Khamis, 29 September 2011

HUDUD: SATU KESERBASALAHAN

Penulisan ini adalah satu pandangan dan renungan penulis sendiri dan tiada kaitan dengan mana-mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak. Pandangan peribadi ini adalah membincangkan soal betapa kegagalan perlaksanaan hudud adalah satu malapetaka bukan sahaja bagi PAS tapi sebenarnya bagi keseluruhan umat Islam yang menghuni di Malaysia terutama di Kelantan.

Secara 'naqli' dan sahih, memang hudud wajib dilaksanakan demi mematuhi suruhan Allah s.w.t dan PAS dengan sebulat hati serta penuh tekad cuba untuk mencapai hasrat ini demi agama. Kegagalan PAS dalam usaha ini tidak perlu diulas kerana terdapat begitu banyak persoalan yang harus dijawab dengan mata hati yang agak tajam dan kudus. Dalam pengkajian ini keputusan akhir yang dimomokkan oleh UMNO ialah hudud tidak akan dilaksanakan, dengan begitu yakin dan jelas hudud seolah 'haram' di Malaysia telah dikemukakan oleh Perdana Menteri Najib.

Antara persoalan kegagalan PAS melaksanakan hudud jelas apabila mendapat tentangan dari komponen PAKATAN RAKYAT iaitu DAP. Secara tuntas penolakan DAP ini jelas menggambarkan sudut pandangan bukan sahaja pemimpin tertinggi DAP tetapi mewakili para penyokong tegarnya. Tinggallah PAS secara holistiknya 'solo' menjadikan hudud sebagai satu perjuangan yang tidak kesampaian. Namun syabas! Kerana usaha ini membuktikan bahawa PAS tidak lupa dasar perjuangannya.

Sebab Gagalnya Hudud

Akibat pendirian dasar yang termaktub dalam Dasar Bersama dan Buku Jingga hasil kesepakatan bersama sebelum ini, entiti hudud sebagai satu dasar atau bab tidak dimasukkan sebagai satu perlembagaan bersama, maka dengan jelas andai idea hudud ini tidak dapat bertakhta dalam persepsi PAKATAN. Mengapa begitu?

Mengapa tidak dimasukkan hudud? Persoalan yang seharusnya dijawab adalah bermula dari niat yang satu :iaitu ingin bertakhta sebagai satu kerajaan yang memerintah Malaysia. Persepsi dan tanggapan ini tidak harus dilihat dengan satu sikap yang berdendam dan penuh kedengkian. UMNO jelas memperlekehkan perjuangan PAS dengan satu sebab iaitu Islam sejati. PAS sebelum ini lantang mempertaruhkan hudud sebagai satu senjata ampuh menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Manakala UMNO melihat situasi tersebut sebagai satu usaha yang sia-sia kerana para pengundi seluruh Malaysia hampir sama banyak iaitu 30% malah lebih adalah terdiri dari orang bukan Islam. Maka jika ini terjadi PAS tidak dapat meneruskan perjuangan kerana tidak dapat meraih sokongan 2/3 majoriti di parlimen. Perjuangan PAS dalam soal keagamaan Islam dilihat UMNO hanya menyebabkan parti itu menjadi parti pembangkang seumur hidup. PAS tidak mampu menentang Barisan Nasional yang terdiri dari komponen Melayu, Cina dan India serta berbagai kaum dari Sabah dan Sarawak. Oleh itu UMNO melihat Barisan Nasional adalah satu parti yang kuat dan teguh, sukar ditumbangkan.

Alternatif yang ada pula bagi PAS ialah apabila menerima tawaran dari parti Keadilan Rakyat untuk membina satu gerombolan yang juga sama kuat dengan BN, terdiri dari PKR dan DAP yang mewakili parti bagi orang bukan Islam. Teori penyatuan yang dikemukakan oleh Anwar Ibrahim ini nampaknya mendatangkan hasil yang sangat memberangsangkan apabila BN telah tumpas dan melepaskan 5 buah negeri kemudian 4 buah negeri (setelah diejas dan dipulas UMNO), yang dikuasainya sejak sekian lama ke tangan pembangkang yang rata-rata sebelum ini hanya tinggal sebagai impian kerana perjuangan secara sendirian sebelum ini hanya mewakilkan mereka sebagai pembangkang di parlimen sahaja.

