Rabu, 20 Julai 2011

Catatan tahanan PSM: Dua lokap, dua neraka - Soh Sook Hwa

Pada jam 6 petang 26 Jun 2011, bersama Jeyakumar Devaraj, Sarasvathy Muthu, A.Letchumanan, Choo Chon Kai dan seorang peserta yang buat pertama kali mengambil bahagian program kami, pemandu bas, kami tujuh orang dibawa ke lokap cawangan khas, sambil diiringi siren kereta polis.


Tapak kaki dijadikan kayu ukur. Dengan selipar yang ada, berulang-alik saya mengukur ruang bilik yang mengurung saya. Lebarnya 8 dan setengah "tapak kaki", dan panjangnya 23 dan setengah "tapak kaki" saya, bersamaan kira-kira luas 6 kaki lebar dan panjang 16 kaki.

Satu orang, satu lampu, satu lantai yang dipenuhi tahi tikus, satu katil kayu, satu mangkuk tandas ala-cangkung, satu paip air tanpa penyembur. Katilnya berdebu disebabkan balai polis yang masih dalam pengubahsuaian; baunya pelik disebabkan kebasahan simen. Senyap-sunyi, melainkan bunyi pintu di luar ketika dibuka, dan bunyi langkah yang bergema.


Tingkap besi tiga lapis, dengan lebar dua kaki dan panjang satu kaki menjadi hiasan tembok yang menghala ke luar. Terdapat satu lubang yang berbentuk panjang, seperti peti surat - pada pintu besi, kebetulan tingginya pada paras mata ketika saya berdiri. Saya akan berdiri di depan pintu, melegakan diri dari kehangatan kebasahan dalam bilik - melalui lubang tersebut.


Ia semacam waktu pejabat, 6 hingga 7 jam saya disoal-siasat pada waktu siang - antaranya pegawai cawangan khas tempatan dari Pulau Pinang, pegawai siasatan jenayah dari Bukit Aman. Mereka mengambil berat apakah aktiviti yang saya terlibat ketika berada di kampus, pernahkah saya melawat Kampung Perdamaian Selatan Thailand? Tempat pelancongan yang pernah saya kunjungi? Siapa yang rapat dengan saya dalam parti? Mengapa memilih PSM dan bukannya PKR atau DAP?

Orang seperti saya ni tak pasti pun nombor motorsikal saya - tak terdaya saya nak ingat bila, mana saya berjumpa dengan Jeyakumar, Sarasvathy, Choo Chon Kai buat kali pertama. Tiga kumpulan penyiasat tak jemu-jemu mengulangi soalan yang agak sama kepada saya. Ada kalanya mereka cuba memujuk saya, malah berkuliah tentang sejarah pembentukan negara versi Barisan Nasional.

"Tahukah kau, kemerdekaan Malaysia sangat bernilai. Ia diperolehi tanpa setitis darah daripada Tunku Abdul Rahman, tanpa diragut satu nyawa manusia." Pegawai dari Bukit Aman berteriak kepada saya dengan bahasa kantonis, "Tahukah kau, korang pergi demonstrasi, orang Kuala Lumpur akan kehilangan RM700 juta!"

Saya masih muda. Meruap-ruap kemarahan saya. Saya ingin balas, namun ditakdirkan tidak diberi peluang. "Dengar dulu kata saya, kau dengar dulu..." Sememangnya dia nak menekan, bukan untuk nak berbicara dengan rasional. "Betul tak kata saya? Betul tidak kata saya?" Saya hanya senyum bisu, dengan sikap "tak ambil pot".

Dua penjara; dua neraka

Kadang-kala saya berpeluang juga. Mereka ingin mengetahui perjuang Parti Sosialis Malaysia (PSM), maka saya bermula dengan isu gaji minima, disusuli pula masalah penswastaan perubatan, dan pendidikan percuma. "Berapa gaji ketua kamu yang paling tinggi rankingnya?" "17 ribu." "Berapa pula gaji anggota polis kelas paling rendah?" "800 lebih." "Bukankah jauh bezanya? 10% pun tak sampai!"

Dia pun bersetuju, memesan agar jangan lupa memperjuangkan kebajikan polis jika saya berkuasa satu hari nanti. "Perjuangan kamu ni tak salah, tapi demonstrasi jalanan tu salah-lah!"

