Setelah lebih 50 tahun PAS bergerak secara solo dalam membentangkan kertas kerjanya berkaitan penubuhan negara Islam dan menegakkan undang-undang Islam dalam konteks negara bangsa yang multi etnik ini, manakala agen propanganda UMNO sering memomokkan ide sebegini sebagai satu jenayah perang yang amat berbahaya dan perlu dipulau sepanjang zaman. Akibatnya, maka ramailah orang bukan Islam melihat Islam sebagai musuh yang ternobat sebagai agama yang perlu dijauhi, dimusuhi dan ditentang dengan selemah-lemah kekuatan meski hanya melalui sekeping kertas undi pada pilihan raya yang tidak pernah berpihak PAS, akibatnya ramai orang bukan Islam sama sekali tidak memilih PAS sebagai ikon pengundian mereka.
Apatah lagi dalam skop politik negara yang membarisi oposisi mereka iaitu UMNO dengan membariskan 3 pihak yang utama sebagai pilihan mereka dan diterjemahkan kepada satu parti tidak sama sekali berpihak kepada PAS dalam situasi ini. Pendek kata, BN yang mempertaruhkan UMNO, MCA dan MIC cukup ampuh untuk memikat pengundi berbagai agama sebagai calon pilihan mereka. Lantaran 3 lawan 1 ini telah mencampakkan PAS jauh dari mentadbir negeri yang mengikut kerusi majoritinya bukan Melayu. Sementelah untuk mentadbir negara!
Maka hiduplah BN dengan penuh keselesaan berdekad lamanya di bawah naungan komponen yang menggula-gulakan rakyat dengan berbagai janji pembangunan yang lembab dan tidak maju, membutakan rakyat dengan ideologi ugutan dan menjamu rakyat dengan sedikit kemudahan infrastruktur sambil memperlekehkan parti lawan dengan berbagai helah dan tipu daya. Para pemimpin UMNO yang dulu bukan orang yang ‘ada’ kini hidup dengan melimpah ruah rezeki hasil dari bisnes yang menguntungkan ini. 30% pembangunan yang dijalankan 70% lagi adalah wang saku mereka, akibatnya para pengikut yang hauskan kebendaan sanggup bersekedudukan dengan mereka meski bertemankan korup dan kurap penyelewengan.
Inilah kehebatan orang yang bergelumang dengan kerajaan yang berkuasa. Dasar ‘kolonialisme’ yang terperap kaku sejak zaman penjajah kini masih terbawa-bawa hingga rencana ini sedang ditulis sekalipun. Begitu payahnya mengubah pemikiran penjajahan ini ke alam yang lebih realistik dan pragmatik.
Setelah begitu lama, maka muncullah satu ‘kelibat’ yang tersingkir pada dasarnya memperjuangkan pengaruhnya sehinggan PAS dan DAP yang selama berdekad berseteru dapat duduk semeja yang akhirnya menubuhkan satu persepakatan baru yang lebih jitu dan kaliber. PAKATAN RAKYAT. Komponen yang ditarbiyahkan ini juga mempunyai 3 parti komponen iaitu PKR, PAS dan DAP. Imbangan keadilan inilah yang membuatkan BN mula risau dan goyah. Terancam. Gerun.
Kini, dalam orde baru politik negara setelah berlakunya ‘tsunami politik 2008’ dan munculnya nasionalis-nasionalis baru bangkit menyatakan perjuangan mereka dengan berani dan lantang, sekali lagi tyranny dan intimidasi gaya penjajah dilakukan dengan begitu tergopoh-gapah sehingga belang yang tersembunyi di balik pakaian demokrasi mula terlondeh dan hampir menampakkan segala-galanya. Meski ditutup dengan berbagai kaedah namun ‘bangkai’ tetap berbau.
Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 telah membuka jalan melondehkan keselingkuhan ini, dengan menafikan hak untuk berhimpun dengan aman yang jelas termaktub dalam perjanjian kemerdekaan dulu. Sekali gus keserakahan ini terbongkar lagi. Laungan-laungan yang cuba membela pemerintah mula tenggelam dan dihantui dengan jeritan Bersih yang berbisa, keramat lagi makrifat. Pendekatan-pendekatan dan provokasi agen propaganda kerajaan tanpa rasa bersalah telah menggunakan aksi yang lebih ekstrem dan zalim. Menghalalkan berbagai cara untuk mencapai matlamat membasmi kebangkitan rakyat dengan membalikkan kesalahan yang dilakukan itu adalah konon berpunca daripada gerombolan parti pembangkang dan menafikan siapakah sebenarnya bertanggungjawab penuh dalam perkara ini yang bernaung di bawah 62 badan NGO yang berdaftar. Inilah teknik dan strategi lama Israel yang diguna pakai menangani situasi kemanusiaan ini. Lempar batu sembunyi tangan. Satu ide lapuk lagi usang.
Terbukti, dengan jelas penulisan dan pengakuan kaum bukan Melayu dalam merealisasikan kejantanan pilihan raya yang adil dan telus membuka mata mereka bahawa PAS bukanlah sesuatu yang harus ‘difobiakan’. PAS kini lebih toleran dalam menangani isu yang berkaitan masyarakat dan kemaslahatan bukan sahaja orang Melayu, sebaliknya berbagai bangsa dan agama yang ada di dalamnya.
Jika dulu PAS berjuang di atas Islam sebagai hukum perundangan, tapi kini setelah DAP dan PKR bersama apakah ini menggoyangkan matlamat utama itu?
Tidak! Sama sekali tidak, para ulama berpendapat kemajmukan institusi negara bukanlah penghalang kepada pelancaran undang-undang Islam sebagai alternatif unggul dalam menterjemahkan populasi yang berbilang kaum dan agama ini, isu terbaru adalah penutupan pusat hiburan di Kedah ekoran enakmen yang diluluskan semasa zaman UMNO lagi dan PAS cuba mempraktikkannya sebagai menghormati Ramadhan dan menurut apa yang termaktub.
Sekali lagi ruang yang terbuka luas ini diambil kesempatan oleh UMNO untuk menakutkan DAP kepada Islam sehinggakan dilihat sebagai satu ancaman kepada perikatan antara PAS dan DAP. Padahal isu ini seharusnya dilihat oleh DAP sendiri dengan jiwa dan pemikiran yang terbuka luas bukan hanya melihat sebelah mata sahaja. Bukanlah menjadi satu kudis yang merebak menjadi kusta dalam perikatan ini. Keputusannya Islam hanya melarang kepada umatnya sahaja untuk mengunjungi pusat hiburan dan kaum lain masih seperti biasa dengan sikap dan sifat mereka selaras dengan agama mereka. Benarkah begini kehendak PAS yang asal?
Begitu juga dalam manifesto PAS yang kini lebih memahami landskap politik berbilang bangsa, namun apakah benar PAS kini dilihat sebagai parti yang kian jauh dalam merealisasikan perundangan Islam di Malaysia? Apakah PAS mula kendur dalam mendominasi perjuangan menegak undang-undang Islam sebagaimana sebelumnya? Apakah PAS kini sudah mula liberal dan mengikut jejak BN demi mencapai matlamat semata-mata menawan Putrajaya?
Mampukah PAS andai setelah berada dipuncak menjadi induk, merealisasikan apa yang diperjuangkan selama ini?
Adakah DAP mampu menjawab segala kemusykilan ini? Atau apakah PAS sendiri mahupun PKR dapat memberi jaminan kepada kelangsungan ini? Sementelah inilah satu peluang keemasan bagi Umno untuk menyaring dan menyerang semula kejatuhannya sebagai satu kebangkitan.
