Sabtu, 16 Julai 2011

Giliran adik tiri Saddam dihukum mati

Watban Ibhrahim Hassan (kanan) dan Sabawi Ibrahim al-Tikriti antara lima pegawai kanan Saddam yang akan dihukum mati.

Watban Ibhrahim Hassan, Sabawi Ibrahim al-Tikriti bakal dibunuh dalam masa sebulan

BAGHDAD: Lima pegawai era bekas Presiden Saddam Hussein termasuk dua adik tiri beliau akan menjalani hukuman mati dalam tempoh sebulan selepas tentera Amerika Syarikat menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Iraq, kata pegawai kerajaan, semalam.

Mereka yang diserahkan kepada kerajaan Iraq pagi kelmarin adalah antara 206 pesalah berprofil tinggi yang ditahan tentera Amerika, menjelang pengunduran askar penjajah itu akhir tahun ini.

“Kami menerima kumpulan terakhir 206 pesalah Iraq yang ditahan tentera Amerika, termasuk lima pegawai kanan daripada rejim sebelum ini. Mereka akan dihukum mati dalam tempoh sebulan,” kata jurucakap Jabatan Kehakiman, Haidar al-Saadi.

Beliau berkata, antara yang akan menjalani hukuman mati ialah dua adik tiri Saddam, Watban Ibhrahim Hassan dan Sabawi Ibrahim al-Tikriti.

Selain itu, bekas Menteri Pertahanan, Sultan Hashem Ahmad; bekas panglima tentera, Jeneral Hussain Rashid al-Tikriti dan Aziz Saleh Numan, juga termasuk mereka yang diserahkan kepada pihak berkuasa Iraq dan bakal dihukum bunuh.

Kelima-lima mereka sudah dijatuhi hukuman mati dalam beberapa perbicaraan berasingan.

“Menteri Kehakiman, Hassan al-Shammari mengadakan perbincangan dengan majlis presiden awal minggu ini mereka bersetuju untuk tidak menangguhkan pelaksanaan hukuman mati.

Di bawah undang-undang Iraq semua hukuman mati mesti dipersetujui secara rasmi oleh Presiden Jalal Talabani atau oleh dua naib presiden.

Semua 206 tahanan yang diserahkan itu sebelum ini ditahan tentera Amerika di pusat tahanan Kem Cropper di pinggir Baghdad.

Saddam yang digulingkan dalam pencerobohan tentera Amerika pada 2003, ditahan selama tiga tahun di Kem Cropper sehingga menjalani hukuman mati pada Disember 2006. – AFP

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code