Meskipun tempoh soal jawab agak panjang pada siang hari, malah diulangi soalan yang sama berkali-kali, sehingga membosankan. Namun ia lebih baik daripada kesepian pada waktu malam. Walapun penat juga dengan kerja mendidik polis (dalam isu dasar, hak asasi manusia), dan lapang juga selepas makan malam - namun tidak lena tidur saya pada waktu malam. Saya terjaga tiga jam sebelum waktu pagi, kerana kepanasan - dengan peluh yang membasahi seluruh tubuh saya.

Dulu saya ingat bilik lokap semestinya dingin. Selepas tahanan reman yang dipanjangkan tujuh hari, saya dimasukkan ke dalam lokap besi biasa. Saya gagal tidur kerana terlalu sejuk, berbanding lokap sebelumnya yang tertutup. Dua neraka sebenarnya. Tulang belakang saya amat sakit lantaran katil kayu. Selepas mandi dengan sabun (yang diperjuangkan kami), penantian yang tak terhingga menunggu di depan. Berulang kali, saya duduk, baring, atau bermundar-mandir dalam bilik - merenung, bercakap dengan diri sendiri.

Ini sebahagian daripada rekaan. Penangkapan dengan alasan yang tidak masuk akal, kemudian dikurung dalam bilik yang dahsyat keadaan kebersihannya - disoal-siasat dalam jangka panjang - oleh pegawai yang memainkan peranan berbeza, satunya cuba menekan, satu pula cuba berbaik-baik dengan kamu. Kemudian anda dikurungkan berseorangan dalam bilik - kesunyian dalam tidak tenteram - dan anda merasakan diri kamu tidak terdaya melakukan apa-apa.

Mendakwa rakan seperjuangan menikam dari belakang

Mereka provok dengan kata-kata yang sengaja mencungkil kemarahan anda, mencabar keyakinan dan kepercayaan anda, melunturkan semangat anda, mengadu domba antara kamu dengan rakan seperjuangan.


"Dari wajah Choo Chon Kai (gambar kiri), saya rasa dia orang yang licik, bukan seorang yang harus kau percayai. Dia mungkin tikam kau dari belakang, menuduh kesemua T-shirt tu milik kau!"


Sama ada T-shirt itu milik saya atau tidak, wajah orang pun kamu gunakan untuk berteori... "Sungguh hebat kau," ujar saya. Mereka asyik memesan, "Baik kau berfikir balik nanti!"

Ya, sudah saya menginsafi sebaik-baiknya. Walaupun penat dengan aktiviti dan organisasi parti sebelumnya, pernah juga timbul rasa malas dalam diri saya, dan tidak mahu berbuat apa-apa lagi. Lapangnya hidup saya dalam lokap, tapi saya gagal melakukan apa-apa, tak terdaya nak lakukan apa-apa. Saya akan mengingati perbezaan sedemikian, untuk menyuntik semangat supaya saya lebih berusaha dan lebih tekun. Saya tidak takut, saya menyertai PSM bukan kerana orang lain. Kami menyaksikan ketidakadilan dan ketidaksaksamaan dalam masyarakat, lantas kami melibatkan diri dalam perubahan.

Saya masih muda. Saya masih marah - tanpa sebab saya dilabelkan, kemudian polis menahan kami untuk 10 hari atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong. Mereka cuba melemahkan kami, cuba menghukum kami untuk BN. Saya lebih marah kerana enam orang sahabat saya masih ditahan tanpa perbicaraan di bawah Ordinan Darurat. Mereka kehilangan kebebasan. Saya sangat marah.

Namun, saya sedar juga bahawa tiada lagi tempat untuk pembohongan di atas tanahair ini. Cahaya mentari bakal mencerahkan segala-galanya selepas subuh.


*Soh Sook Hwa (gambar kanan) adalah graduan Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah mencabar Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) kerana menyanggah perlembagaan, namun gagal. Beliau adalah AJK PSM dan Setiausaha cawangan Bayan Baru. Beliau ditangkap bersama 30 aktivis PSM yang lain pada 26 Jun 2011, dan dibebaskan selepas 10 hari. Kini enam orang aktivis PSM masih ditahan di bawah Ordinan Darurat. Diterjemah dan disunting dari teks asal.


Source: http://www.merdekareview

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code