Kini UMNO goyah, lumpuh dan sakit sendi. Akibatnya berbagai spekulasi, isu, serta dakwaan dicari dan dikorek asal pencipta teori ini tersingkir terus dari arus politik perdana. Watak yang dimaksudkan ialah ketua teori PAKATAN iaitu Anwar Ibrahim. Berbagai tuduhan dan dakwaan dikenakan demi mengkecamukkan lagi institusi PAKATAN, namun mungkinkah setelah segalanya nampak tersia-sia oleh UMNO. Maka jalan akhir yang wujud telah dicetuskan oleh Mahathir yang berucap di USM dengan mengatakan bahawa PAS sudah lupa pada hudud. Bermula dari situlah maka berbagai serangan dari setiap penjuru datang bertubi-tubi mengatakan PAS adalah parti yang berpura-pura kerana tidak mahu melaksanakan 'hudud'.

Akibat serangan pedih dan menyayat ini, maka secara langsung telah dtepis. Tepis bukan sebarang tepis tapi tepis dengan penuh semangat perjuangan yang berkobar-kobar. Tepisan dan kuisan ini telah dijawab oleh Mursyidul Am PAS TG Nik Aziz dengan mengatakan: PAS sanggup membiarkan DAP keluar dari PAKATAN demi melaksanakan hudud. Akibat kenyataan ini maka sudah tentu DAP panas punggung dengan smash yang tajam dan berliku ini sehingga pucuk pimpinan parti terpaksa membuat satu kesimpulan yang sejuk dan waspada. Lantaran itu TGNA tidak menghadirkan diri tetapi menghantar wakil sahaja (Takiyuddin Hassan-beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payung merupakan exco kerajaan negeri Kelantan memegang potfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan) demi menjaga kemaslahatan parti dalam pertemuan ini.

Hudud Semakin Serba Salah

Meskipun dalam pertemuan semalam yang memutuskan bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan kerana masalah konsensus semua komponen maka dengan jelas pilihan untuk mewujudkan hudud akhirnya tidak kesampaian. Jika ingin dilaksanakan maka secara langsung UMNO masih lagi dapat menguasai kerajaan Malaysia dan tinggallah PAS sebagai sebuah parti yang berjuang secara 'solo' dan hanya layak menjadi pembangkang sahaja. Inilah matlamat UMNO sebenarnya.

Hudud menjadi satu pertaruhan yang besar dan pilihan yang terakhir bagi PAS, jika PAS buat hudud maka sudah tentu PAS gagal memerintah Malaysia, walau hanya ingin dilaksanakan di Kelantan. Jika tanpa hudud maka PAS mempunyai harapan yang cerah berada di tampuk Putrajaya. Tepuk dada tanya selera. Namun apapun mengikut konspirasi politik moden gugurnya hudud sebagai satu pengorbanan mencapai kejayaan pemerintahan akan menjadi musuh dan isu utama bila PAS mentadbir negara kelak. Isu ini akan terus diputarkan UMNO dalam episod berikutnya demi meraih sokongan pengundi.

Jika menyelami dengan mendalam duduk sebenar perkara hudud di sisi DAP, atau kata lain ialah pandangan DAP terhadap hudud ialah mereka tidak faham dengan lebih jelas soal hudud, sukatan pelajaran yang dicanang UMNO selama ini tidak pernah membayangi apa itu hudud sebenarnya. Akhirnya apa yang mereka tahu, bila mencuri saja-hilang tangan, bila bunuh saja-kepala potong, bila berzina saja- 100 rotan, rejam dan sebagainya. Inilah kefahaman yang terdapat dalam kalangan DAP.

Namun DAP juga silap kerana tidak mahu mempelajari hudud, sebaliknya hanya suka kepada hadis-hadis nabi saja, apa yang DAP kata hudud lebih bercirikan Islam dan mereka bukan Islam bahkan mereka pula lebih suka mengikut hukuman agama mereka. Pertikaian soal perundangan ini sudah lama berlarutan bukan saja pada era kini tapi pada era tamadun lampau juga isu perundangan dan hukuman ini menjadi pergolakan dalam sesebuah kerajaan. Ini perkara biasa saja.

