Khamis, 4 Ogos 2011

EDITOR DAN WARTAWAN BERSIH 2.0 DIPAGGIL POLIS [VIDEO]



Tindakan polis panggil editor, wartawan gangguan kepada media – Latheefa
(Oleh: Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR: Tindakan polis mengambil keterangan Editor dan Ketua Wartawan Suara Keadilan hanya bersifat mengganggu tugasan mereka, kata Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya.

Editor, Fazallah Pit dan Ketua Wartawan, Ahmad Fadli Mohd Nazari dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, petang tadi.

Ia berhubung satu laporan yang diterbitkan portal KeadilanDaily – versi online kepada akhbar rasmi KEADILAN mengenai penggunaan kanister gas pemedih mata oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kanister itu dilapor digunakan oleh polis untuk menyuraikan peserta himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Mereka dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (b) selama lebih kurang 15 minit.

Kata Latheefa, walaupun perkara sama turut dilakukan kepada pemimpin parti KEADILAN sebelum ini, namun ia sama sekali tidak akan menggentarkan KEADILAN bagi mendedahkan salah laku kerajaan.

“Kami tidak gentar langsung, bukan mahu jadi hero, polis hanya gunakan taktik begini dan tidak menjawab soalan salah guna, sepatutnya dia siasat tentang kanister dan sebagainya, sebaliknya siasat wartawan dan orang yang memberi kenyataan.

“Polis harus tahu isi kandungann kanister, nampaknya tidak, persoalannya kenapa anggap kita sebagai musuh sebagaimana orang-orang Israel anggap orang Palestin musuh.

“Itu kita persoalkan, jika ia dibuat di Afrika Selatan atau tempat lain, itu bukan isunya, tapi cara dan tindakan kanister digunakan,” kata Latheefa ketika sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sementara itu wakil peguam hak asasi manusia dari Lawyers For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri menyifatkan tindakan menyoal wartawan dan editor tidak berasas ekoran beberapa soalan yang ditanyanya.

“Ada beberapa soalan yang ditanya antaranya ‘Apakah tugas anda editor? Siapakah yang menulis artikel berkenaan yang mengesahkan kezaliman BN ketika perhimpunan Bersih? Ada buat editing? Bilakah kedua-dua artikel itu disiarkan di Keadilandaily.com? Adakah berita ini disiarkan di mana-mana akhbar tempatan? Siapakah pemilik Keadilandaily?’

“Saya tanya polis apakah mesej soal siasat ini, tapi polis tidak dapat beri jawapan.Tiada mesej untuk disiasat,” kata Fadiah.

Manakala Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata sekali lagi pihak berkuasa mengamalkan kekerasan kepada rakyat yang tidak sehaluan dengan mereka sehingga sanggup menggunakan undang-undang.

“Sekali lagi, menggunakan undang-undang jenayah, gunakan polis ini. Ini adalah salah, mesti dihentikan walaupun mereka siasat isu di Stesen Sentral Kuala Lumpur.

“Mereka disiasat di bawah seksyen 505(b) berkenaan ketenteraman awam. Setiap kali mengambil kenyataan, polis gunakan taktik sama.

“Kerajaan mesti ingat kebenaran adalah penting sama ada dalam politik, kehidupan, seni, prinsipnya adalah kebenaran. Tolong hentikan dengan taktik ini,” ujarnya.

Sementara itu, Fazallah tetap mempertahankan kredibiliti berita yang disiarkan Suara Keadilan mahupun KeadilanDaily.

“Dari Perak sahaja, 50 saman akan difailkan. Semua dibuat secara berasingan dan kes menjurus kepada tangkapan salah oleh polis.

“Dari negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan bakal menyusul. Jumlahnya banyak dan ia akan diuruskan melalui lujnah ini dan Jabatan Hak Asasi (Juham),” katanya.



0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code