Ahad, 30 Oktober 2011

MANGSA TEMBAK DI CABANG EMPAT SALAM MENINGGAL


AL FATIHAH buat mangsa, semoga rohnya damai di sana. Tapi bagi penembak, bersiap sedialah dengan balasan yang bakal menimpa anda.

RANTAU PANJANG 29 Okt. - Mangsa tembak kes tuntutan hutang, Mohd. Anuar Mohd. Noor, 31, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) Kota Bharu, awal pagi ini selepas lebih dua minggu bertarung nyawa.

Mangsa yang dirawat selama lebih 18 hari selepas ditembak dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Simpang Empat Salam dekat sini 12 Oktober lalu, meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi ini di sisi isterinya, Mismaki Mat Rashid, 29.

Mismaki berkata, kesihatan suaminya merosot sejak empat hari lalu selepas menjalani pembedahan kedua bagi merawat ususnya yang cedera akibat kejadian tersebut.

"Ketika dimasukkan ke hospital selepas kejadian tersebut, arwah sedar, namun tidak dapat bercakap kerana menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Selepas pembedahan kedua pada 25 Oktober lalu, kesihatannya makin merosot dan dia tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia pagi ini," katanya di sini, hari ini.

Mismaki terkilan tidak sempat mendengar apa-apa pesanan arwah yang tidak mampu bercakap kerana menggunakan mesin bantuan pernafasan sepanjang dirawat di hospital.

Utusan Malaysia 13 Oktober lalu melaporkan, berpunca masalah hutang, seorang lelaki parah ditembak rakan karibnya dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Simpang Empat Salam, Rantau Panjang di sini.


Laporan dr Metro berbunyi..

Minta Maaf Sebelum Ajal

KOTA BHARU: “Mungkin ini kuasa Tuhan. Dia (arwah) tersedar daripada koma Sabtu lalu dan sempat minta maaf daripada ahli keluarga,” kata Mohd Zulkhairi Mat Nor, adik kepada Mohd Anuar Mat Nor, 31, yang ditembak dalam kejadian dekat Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, lebih dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Mohd Anuar yang sebelum ini ditembak kenalannya selepas bertengkar dipercayai masalah hutang, disahkan meninggal dunia jam 6.55 pagi semalam selepas paru-paru dan buah pinggangnya gagal berfungsi akibat jangkitan kuman.


Mohd Zulkhairi berkata, abangnya tidak sedarkan diri selama 18 hari selepas dirujuk dan menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada malam kejadian.

“Pada mulanya, jangkitan hanya berlaku di paru-paru arwah, namun keadaannya semakin teruk berikutan jangkitan itu merebak ke buah pinggang.


“Akibat jangkitan itu menyebabkan kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi dan menjadi punca kematian,” katanya di Jabatan Perubatan Forensik HRPZII, semalam.


Katanya, abangnya tidak sedarkan selepas dibedah, menyebabkan mereka sekeluarga bergilir-gilir menjaganya hinggalah arwah menghembuskan nafas terakhir semalam.


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code