Jumaat, 30 Ogos 2013

HUKUM LAP (MENGERINGKAN) ANGGOTA BADAN SELEPAS WUDHU DAN BERSUCI


Menurut Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi[1], “Masalah ini muncul dan menjadi perbincangan di kalangan para ulama iaitu hukum mengelap anggota badan setelah mengambil wuduk atau mandi wajib berdasarkan kepada peristiwa yang diriwayatkan oleh Maimunah Ummu al-Mukminin di dalam sahih Bukhari dan Muslim, katanya, “Aku mendekati Nabi SAW, ketika itu Nabi SAW baru selesai mandi hadas besar. Lalu aku membawa sehelai kain kepada Nabi SAW, akan tetapi baginda menolaknya.”

Berdasarkan hadis ini, sebahagian para ulama telah menjadikannya sebagai sandaran bahawa lap anggota badan setelah mengambil wuduk atau mandi hadas besar adalah makruh, lebih baik meninggalkannya atau seumpama dengannya.

Namun berdasarkan hadis tunggal ini, Ummu Maimunah tidak menerangkan pula mengapa Nabi SAW menolak kain tersebut, sekurang-kurangnya pasti Nabi SAW akan mengatakan alasan mengapa baginda menolak kain tersebut, tambah lagi ia melibatkan hukum hakam.

Mungkin boleh jadi kain itu tidak bersih tanpa disedari oleh Ummu Maimunah. Mungkin juga Nabi SAW tidak menghendaki kain lap ketika itu. Mungkin juga Nabi SAW mandi dengan air yang amat sedikit, maka tempoh Ummu Maimunah datang dengan kain, badan baginda telah pun kering daripada air. Boleh jadi juga keadaan ketika itu amat panas, kerana di negara Arab Saudi amat panas ketika musim panas, lalu Nabi SAW tidak berhajat kepada kain lap, kerana Nabi SAW telah pun selesa dan segar dengan air mandian. Demikian juga ada andaian-andaian lain yang munasabah.

Justeru, para ulama seperti Ibnu Munzir mengharuskan lap anggota badan setelah mengambil wuduk dan mandi hadas besar berdasarkan kepada contoh yang dilakukan oleh para sahabat, para tabi’in dan majoriti ahli fikah. Pendapat ini adalah terpilih dari kebanyakan pendapat. Ini kerana, ia adalah urusan dunia, bukan melibatkan urusan agama.

Kata Imam Nawawi, “Yang tepat dalam mazhab kami, lebih baik meninggalkannya. Namun tidaklah sampai kepada hukum makruh.”[2]

[1] Fikh at-Taharah, Yusof al-Qaradhawi, hlm. 164 – 165

[2] Al-Majmu’, 1/458 – 462

P/S: KESIMPULANNYA: Dibenarkan menyapu/mengelap anggota yang basah selepas wuduk. Ia bukan makruh apatah lagi haram. Tidak ada dalil yang melarang dalam hal ini.

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code