Aktivis Umno akhir-akhir ini banyak menimbulkan cerita buruk mengenai perletakan jawatan saya dari PETRONAS dalam tahun 2009. Fitnahnya adalah saya dibuang kerana membuat tuntutan perbelanjaan yang menyeleweng.Mulanya saya tidak mahu melayan kerana ia fitnah picisan.
Agaknya mereka masih mencari kelemahan saya, jadi mereka mencipta cerita bahawa saya menyeleweng hingga dibuang untuk mencemarkan kredibiliti saya. Pada kiraan mereka (yang silap), jika kredibiliti saya tercalar, makan tercalar jugalah kredibiliti pendedahan saya selama ini dan yang akan datang.Mutakhir ini saya merasakan jika saya terus berdiam diri, ia tidak membantu kebenaran kerana fitnah terancang ini disebarkan seluas-luasnya.
RafiziSaya tidak dibuang dari PETRONAS (seperti mana yang diketahui ramai orang), saya meletakkan jawatan.Saya dinaikkan pangkat pada umur yang muda, menyertai PETRONAS terus sebagai seorang pengurus sebaik pulang dari London (selepas bekerja selama 3+ tahun di firma perakaunan untuk menjadi seorang akauntan bertauliah dengan ICAEW).
Selepas berkhidmat selama 2 tahun di loji petrokimia PDH/MMSB di Gebeng, saya ditukarkan kembali ke ibupejabat di Menara Berkembar PETRONAS.Jadi, pada umur 27, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Kanan (saya dimaklumkan ia tidak pernah berlaku sebelum itu dan menjadi orang termuda ketika itu dilantik menjadi Pengurus Kanan) yang bertanggungjawab menguruskan keseluruhan perancangan perniagaan, operasi dan teknologi bagi Urusniaga Petrokimia PETRONAS, kerana saya mempunyai ijazah kejuruteraan dan juga seorang akauntan bertauliah.
Selepas 2 tahun di jawatan itu, saya dipindahkan lagi untuk mengetuai jabatan kewangan bagi perniagaan carigali antarabangsa, memandangkan saya mempunyai latar belakang percukaian. Pada ketika itu, ada keperluan untuk mengemaskini amalan percukaian PETRONAS di peringkat antarabangsa kerana banyak kerajaan menggunakan alasan percukaian untuk campur tangan kontrak pengeluaran petroluem yang dimeterai.Oleh itu, menjelang umur saya 31 tahun, saya telah pun diberi peluang menguruskan pelbagai bidang dalam industri minyak dan gas. Saya pernah bertugas di loji petrokimia, di pengurusan korporat, berpengalaman di sektor huluan dan hiliran.
Pada ketika itu, saya juga sedang menunggu masa untuk dinaikkan pangkat lagi.Saya berdepan dengan dilema besar. Jika saya kekal di PETRONAS, dengan kenaikan pangkat dan gaji yang besar, saya mungkin akan kekal selama-lamanya hanya dalam satu bidang kerana terlalu selesa dengan kesenangan dan gaji. Saya tidak mahu bersara dengan pengalaman di dalam satu bidang sahaja, kerana hidup ini lebih meriah jika kita terus menimba ilmu dan pengalaman. Pada ketika itu, saya agak keberatan untuk terus berkhidmat di PETRONAS selepas bon perkhidmatan 7 tahun berakhir.
Kebetulan, menjelang Januari 2008, rakan karib yang banyak mempengaruhi kehidupan saya – Adlan Benar Omar – menghembuskan nafas yang terakhir selepas sakit buat sekian lama. Ben (nama panggilan beliau) adalah senior saya di MCKK, beliau berminat dengan politik dan banyak membaca sejarah sejak dari sekolah. Semasa beliau di Tingkatan 5, saya di Tingkatan 1 dan beliau adalah kapten pasukan bahas yang melatih saya. Semasa kami di sekolah, kami ada berjanji akan memasuki politik dan memberi sumbangan, kerana di sekolah pun ada isu-isu yang dekat dengan hati beliau. Yang bersungguh-sungguh mahu jadi ahli politik adalah Ben, saya hanya angguk saja bila senior bercakap.
Hubungan kami yang terus rapat bermakna kami ambil serius janji itu. Ben melanjutkan pengajian ke Cambridge dan menubuhkan UKEC. Sepanjang masa, beliau mengheret saya ke dalam lingkungan aktivitinya kerana sifat saya yang lebih senang bekerja memudahkan kami menguruskan persatuan yang kami sama-sama sertai.Apabila Dato’ Seri Anwar dipecat dan dizalimi dalam tahun 1998, kedua-dua kami merasa terpanggil untuk membantah. Saya masih di universiti, tetapi Ben yang sudah bekerja di Malaysia terjun ke kancah politik partisan dan menjadi antara tokoh muda awal yang menunjangi KEADILAN. Sekali lagi allahyarham mengheret saya sama ke dalam KEADILAN.
Allahyarham menghembuskan nafas 2 bulan sebelum tsunami politik Mac 2008. Di hari-hari terakhirnya, kami sama-sama faham bahawa apabila beliau tiada, saya tiada pilihan kecuali masuk politik. Ben mengorbankan kerjaya dan hidupnya untuk reformasi, kalau matlamat reformasi tidak tercapai maka pengorbanannya sia-sia. Pada hari-hari itu pun saya sudah sedar bahawa ada ketikanya di masa akan datang hidup saya yang selesa di dunia korporat perlu diakhiri, untuk sama-sama membantu menubuhkan sebuah sistem politik dua parti dan menumbangkan BN.
Menjelang 2009, saya pun membuat keputusan untuk meninggalkan PETRONAS. Saya langsung tidak berniat untuk masuk politik pada ketika itu, tetapi saya merasakan saya perlu keluar dari zon selesa. Saya juga mahu tahu berapa nilai saya sebagai seorang akauntan bertauliah di luar PETRONAS.Pada 30 April 2009, saya menyerahkan surat perletakan jawatan.
Dalam tempoh 3 bulan akan datang, saya melangsaikan semua hutang saya dengan PETRONAS, termasuklah membayar RM31,499.89 baki bon perkhidmatan saya selama 6 bulan berbaki, agar saya mengembalikan setiap satu sen biasiwa pendidikan yang diberika PETRONAS seperti di dalam perjanjian. Saya juga membayar RM41,091.80 baki geran kereta (yang saya pakai sehingga kini), yang diberikan kepada kakitangan pengurusan.
Saya bernasib baik kerana tekaan saya bahawa gaji di luar PETRONAS lebih tinggi adalah tepat. Dengan tawaran yang lebih baik, saya menyertai Pharmaniaga Berhad dalam Ogos 2009 sebagai Pengurus Besar, bertanggungjawab menguruskan kilang farmaseutikal di Bangi dan fungsi kewangan kumpulan itu.Hari pertama saya melaporkan diri di Pharmaniaga adalah 10 Ogos 2009.
Ditakdirkan pada 8 Ogos 2009, saya pulang ke Kemaman untuk bertemu ibubapa dan kebetulan pada malam itu ada ceramah perdana Dato’ Seri Anwar, lalu saya diminta oleh penganjur untuk menjadi pengerusi majlis.Saya tidak keberatan dan bertemu dengan Dato’ Seri Anwar yang agak terkejut saya berada di situ, kerana kali terakhir kami bertemu (semasa perbincangan persediaan debat harga minyak setahun sebelum itu), saya tegas tidak berminat untuk berkecimpung dalam politik.
Beliau bertanya di mana saya bekerja ketika itu, saya maklumkan saya sudah berhenti dari PETRONAS dan akan bermula di Pharmaniaga minggu selepas itu. Yang lain-lain selepas itu adalah sejarah yang berlaku dengan cepat.Susulan dari pertemuan itu, Dato’ Seri Anwar menjemput untuk bertemu beliau di Parlimen sebanyak dua kali. Beliau ada meminta untuk saya kembali menyertai pimpinan parti (saya memegang jawatan pimpinan pusat Pemuda sehingga 2004) – dua kali beliau tanya, dua kali saya tolak.
Akhirnya, bila beliau seolah mencabar saya bahawa “kita perlu bersama berjuang dan bukan hanya pandai mengkritik dari jauh”, saya akur untuk membantu parti.Walaupun saya tidak pernah merancang untuk ke depan seperti sekarang, saya tenang dan tidak menyesal kerana janji bersama dengan allahyarham Ben supaya pengorbanan beliau meninggalkan usia muda tidak sia-sia. Janji itu semakin dekat menjadi kenyataan, apa yang terjadi selepas itu adalah keputusan peribadi saya.
Ada orang yang memperlekehkan sentimentaliti berpegang kepada janji bersama di zaman budak-budak, tetapi janji itu menyuburkan ingatan saya terhadap allahyarham setiap hari.Berbalik kepada PETRONAS, saya bertuah melalui zaman kerjaya yang cukup baik di PETRONAS. Ia banyak mengajar saya dan hampir keseluruhan kemahiran professional saya datangnya dari PETRONAS. Lebih penting, PETRONAS berlaku adil – disiplin kerja saya dihadiahkan dengan kenaikan pangkat yang paling pantas, seperti keputusan kenaikan pangkat yang dibuat pada umur saya 28 tahun yang disertakan bersama.
Perletakan jawatan saya dari PETRONAS mengejutkan ramai kakitangan PETRONAS. Ramai yang kurang faham kenapa saya perlu meninggalkan keadaan yang selesa dan lumayan, apatah lagi apabila prospek untuk saya di PETRONAS cukup baik.
Ramai yang baik hati dan cuba memujuk saya untuk membatalkan hasrat, termasuklah Datuk Mohamad Medan Abdullah, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Korporat Kumpulan (beliau pernah menjadi ketua saya semasa kami di Carigali). Beliau menghantar twit pada 21 Ogos 2012 menerangkan bagaimana beliau juga pernah memujuk saya untuk tidak meletakkan jawatan. Beliau juga mengakui saya tidak pernah menyatakan hasrat untuk menyertai politik pada ketika itu.
Saya harap keterangan ini jelas. Saya tidak mahu melayan fitnah ini kerana meninggalkan PETRONAS adalah keputusan peribadi. Ia berlatar belakangkan pemergian seorang rakan karib dan setiap kali saya mengingatinya, ia membuat saya merasa pilu. Ia perkara peribadi dan wajarlah dikekalkan sifat peribadinya.
Ini adalah keterangan bukan undang-undang yang pertama dan terakhir mengenai perkara ini. Jika berterusan, saya akan mengambil tindakan undang-undang.
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahad, 14 April 2013
BENARKAH RAFIZI RAMLI DIBUANG DARI PETRONAS?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan