Khamis, 23 Jun 2011

RUPA-RUPANYA SUDAH 50 TAHUN UMNO MENANG DENGAN MENIPU??

Senario politik tanah air kini kian terdedah tembelangnya apabila dengan jelas pihak SPR gerun untuk menyatakan pendirian dalam memastikan pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih dan adil?

Mengapa juak-juak umno, perkasa, pemuda umno, polis, KDN dan beberapa sektor kerajaan lain menentang Bersih, jika sudah mengetahui bahawa Bersih itu dilaksanakan berlandaskan undang-undang yang terdapat dalam artikel 10 perlembagaan. Berkenaan keamanan pula, pihak yanng berkaitan telah menjelaskan bahawa Bersih tidak akan membuat sebarang provokasi untuk mencetuskan sentimen yang boleh membawa keadaan huru-hara.

pengharaman dan larangan kerajaan BN untuk menghalang Bersih dari dilaksanakan jelas membawa mesej kepada kita bahawa selama ini SPR dan BN bersekongkol dalam memanipulasi peti undi dan jumlah pengundi yang sebenarnya. Kalau tidak mengapa mereka begitu takut dengan Bersih?

Apakah BN dan SPR mengira bahawa sistem yang ada sekarang ini bear-benar bersih dengan mengatakan bahawa kerajaan sudah kehilangan 5 buah negeri? Ini juga alasan bodoh BN, jika benar-benar bersih sudah tentu pilihan raya 2008, pembangkang bukan hanya setakat 5 buah negeri sahaja yang menang, bahkan Putrajaya juga telah lama menjadi milik pembangkang, alasan yang kerajaan BN bagi kepada rakyat semuanya alasan-alasan yang dangkal dan sempit. Sama seperti kenaikan harga barang kemudian membandingkan dengan negara lain, ini juga tidak masuk akal kerana negara lain, lain pula struktur ekonominya, budayanya, gaya hidupnya, tarafnya, gajinya? Takkan masalah ini tidak pernah disedari oleh kerajaan.

kalau kerajaan tidak sedar, rakyat sudah lama sedar akan kekurangan ini, umpama tiada garam dalam makanan, kerajaan harus mengambil kira perkara ini agar sistem demokrasi dapat menjadi satu wadah yang didukung oleh sifat kebenaran dan keikhlasan parti yang memerintah. Kerajaan tidak perlu gelabah dan kalut? Rakyat sudah terhidu akan kelemahan yang ada dalam sistem SPR negara. Ini saja!

Jadi mengapa harus dihalang perkara baik ini untuk diteruskan, Malaysia bukan sebuah negara komunis yang hanya boleh mendengar arahan pemerintah sahaja, sebaliknya kerajaan juga harus sokong dengan sebaik-baiknya untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia memang mengamalkan ciri-ciri demokrasi terpimpin dan berhemah. Sistem pilihan raya yanng menjadi nadi utama untuk menntukan parti yang mewakili rakyat benar-benar dipilih atas dasar keadilan dan bukan membeli rakyat untuk mengekalkan kuasa pemerintah ditangan kerajaan yang sedia ada.

Sejarah dunia telah banyak menyajikan peristiwa-peristiwa penting yang melibatkan demonstrasi ini! Kebanyakan kemerdekaan yang dikecapi oleh sebuah negara merdeka dipelopori oleh rakyat yang membuat protes di jalan-jalan raya. Perkara ini juga harus diingati oleh BN, sebagai peneraju kerajaan awal malaysia.

Kesimpulannya, perhimpunan yang bakal diadakan nanti adalah perhimpunan bersih yang bernaung di bawah badan bukan kerajaan NGO. Jadi tidak ada sebab mengapa perhimpunan sebegini tidak patut diadakan. Jika sambutan dan perhimpunan untuk perkara-perkara lain kerajaan mampu benarkan meski terpaksa menyusahkan rakyat dengan menutup beberapa laluan utama. Mengapa pula sekali ini kerajaan begitu payah untuk melakukannya? Apakah sebenarnya kerajaan BN selama ini memang benar-benar tidak bersih dan menang pilihan raya dengan gaya menipu??

...ini laporan Malaysiakini sila baca:

Apakah dia tuntutan penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) yang dipandang oleh polis, Umno (termasuk Pemuda Umno) serta PERKASA sebagai keterlaluan dan memudaratkan keselamatan negara?

Apakah salahnya membenarkan orang ramai, aktivis masyarakat, pemimpin pelajar dan pemimpin politik berkumpul sebelum berarak di dua tiga batang jalan utama Kuala Lumpur dan menyampaikan memorandum secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong?

Jalan-jalan Kuala Lumpur pun kerap ditutup untuk acara marathon, lumba basikal, dan pelbagai perarakan lain. Tidak pula ada laporan polis atau aduan dibuat kononnya peniaga dan pemandu teksi hilang pendapatan. Kenapa Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dianggap begitu berlainan sekali?

Jangan lupa, jalan-jalan Putrajaya ditutup baru-baru ini untuk menghimpunkan sejuta belia yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menggunakannya bagi “mempertahankan” singgahsana kuasa politik negara daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat.

Kenapa Umno dan juak-juaknya begitu negatif terhadap BERSIH 2.0? Apakah perlunya polis memberikan amaran untuk “bertindak tegas' terhadap mereka yang menyertai perhimpunan ini?

Apakah bezanya perhimpunan ini dengan puluhan himpunan-himpunan yang dianjur oleh PAS, Umno, PERKASA dan pertubuhan lain di kedutaan Amerika Syarikat, Britain setiap kali isu Palestin diperjuangkan.

Gulingkan kerajaan

BERSIH 2.0 bukanlah tunjuk perasaan untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dan ia jauh sekali untuk mengalih pandangan rakyat daripada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim.

BERSIH 2.0 adalah insiatif pertubuhan bukan kerajaan yang dipimpin oleh peguam Datuk Ambiga Srinevasam, seorang aktivis yang mendokong keluhuran pelembagaan dan hak asasi manusia.

Benar, BERSIH disokong oleh parti-parti pembangkang. Namun adalah satu hakikat juga bahawa Ambiga telah beberapa kali menggesa parti-parti BN untuk turut serta menyokong perhimpunan ini kerana:
  1. Perhimpunan adalah secara aman
  2. Seluruh rakyat mahukan pilhanraya yang telus dan adil, dan parti politik harus memberi sokongan kepada tuntutan ini.
  3. Semua pihak mahu melihat SPR lebih professional dalam isu-isu seperti tempoh kempen minimum 21 hari, penggunaan dakwat kekal untuk mengatasi masalah pengundian bertindih dan pendaftaran automatik pengundi mencapai umur 18 tahun.
Tidak ada satu pun dalam tuntutan ini yang boleh dikatakan memihak kepada pembangkang mahu pun pemerintah.

Tidak ada satu pun dalam desakan pada perhimpunan BERSIH 2.0 akan memberikan sebarang kelebihan kepada Umno mahupun PAS dalam mempengaruhi citarasa pengundi Melayu.

Malaysia jauh daripada ambang kebangkitan rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mobarak di Mesir dan lebih jauh lagi daripada sebarang serangan NATO seperti yang berlaku di Libya.

Banyak rungutan
Namun secara jujur, apakah BN beranggapan rakyat tidak mempunyai sebarang rungutan tentang cara Suruhanjaya Pilihanraya mengendalikan pemilihan di negara ini?

Selepas 12 pilihan raya umum, rasanya tidaklah keterlaluan untuk berharap rakyat tidak lagi diselubungi dengan undi pos yang mencurigakan, atau pengundi hantu dalam daftar pemilih. Begitu juga dengan perpindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Namun ini semua berlaku dan kadar amalan-amalan ini berleluasa menjelang pilihan raya umum ke-13 amat membimbangkan pihak-pihak di sebalik penganjuran BERSIH 2.0.

Selepas lima dekad kita mengurus negara sendiri, masih berlaku kes 'bekalan elektrik boleh terputus tiba-tiba apabila calon Pakatan Rakyat mendahului pengiraan dengan lebih 1,000 undi. Bekalan elektrik pulih sejam kemudian dan calon BN menang dengan 58 undi, dibantu oleh undi pos.

Lebih mengejutkan Pegawai Pilihanraya mengambil keputusan tidak perlu diadakan pengiraan semula walaupun undang-undang memperuntukkan keperluan itu. Ini berlaku di Senadin, Miri pada pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.

Undi pos dikatakan membantu Umno-BN menang di sekurang-kurangnya 25 kerusi parlimen dalam PRU yang lalu dan menjadi kebimbangan paling besar gagasan pembangkang untuk PRU ke-13.

Amat mencurigakan

Penambahan mendadak jumlah undi pos amat mencurigakan – hampir enam ribu di Pulau Pangkor, 10 ribu di Setiawangsa.

Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri prajurit didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa pengetahuan mereka.

Mereka tidak mengisi Borang A iaitu borang perpindahan daripada pengundi biasa kepada pengundi Pos, namun pendaftaran itu diterima oleh SPR.

Nama mereka hanya dikeluarkan daripada senarai pengundi pos setelah PAS membuat bantahan dan menuntut SPR menjalankan siasatan.

Hujah yang dilazim diberikan oleh Umno-BN adalah jika SPR tidak adil dan cenderong kepada pemerintah, mana mungkin pembangkang boleh menang besar pada PRU yang lalu.

Hujah balas ialah, jika SPR memang adil dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawabnya, maka negara sudah pun ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon-calon Pakatan tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan mereka mendapat sekurang-kurangnya 55 peratus daripada jumlah undi untuk memastikan pengiraan undi tidak dimanipulasi.

Ini satu tanggungjawab yang amat berat kerana lawan Pakatan Rakyat dalam PRU bukan parti Umno-BN semata-mata.

Pakatan Rakyat sebenarnya berdepan dengan parti Umno-BN yang disokong dengan segala wang rakyat, kemudahan awam, institusi kerajaan dan jentera media arus perdana.

Bagi Umno-BN, tidak ada batas untuk menggunakan segala kelebihan kerajaan pemerintah untuk agenda politiknya, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya.

Apakah SPR mahu sekali lagi tergolong sebagai sebahagian daripada aparatus BN untuk memenangi PRU yang akan datang?

Biarlah Himpunan BERSIH 2.0 menzahirkan harapan rakyat yang mahu SPR melaksanakan amanahnya secara adil, telus, dan berkecuali dalam mengendalikan pilihanraya demi masa depan negara tercinta ini.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.



Source: MK

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code