Ahad, 7 Ogos 2011
NURUL IZZAH: RAKYAT BERHAK TAHU!!!
Rakyat Berhak Semak Dan Persoal Kos Projek MRT, Kata Izzah
PETALING JAYA 7 OGOS : Pakatan Rakyat menyokong penuh keperluan pelaksanaan projek Sistem Transit Awam (MRT) untuk kemudahan masyarakat bandar.
Bagaimanapun, Pakatan Rakyat menyarankan agar rakyat menggunakan hak mereka untuk menyemak dan mempersoal angka dan kos yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional(BN) dalam perlaksanaan projek Sistem Transit Awam(MRT).
Saranan ini dikemukakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kerana sekiranya dibiarkan ia dibimbangi akan mengulangi skandal pembinaan LRT sebelum ini.
Malah katanya, peningkatan kos projek dan ketidakjituan dalam penetapan kos terbabit akan mendorong satu implikasi negatif terhadap pembangunan projek mega itu kelak.
"Apabila kami (Pakata Rakyat) meneliti perkembangan, percanggahan yang berlaku antara pihak GAMUDA MMC yang pertama sekali melontarkan ideal MRT dengan kenyataan kos RM36.6 juta dan kini hasil pembacaan saya dan berita kos itu meningkat kepada RM50 billion," katanya.
Bercakap dalam satu sidang media di Petaling Jaya semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata perkara terbabit diusulkan ekoran khuatir kos pembangunan projek ini terus meningkat kerana didakwa pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak dimaklumkan berhubung perkembangan terkini kos projek tersebut.
"Sekarang ini dengan kemelut ekonomi dunia yang melanda, negara kita masih belum mempunyai kejituan tentang harga projek, ini merupakan kebimbangan yang seharusnya difikirkan dengan lebih serius oleh pihak kerajaan."jelasnya.
Pelaksanaan fasa pertama projek Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh ke Kajang ini akan merentasi kawasan padat penduduk dibeberapa kawasan dan bandar utama.
Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang ini akan memberi perkhidmatan tren kepada kira-kira 1.2 juta penduduk di Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn, Balakong termasuk Shah Alam.
TvSelangor turut difahamkan, SPAD sebelum ini menjelaskan kos pengambil alihan tanah yang terlibat dalam projek MRT ini lebih daripada RM30 billion dan kemudiannya mengurangkan nilai itu sebanyak 50 peratus.
Melihat kepada perkembangan ini, Pakatan Rakyat mencadangkan agar satu jawatan kuasa pilihan ditubuhkan dari kalangan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dalam meneliti segala perkembangan projek MRT sebagai usaha menjamin ketelusan perbelanjaan wang negara.
"Segala isu-isu ini perlu terus dilaporkan kepada wakil rakyat untuk menjawab segala kegelisahan sekaligus menunjukkan keperihatinan SPAD bersifat telus dan secara terbuka tanpa kaitan politik"
Tambah Izzah lagi, setiap penjimatan kos pembangunan projek ini boleh disalurkan untuk pembangunan luar bandar yang mana turut memerlukan dana.
"Setiap perbelanjaan yang boleh dijimatkan ini mampu membantu pembangunan luar bandar, isu ini juga dibangkitkan sendiri oleh ahli parlimen BN ketika pertemuan mereka bersama Timbalan Perdana Menteri kerana mereka tidak bersetuju dengan perbelanjaan yang besar kepada projek MRT sedangkan kawasan mereka memerlukan pembangunan dan dana." tambahnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan