Isnin, 11 Julai 2011

Bersih 2.0: Pemuda PAS buat laporan di Suhakam esok

Oleh Syed Mu’az Syed Putra-Malaysia Insider



KUALA LUMPUR, 11 Julai – Dewan Pemuda PAS pusat akan membuat satu laporan rasmi di Suhakam esok berhubung tindakan keras pihak berkuasa semasa menangani peserta Himpunan Bersih 2.0 kelmarin.

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung kekerasan yang digunakan pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.

“Isunya sekarang adalah mengenai keganasan pihak polis atau pihak keselamatan yang bertindakn ganas ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

“Dan, kita mempunyai banyak bukti sama ada melalui gambar atau rakaman video yang secara jelas memaparkan tindakan ganas polis ke atas peserta yang ketika itu dalam keadaan tidak bersenjata dan tidak mencetuskan provokasi tetapi mereka ditindas dengan begitu kasar dan kejam oleh polis,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, ekoran tindakan ganas pihak keselamatan itu ramai peserta perhimpunan mengalami kecedaraan fizikal akibat diserang.

“Ada yang cedera, ada juga yang terpaksa menerima jahitan dan ada yang ditangkap oleh polis tanpa sebarang rasa belas kasihan.

“Janganlah kerana mereka (polis) mempunyai meriam air, belantan dan gas pemedih mata mereka boleh bertindak dengan sesuka hati ke atas rakyat,” katanya.

Menurut Nasrudin, tindakan pihak keselamatan itu bertentangan dengan amalan demokrasi negara yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

“Dalam amalan demokrasi negara rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan kita tidak faham mengapa polis bertindak ke atas peserta.

“Ini merupakan satu pencabulan dalam sistem demokrasi negara dan kami sekarang masih mengumpul bukti keganasan polis... kita setakat ini telah mengumpul banyak bukti,” katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya berharap agar laporan yang akan dibuat kepada Suhakam esok akan dinilai dan tindakan selanjut harus diambil.

“Kita minta Suhakam siasat perkara ini dan bawa kepada pihak berkuasa dan kita juga mahu insiden keganasan ini disiasat segera dan anggota yang terlibat juga perlu disiasat,” katanya.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code