Rabu, 13 Julai 2011

Hilang RM100 Juta - Tak Masuk Akal, Kata Tony Pua


KUALA LUMPUR 13 JULAI : Tuduhan kononnya perhimpunan aman Bersih menyebabkan peniaga a kehilangan pendapatan RM100 juta hanya mencerminkan kedangkalan pihak yang menyebarkan dakwaan itu, kata seorang Ahli Parlimen hari ini.

Hakikat ialah Indeks Komposit Bursa Malaysia melonjak kepada 1594.74 mata sehari sebelum perhimpunan itu, berbanding 1582.35 empat hari sebelumnya, kata Tony Pua dari DAP.

Kenaikan di Bursa itu tetap berlaku sungguhpun kerajaan ketika itu sudah pun melancarkan gerakan mengharamkan Bersih, menangkap penyokongnya dan mengugut untuk bertindak keras menyuraikan perhimpunan pada Sabtu lalu.

Justeru, indeks Bursa jelas menunjukkan prestasi ekonomi tidak terjejas akibat penyertaan orang ramai dalam sebuah perhimpunan secara aman, kata beliau.

“Malah jika polis memberikan kerjasama kepada Berih, perniagaan di pusat Bandar tentunya meraih keuntungan dan menggalakkan pelancongan dalaman,” kata beliau.

Sejak Sabtu lalu, media arus perdana mencanang dakwaan-dakwaan kononnya peniaga kehilangan RM100 juta akibat kekecohan pada perhimpunan Bersih yang disertai oleh ribuan orang pelbagai kaum untuk menuntut proses pilihanraya yang lebih adil dan telus.

Bagaimanapun tindakan polis melepaskan gas pemedih mata dan air berkimia menimbulkan keadaan yang huru hara. Dalam asakan itu, seorang meninggal dunia manakala beberapa kecederaan turut dilaporkan.

“Sayugia diingatkan bahawa di banyak negara membangun dan negara maju, perhimpunan demokratik diadakan secara aman, termasuk di Korea Selatan, Hong Kong dan dan Taiwan tanpa menjejaskan prestasi ekonomi mereka,” kata beliau.

Menurut Pua, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia terjejas kerana respon kuku besi kerajaan terhadap tuntutan Bersih dan provokasi yang dilakukan kerajaan dan polis untuk menyuraikan perhimpunan aman itu.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code