Ahad, 30 Oktober 2011

PERAGUT NAK MAMPUS CARI NAHAS!

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Dua peragut boleh diibarat menjerut leher sendiri apabila cuba mengeluarkan wang tunai menggunakan MyKad dan buku akaun mangsa yang diragutnya di sebuah bank di Kepong, iaitu tempat wanita itu bekerja semalam.

Tindakan itu sekali gus membolehkan suspek seorang lelaki dan wanita berusia 30-an ditahan, sejurus kakitangan di bank berkenaan menyedari buku akaun dan MyKad tersebut milik rakannya.

Kakitangan itu lalu memaklumkan kepada penyelia bank sebelum melaporkan kepada pihak polis dalam kejadian pukul 9.30 pagi.

Menurut jurucakap polis, sebelum itu, kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal dan meragut tas tangan mangsa berhampiran Stesen Komuter Sungai Buloh, di sini pukul 7 pagi hari sama.

"Dua suspek itu kemudian ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang menggunakan MyKad dan buku akaun mangsa yang tanpa disedari mereka, ia tempat wanita tersebut bekerja.

"Namun kakitangan bank yang juga rakan mangsa di kaunter berasa curiga lalu segera memaklumkan perkara itu kepada seorang penyelia sebelum menghubungi polis.

"Polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian memberkas pasangan suspek tersebut," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kedua-dua suspek itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut.



0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code