Jumaat, 12 Ogos 2011

Anak jutawan -Laura Johnson turut merusuh dan merompak


LONDON 11 Ogos - Anak perempuan seorang jutawan dan seorang guru sandaran merupakan antara mereka yang didakwa di mahkamah London semalam kerana mencuri dan mencetuskan huru-hara semasa rusuhan di ibu negara England ini.

Laura Johnson, 19, merupakan salah seorang daripada berpuluh-puluh orang yang didakwa di mahkamah selepas dia ditahan kerana membawa kenderaan dipenuhi barangan curi termasuk barangan elektrik, rokok serta alkohol bernilai 5,500 pound (RM26,716).

Menurut polis, dia keluar dari sebuah kenderaan di kawasan kedai di Charlton, tenggara London, tempat di mana kumpulan samseng dari kawasan berdekatan merusuh.

Majistret Bexley mengekalkan perintah penahanannya selepas Johnson menafikan tuduhan mencuri set televisyen, pemain Blu-Ray dan telefon bimbit dari Currys and Comet serta rokok dan alkohol dari kedai BP.

Bapanya, Robert, 55 dan ibunya, Lindsay, 54, yang mengendalikan sebuah syarikat penyelidikan pemasaran enggan mengulas berhubung penahanan anak perempuan mereka itu.

Johnson ditahan malam Isnin lalu bersama Alexander Elliott-Joahill, 18, dan seorang lagi remaja berusia 17 tahun.

Pencuri termuda yang didakwa ialah seorang remaja lelaki berumur 11 tahun kerana mencuri tong sampah bernilai 50 pound (RM243) dari stor Debenhams.

Dia yang namanya tidak didedahkan kerana belum cukup umur mengaku mencuri tong sampah itu ketika golongan muda merusuh di Romford, Essex, Isnin lalu.

Sementara itu, Alex Bailey, 31, yang merupakan guru sandaran di sekolah Stockwell turut mengaku mencuri di kedai elektrik Croydon.

Bailey yang mempunyai rekod kehadiran buruk dan masalah emosi sebelum ini pernah disabit bersalah atas kesalahan jenayah merosakkan harta benda awam. - AGENSI


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code