Rabu, 20 April 2011

Pegawai bank didakwa pecah amanah RM14 juta

Bekas ketua pusat khidmat pelanggan Bank Muamalat Berhad, Aishah Mohamed Rose, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown terhadap lima tuduhan pecah amanah jenayah wang milik bank itu berjumlah RM14.2 juta enam tahun lalu.

Suami Aishah, Johari Ahmad, 54, bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn Bhd, Azman Abdul Aziz, 49, pula dihadapkan ke mahkamah yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan jenayah itu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dan dokumen perjalanan masing-masing diserahkan kepada mahkamah.

Aishah, 50, dituduh melakukan kelima-lima kesalahan itu di Bank Muamalat Berhad, Universiti Sains Malaysia di Jalan Minden, antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009.

Bagi kesalahan pertama, dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah wang milik bank itu sebanyak RM3,363,936.94 antara 27 Januari dan 3 Januari 2005.

Bagi kesalahan kedua Aishah dituduh melakukan pecah amanah jenayah membabitkan sejumlah wang RM3,679,939.54 antara 20 Januari dan 3 Januari 2006, kesalahan ketiga pula didakwa dilakukan antara 5 Januari 2007 dan 2 Januari 2008 membabitkan RM2,889,878.99.

Untuk kesalahan keempat, dia dituduh melakukan kesalahan antara 2 Januari dan 24 Disember 2008 melibatkan RM2,490,758.40 dan kesalahan kelima pula didakwa dilakukan antara 5 Jan dan 16 Julai 2009 membabitkan RM1,780,852.64.

Pertuduhan terhadap Aishah adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan sebatan dan denda, manakala Johari dan Azman didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seskyen 109 kanun yang sama dan memperuntukkan hukuman serupa.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Devanandan. Aishah dan Johari diwakili peguam bela Jagdeep Singh Deo manakala Azman tidak diwakili peguam.

Azman turut mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn Bhd, Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan itu Azman dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM70,000.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat.

- Bernama

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code