Falsafah "Orang yang pandai berdiri tidak mati" nampaknya tidak menjadi dalam situasi begini. Namun dalam falsafah tersebut ada benarnya sebab tidak ada orang yang mati sambil berdiri, bila mati pasti jatuh dan rebah...
DI SINI...sepupu mangsa, Selamat Salleh menunjukkan tempat mangsa, Azizan yang maut akibat tersepit lori, semalam.
KANGAR: “Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terus memegang tangan suami yang sudah sejuk dengan mukanya kebiru-biruan. Mayat arwah ketika itu masih dalam keadaan berdiri,” kata Iziatun Mayuzia Che Saad, 35.
Mayat suaminya, Azizan Ramli, 44, ditemui penduduk dalam keadaan berdiri ketika tersepit di antara bahagian hadapan lori dengan dinding sebuah surau di Kampung Perawah, Mata Ayer di sini, dipercayai akibat diheret lori berkenaan yang menggelongsor ke hadapan, kira-kira jam 8.15 pagi semalam.
Lebih menyayat hati, nahas itu dipercayai disedari penduduk kira-kira dua jam selepas mangsa tersepit.
Ketika kejadian, Azizan memeriksa lori terbabit apabila kenderaan itu tiba-tiba bergerak menyebabkan dia dipercayai cuba membuka pintu untuk menarik brek tangan, tetapi gagal menyebabkan dia tersepit.
Iziatun berkata, selepas dimaklumkan jiran, dia bergegas ke tempat kejadian yang hanya 50 meter dari rumahnya.
“Pagi tadi (semalam) saya tidak menyedari bila suami keluar rumah untuk memeriksa lorinya yang diletakkan di depan surau, tapi selalunya dia akan keluar jam 6.30 pagi,” katanya ketika ditemui menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Menurutnya, selepas memeriksa lori, biasanya arwah pulang ke rumah untuk mandi dan bersarapan bersama keluarga sebelum keluar memandu lori membawa tanah itu.
Azizan mempunyai lapan anak hasil perkongsian hidup dengan dua isteri, termasuk empat anak berusia tiga hingga tujuh tahun hasil perkongsian hidup dengan Iziatun.
Difahamkan, seorang penduduk yang lalu di hadapan surau itu terkejut apabila menjumpai pemandu lori itu tersepit lalu meminta bantuan jiran mengeluarkan mayat mangsa yang masih berdiri sebelum menghubungi polis.
Iziatun berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu dan menunggu suami bersarapan, tetapi dia tidak juga muncul
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata pemandu lori itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hanya disedari penduduk hampir dua jam selepas kejadian.
“Mayat mangsa ditemui seorang jiran dalam keadaan berdiri akibat tersepit di depan pintu lori dengan dinding Surau Kampung Perawah, kira-kira jam 8.15 pagi tadi (semalam),” katanya di sini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada awal pagi untuk memeriksa lori muatan tanah yang diletakkan di depan surau berhampiran rumahnya.
Katanya, tiba-tiba kenderaan terbabit menggelongsor ke hadapan dan mangsa cuba membuka pintu lori untuk menarik brek tangan, tetapi gagal hingga menyebabkannya tersepit antara bahagian hadapan kenderaan dan dinding surau terbabit.
“Mayat mangsa dibawa ke HTF untuk bedah siasat dan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman akibat tersepit,” katanya.
Che Man berkata, pihaknya menolak sebarang perbuatan khianat dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut. [sumber: Metro]
0 comments:
Catat Ulasan