang musuh telah diterjemahkan melalui pemakaian tatu yang dikenali sebagai 'pantang' bagi masyarakat itu.
Di kebanyakan tempat, tatu secara umumnya dianggap lambang bagi kumpulan kongsi gelap atau sekadar suka-suka. Namun, bagi masyarakat Iban di negeri ini, ia adalah lambang kelakian, kepahlawanan, kemenangan perang serta mengangkat status seseorang lelaki.
Kerana itu, sebagai bukti kejayaan, pahlawan Iban akan ditatu pada badan, jari, lengan dan paha. Sementara wanita Iban pula ditatu pada bahagian jari, lengan, kaki dan paha sebagai lambang kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam kemahiran menenun, menari atau menyanyi selain berfungsi sebagai penghias diri.
Tidak kurang juga masyarakat Iban yang menjadikan tatu sebagai simbol untuk merekod atau menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang. Corak-corak yang menjadi pilihan pula dipercayai dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit.
Pemilik kedai tatu Borneo Native & Western, Robert Mayau, 44, berkata, selari dengan peredaran zaman, tatu yang dianggap sebagai lambang status seseorang kini dilihat sebagai hasil seni dan aksesori diri.
Menurut beliau corak-corak tatu telah berubah mengikut peredaran masa.
"Apa pun, sebagai pembuat tatu saya mementingkan kepuasan pelanggan kerana tatu yang dibuat akan kekal seumur hidup di tubuh seseorang," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan