Polis sudah mula mengatur gerak dan membuat beberapa strategi bagi menghalang Bersih 2.0 diteruskan, agenda dan polisi Bersih untuk berhimpun secara aman bagi memprotes dan berarak untuk menyerahkan mamorandum tuntutan kepada DYMMSPBYDPA.
Dari sudut politiknya Malaysia masih jauh untuk menggapai status demokrasi yang sebenarnya, walau demokrasi berparlimen. Kerajaan yang memerintah Umno-Barisan Nasional yang tidak mahu menjadikan protes rakyat ini sebagai satu budaya dan akan menghalangnya dengan berbagai cara, dengan jelas menggambarkan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi. Sebaliknya kerajaan BN hanya mengambil pendekatan yang lebih ekstrem dengan mengugut rakyatnya sendiri dan menghebohkan keburukan-keburukan yang bakal berlaku andai protes ini diteruskan.
Media-media arus perdana telah lama disekat untuk memberi peluang kepada rakyat memprotes, dan ruang untuk berbuat demikian semakin mengecil dengan kemunculan beberapa sub-sub akta dan perundangan yang dicipta untuk menghalang sesuatu yang mengancam kestabilan politik parti yang memerintah.
Jika dari sudut ekonomi, kerajaan Umno-BN sering kali membandingkan harga dengan negara-negara lain yang mengatakan bahawa segala harga barang di negara ini jauh lebih murah berbanding negara lain meskipun berkali-kali naik harga. Namun malang sekali dalam bab politik, kerajaan Umno-BN tidak pernah berbuat demikian, dalam bab berdemontrasi/rapat umum ini, kerajaan Malaysia seolah menyembunyikan dan mengharamkan terus Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan setiap warganegara Malaysia berhak bersuara dan mengeluarkan pendapat disamping berhak juga berhimpun secara aman.
Sedangkan bagi negara-negara lain yang berhampiran dengan Malaysia, perkara ini adalah suatu proses yang biasa. Mengapa demikian? Mungkin Muhyiddin Yassin yang telah mengakui dan berbangga dengan partinya serta mendakwa partinya adalah 'pakar' dalam politik justru mengharamkan demo adalah strategi untuk mengekalkan kuasa mereka? Apakah ini tujuan ketidakbenaran berdemo ini, dengan mengambil kira kuasa POLIS sahaja dapat menyuraikan kehendak rakyat ini. Apakah POLIS suatu badan yang di dakwa bebas dengan sebarang parti politik ini tidak memahami fasal artikel 10?
Apakah polis ini dengan jelas bersekongkol dengan UMNO-BN, sedangkan polis tahu dan telah diberi taklimat berkaitan program Bersih ini? Mengapa mesti dihalang kehendak rakyat ini? Jika sekali imbas, pembersihan senarai pengundi sebagai satu agenda Bersih sepatutnya diselitkan juga bahawa anggota polis tidak layak mengundi kerana jelas, polis menyokong kerajaan Umno-BN. Polis di Malaysia telah dikenal pasti sebagai satu badan yang memihak kepada kerajaan yang memerintah.
Sebab itu Ketua Polis Kuala Lumpur telah melakarkan cara untuk menghalang agar Bersih tidak diteruskan. Secara rutinnya, polis dengan segala kelengkapan perangnya akan menghalang dan menangkap peserta bersih seawalnya sebelum kejadian berlangsung, namun apakah akan ada penyamar-penyamar yang menimbulkan provokasi dalam Bersih sehingga akhirnya Bersih dilabel sebagai pengganas, menyusahkan dan huru-hara?
Perkasa dan Pemuda Umno menyatakan turut akan berhimpun sebenarnya harus dilihat sebagai watak yang berpotensi untuk membuat provokasi dan mencetuskan kemarahan atau sesuatu yang tidak senang dalam kalangan peserta Bersih 2.0. Mengapa mereka ini turut membuat demo ini, apakah tujuan mereka? Apakah sebagai satu proksi Umno-BN dan cuba menggagalkan Bersih? Jika ini tujuan mereka sepatutnya mereka tidak layak berbuat demikian kerana sudah jelas akan maksud mereka iaitu untuk mencemarkan imej Bersih?
Sepatutnya juga pihak polis tidak membenarkan mereka membuat perhimpunan ini pada tarikh yang sama dengan Bersih 2.0. Baru betul!
Kesimpulannya secara umum kerajaan Umno-BN tidak sepatutnya menghalang bersih ini dengan cara yang ekstrem, sebaliknya tuntutan rakyat melalui proses ini adalah merupakan satu ujian yang harus diduduki dalam sesebuah negara yang didakwa dan terdokong sebagai sebuah negara demokrasi.
0 comments:
Catat Ulasan