Rabu, 18 Mei 2011

BEKAS ASP MAUT CUBA LARI DICEKUP JAWI

TERJUN DARI TINGKAT 16

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah hotel di Jalan Raja Muda Aziz di sini, dipercayai ketika cuba melarikan diri dari serbuan penguat kuasa agama, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun dikatakan keluar melalui tingkap bilik hotel berkenaan bagi mengelak dicekup selepas menyedari kehadiran sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menjalankan operasi cegah maksiat.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh dan ditemui mati di lantai balkoni tingkat lima hotel itu kesan kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang menamatkan perkhidmatan dalam pasukan polis pada 1992 dengan pangkat Asisten Superintendan, dikatakan menginap di hotel itu bersama seorang janda berusia 40-an.

Ketika operasi, pegawai penguat kuasa JAWI yang masuk ke dalam bilik hotel itu selepas dibuka janda berkenaan mendapati tingkapnya terbuka dan apabila menjenguk ke bawah, mereka melihat mayat mangsa di lantai tingkat lima.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mangsa, tetapi mengesahkan polis sudah mengambil keterangan wanita itu serta pegawai JAWI yang terbabit dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.


Pegawai JAWI yang terbabit dalam operasi cegah maksiat itu juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. 


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code