Atau apakah segala perjuangan untuk menegakkan hukum hudud hanya sebagai satu simbol permainan politik dan lambang kepada PAS untuk memecah tembok penguasaan BN selama ini? (Andai PR dapat berkuasa)
Kutipan dari pengalaman PAS dalam menelusuri persada politik negara Malaysia yang lebih banyak tersungkur dari bangun telah membuatkan PAS kini lebih matang dan dewasa. Jika dulu PAS sering dilabel dengan menggunakan teknik tuduhan, fitnah peribadi dan kata-kata yang tidak sedap didengar dalam menghadapi musuh, namun kini pedagogi itu telah lama PAS tinggalkan . Sebaliknya pula bagaikan menjadi sindrom kepada UMNO dan regimnya mengamalkan tuduhan dan fitnah peribadi sebagai satu senjata mujarab membutakan si pekak dan membisukan si buta. Lucu dan pelik bukan?
Jika kita amati rumus-rumus teologi awal dalam sejarah perjuangan sosial (1971) Gustavo Gutirrez dengan karya penuh kontroversi, The Theology of Liberation: History, Politic, Salvation. Ia menyatakan "Bila iman adalah suatu komitmen kepada Allah dan umat manusia, maka mustahil keimanan kita pada hari ini mengabaikan komitmen kepada proses pembebasan umat manusia (dari segala kemiskinan dan penindasan)".
Menurut Pram, “seorang pemimpin harus berlaku adil sejak dalam fikirannya lagi, apalagi dalam perbuatan.”
Siapapun harus adil dalam menerima dan menghargai jasa seseorang (S.Ambiga), walau siapapun dia, generasi manapun dia, apa agamanya , apapun pandangan politiknya, apa pun jantinanya, apa pun rasnya. Inilah keadilan yang benar lantas, secara automatik kita akan terlepas dari memikirkan masalah sama ada suka atau tidak suka.
Seorang pastor(priest) anutan teologi pembebasan mengatakan:
“Dunia ini tidak terbahagi antara kaum yang beriman atau tidak beriman, melainkan antara kaum penindas dan ditindas”.
Kerajaan BN yang ada sekarang seumpama golongan penindas kepada rakyat, dengan dakyah dan pandangan yang mempengaruhi seseorang yang berjiwa’tohor’ dalam memikirkan situasi kebenaran politik yang sejati? Lantaran itu sikap ‘tohor’ yang terangkum pula pelbagai aspek seperti berkepentingan, terasa selesa dengan tawaran projek yang ditawarkan UMNO dan faktor kekayaan menyebabkan mereka ini terlalu tegar dan obses dengan UMNO. Padahal kepincangan perekonomian yang semakin mencengkam dengan kenaikan harga barang yang berterusan, keadilan dalam pengagihan projek, rasuah, ‘sumbang jenayah’, inflasi, pengangguran, sistem pendidikan yang bercelaru, tidak pula diambil kira oleh segolongan yang ‘tohor’ pemikirannya.
Namun inilah nasib dan harga yang harus dibayar, terutama kepada kerajaan yang memerintah, meski ramai yang tidak suka, rakyat terpaksa menerimanya, walau apa sekalipun kerana sistem pengundian sekarang langsung tidak mencerminkan keinginan rakyat yang sejati. Memanipulasikan senarai pemilih adalah satu-satu jalan untuk terus berkuasa, penubuhan SPR yang terang-terangan bukan satu badan yang telus dan toleran menjadikan pengundian di Malaysia sebagai satu wadah yang wujud pada formaliti saja, realitinya kosong dan hancur.
Hematnya, PAS sebagai satu parti yang bercirikan Islam yang tidak ekstremis dan toleran kini mempunyai satu tapak yang kukuh untuk memanjat pagar dan batasan, tinggal lagi kesefahaman antara pakatan dalam meraih sokongan amat memerlukan satu perpaduan yang utuh dan jitu, bukan sekadar mahu menang pilihan raya sebaliknya mahu berkhidmat untuk rakyat dengan penuh hemah dan jujur selaras dengan nama sebuah PAKATAN.
by: Pakdoe
0 comments:
Catat Ulasan