SEJARAH: Meski ligat berputar namun masih menuju ke arah yang sama. Hikayat Merong Mahawangsa bakal berulang. Ini satu kepastian. Jika haruan buntu fikiran, makanan dicari tiada kesampaian, Akhirnya anak menjadi mangsa jadilah pepatah 'haruan memakan anak'
Riwayat panjang dalam setiap masyarakat ada tabu tersendiri. Mahu tidak mahu segala yang dilarang jangan sekali dilanggari kelak terkelak buruk padahnya. Ungkapan yang berpegang teguh pada ikrar dan sumpahan menjadikan adat dan tertib masyarakat Melayu hingga segar-bugar tiada tolok bandingnya. Atas alasan ini maka sedikit tercuit pasti mengundang pelbagai perspektif dan hukuman yang berat lagi dasyat.
Sentuhan dan kocakan tabu yang bertulah menjadikan puaka yang amat besar lagi ngeri. Masyarakat Melayu hidup dalam kelompok feudal setua umur negara ini beribu tahun dulu, sebelum kedatangan Parameswara ke Melaka lagi. Sejarah Melayu oleh T.S Lanang telah menceritakan panjang lebar kedudukan dan sejarah asal-usul Melayu beserta raja-rajanya.
Daulah dan sakti yang berlegar di sekitar kehidupan para raja dulu sehingga kini menjadi satu tabu dan 'taman larangan' bagi rakyat marhaen menyentuhnya. Tindakan yang berani hanya akan mengundang padah meskipun ilmu yang dikendong cukup khatam sekali. Kelibat perlanggaran adat dan konsep penderhakaan sering menjadi satu tajuk yang asing dari 'fitnah'. Orang yang 'berkuasa' sekalipun menuduh dan memfitnah tetap akan dibenarkan walau tanpa bukti kerana mereka 'berada'.
Konteks kehidupan feudal kini muncul kembali dalam masyarakat moden yang pernah terjajah dengan budaya barat yang ternafi oleh bekas pemimpin negara Mahathir Mohamad. Orang Melayu dengan Melayunya yang dulu, era kelompok masyarakat feudal yang selalu diugut dan dihukum oleh raja kini muncul kembali.
Bayangkan, jika seorang rakyat marhaen ditabalkan menjadi raja sehari, betapa seronoknya dipuja dan ditatang. Segala hajat dipenuhi sebaik mungkin tanpa mengira termampu atau tidak. Sehari yang dirasai itu amat bermakna dan hebat sekali. 'Raja sehari' ungkapan yang 'gah' lagi hebat. Indahnya menjadi raja sehari.
Tapi bagi diri yang hari-hari menjadi raja, mungkinkah lebih indah lagi? Siapakah yang dapat merasakan yang demikian itu?
Kebelakangan ini Merong Mahawangsa, maharaja sejarah purba dalam masyarakat Melayu mengganas lagi, namun bukan diri yang hak mencerminkan keganasan tapi pengampu yang wujud dibelakangnya sejak beribu tahun lalu menjadi barah yang menusuk ketenangan dalam kelibat kerabat menjadikan sesuatu yang dipertikaikan oleh marhaen sebagai perkara yang begitu rumit dan rigid hingga terpaksa dibawa ke muka pengadilan.
Sentuhan pengampu yang bercambah sejak temurun lagi di belakang sesebuah kerajaan tidak pernah menjanjikan keamanan kepada kerajaannya sekalipun pahlawan yang gagah perkasa seperti Hang Tuah bersembunyi di balik tabir sang raja. Akhirnya sejarah membuktikan kerajaan yang agung dan hebat tumbang jua dek pengampu yang suka berfitnah dan meracuni fikiran sultan.
Raja yang hebat bukan raja yang gagah dalam peperangan, tapi raja yang penuh dengan sikap keterbukaan dan bertindak adil dalam setiap budi bicaranya. Institusi yang dermaga berkait rapat dengan hubungan rakyat dan pembesar, bukan pembesar yang suka membuli rakyat. Jika sesuatu yang dititahkan menjadi tanggungjawab rakyat marhaen melaksanakan dalam konteks sehala sahaja. Manakala jika kepala di tegur dan dikritik meski melalui bahasa maka si pengampu mula bermain helah dengan mengapi-apikan dan menabur tuba. Finalinya lenyaplah keadilan yang teridam dan Merong Mahawangsa kembali mengganas lagi.
Bukan semua keinginan marhaen bisa diterjemahkan oleh sang kepala negara, dan bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan peperangan dan hukuman. Tapi segala yang menjadi asasi dalam keinginan marhaen yang bertentangan pendapat dengan kepala atau pengampu tidak semestinya kepala menjadi kemudi. Sebaliknya jika sampan kemudinya berada di ekor, bukan seperti kereta yang kepalanya sentiasa di depan. Jadi istilah mengapi-apikan si kepala harus dilihat dengan jiwa yang tidak bertaring oleh kepala. Kepala harus ingati sejarah raja makan rakyat. Akhirnya apa yang berlaku?
Trend terkini jelas membuktikan keterdesakan sesetengah pihak dalam mengampu istana demi kepentingan periuk sendiri. Manakala setiap berita yang sampai kepadanya belum tentu tepat dan benar, malah mungkin penuh dengan kemunafikan. Peristiwa terbaru yang dikaitkan dengan seorang profesor yang penuh dengan ilmu di dada dalam bab perundangan. Namun telah menimbulkan rasa tidak puas hati sang pengampu yang membawa kepada laporan polis yang dibuat atas dasar tabu telah berlaku, taman larangan telah dicerobohi dan kehidupan sang bangsawan sedikit berkocak, maka si pengampu sekali lagi berfatwa dengan fatwa yang munafik. Demi apa?
Apakah konsep feudal yang menebal dalam masyarakat Melayu satu masa dulu kembali menjengah? Padahal sebelum ini sudah hilang kekebalan yang dibanggakan lantaran kedurjanaan bendahara menguruskannya. Sebaliknya sang bendahara yang mendapat nama lebih dari sultan yang sepatutnya dapat. Sudah banyak kali kotak-katik ini diperlecehkan sang pengampu. Namun itulah hakikatnya bila sang kepala memandu dengan laju maka yang didengarinya hanyalah pengampu yang sentiasa berada di sebelah. Tidak mungkin orang yang berada di belakangnya menjadi teman berbual.
Arafiahnya, kewajipan sang kepala bukan terletak pada kuasa dan hukuman, tapi yang lebih penting SANG KEPALA MESTI menilai sesuatu itu biar dari bawah, kerana sesungguhnya kita (manusia) berasal dari tanah, dan tanah itu adalah sesuatu yang berada di bawah!!!
0 comments:
Catat Ulasan