Isnin, 11 Julai 2011

PAS mahu inkues siasat kematian peserta Himpunan Bersih


KUALA LUMPUR, 11 Julai – PAS Selangor mahu Putrajaya mengadakan satu inkues berhubung kematian penyokong Bersih 2.0, Baharuddin Ahmad yang menyertai perhimpunan di ibu negara kelmarin.

PAS Selangor juga menegaskan pihaknya musykil ekoran percanggahan kenyataan pihak polis Kuala Lumpur berhubung kematian Allahyarham Baharuddin.

“Sehubungan itu, PAS Selangor menuntut satu inkues dilakukan, laporan post-mortem didedahkan, siasatan terbuka dilakukan dan pihak yang terbabit dibawa ke muka pengadilan serta-merta,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, mengikut keluarga Allahyarham Baharuddin seorang yang sihat dan tidak pernah mempunyai sejarah sakit jantung.

“Kenyataan keluarga mangsa bahawa empat tulang dada Allahyarham dan tiga batang giginya patah sangat-sangat menimbulkan keraguan kepada kewibawaan kenyataan pemangku ketua polis Kuala Lumpur,” kata Khairuddin lagi.

Baharuddin merupakan ahli PAS Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataannya, Khairuddin juga berkata, pihaknya kesal kerana pihak berkuasa menggunakan kekerasan berlebihan ke atas peserta perhimpunan aman.

“PAS Selangor menuntut agar Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Amar Singh Ishar Singh) bertanggungjawab di atas kematian Allahyarham dan juga segala pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak polis ketika perhimpunan tersebut,” katanya lagi.

Katanya, sikap kerajaan yang terus menafikan kekerasan keterlaluan pihak polis terhadap peserta demonstrasi aman sangat tidak bertanggungjawab walaupun bukti-bukti video dan gambar sangat jelas membuktikan kejadian tersebut.

Dalam kenyataannya, Khairuddin berkata PAS Selangor juga mahu pihak terbabit khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil serius suara rakyat yang telah berhimpun menemusi Kuala Lumpur walaupun disekat oleh lebih 40 sekatan jalan raya.

“Mesej rakyat ini wajib dipandang serius oleh pentadbiran Perdana Menteri terhadap pilihan raya yang adil,” katanya lagi.

Menurut Amar Singh semalam, Baharuddin yang juga seorang pemandu teksi mati akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih.

Sehubungan itu, Amar Singh berkata polis menafikan bahawa kematian Baharuddin berpunca daripada sebarang tindakan mereka.

“Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya.

Amar juga memberitahu bahawa usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharuddin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

“Semasa bedah siasat oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kecederaan dalaman,” kata beliau.

Amar Singh juga menegaskan tiada sebarang gas pemedih mata atau meriam air digunakan untuk meleraikan perhimpunan semasa Baharuddin berada di kawasan di KLCC.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code