Soal hudud ini juga sudah menjadi satu matlamat pertubuhan parti DAP yang dari dulu lagi memperjuangkan penentangan terhadap hukum hudud ini, jadi jika DAP terima maka secara langsung akan menjadi topik hangat MCA untuk mengatakan DAP kini sudah lebih Islamik dan tidak lagi perjuangkan kaum Cina di Malaysia. Oleh itu DAP menolak hudud juga untuk menegakkan partinya sebagai sebuah parti yang disukai orang Cina, jika tidak sudah tentu DAP akan kalah kepada MCA dalam mendapat sokongan pengundi.

Situasi ini juga tidak membantu PAKATAN untuk mendapat majoriti di parlimen nanti. Pandangan DAP ini benar bagi partinya. DAP mahu menjaga partinya juga, manakala PAS berbuat demikian demi partinya yang sudah diperlekehkan oleh UMNO iaitu musuh tegarnya. Penolakan hudud oleh DAP adalah untuk menyelamat partinya dari menerima kecaman MCA dan MIC. Oleh itu secara logiknya, DAP menolak hudud semata-mata takut kehilangan sokongan sekali gus gagal menentang MCA dan MIC. Ini benar.

Kesan Keserbasalahan Hudud

Senario politik UMNO yang kini parah tercedera akibat kemalangan berpunca dari kecuaian ekonomi dan pemimpin yang boros lagi penipu dan penakut, harus menjadi satu peluang yang menguntungkan kepada PAKATAN meraih undi. Soal kehidupan rakyat marhaen mesti menjadi agenda utama pergelutan ini.

Andai sebelum mentadbir negara lagi PAS sudah mula pening dengan isu hudud yang dimainkan UMNO, maka tunggulah jika sekiranya ditakdirkan PAKATAN berjaya ke Putrajaya. Hudud akan menjadi nuklear kepada PAS dan PAKATAN. Lantaran itu maka PAS harus bijak dalam soal ini. PAS harus bertapak dengan megah menuju arah ini, jangan rebah sebelum bangun. Jangan berguling sebelum tidur. Keadaan ini cukup berbahaya bagi PAS bermain dengan isu yang cuba dimambokan atau dichachakan oleh UMNO.

Namun persoalannya, apakah yang bakal dimainkan oleh UMNO akibat kegagalan hudud dalam keputusan pertemuan semalam? Sudah tentu UMNO akan mengatakan segala-galanya. Segala-galanya tentang soal ini. PAS harus terima hakikat ini demi meraih kejayaan diesok hari. PAS harus bersabar. Tiba masa segala yang diidamkan akan tercapai. UMNO sekali lagi bersorak terutama Mashitah yang akan mengulas dengan panjang lebar soal kegagalan hudud ini. Ini adalah rutin sehariannya yang sengaja mencari berbagai alasan untuk mengelakkan hudud dari terlaksana!

Kesimpulan

PAS harus sabar dalam tugasan ini, ambil sedikit masa lagi dalam lembaran baru ini, usah dilihat 20 tahun lalu kerana sebelum ini tidak ada lagi PAKATAN, dulu PAS keseorangan, bujang. Sudah tentu sekiranya bujang lebih bebas bergerak, bebas melakukan apa saja dan mengatakan apa saja. Tapi kini PAS mesti ingat. PAS kini sudah berkahwin dan PAS sudah punya tanggungjawab, Sudah punya ipar-duai dan mertua. PAS sudah ada mulut-mulut dan perut-perut yang harus disuapi dan dijaga. Sebarang keretakan dalam rumah tangga seharusnya dibawa berbincang demi kebahagiaan bersama pasangan dan keluarga pasangan.

Walau PAS begitu berhasrat dalam soal hudud ini. PAS harus bijak menilai dulu, sabar dulu dan prihatin dulu. UMNO cucuk jarum agar PAS menjerit. Tapi PAS harus ingat bahawa jarum yang UMNO suntik itulah bakal mencucuk biji mata UMNO. PAS harus ingat ini!!!

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code