Selasa, 8 Januari 2013

WANG BURUH PAKSA 207 BILION: WARIS PERLU TUNTUT SEGERA

PARA waris yang terlibat dengan mangsa buruh kereta maut dulu hendaklah tampil dengan segera menuntut agar kerajaan BN membayar pampasan yang setimpal kepada mereka. Wang itu juga mungkin akan menjadi mangsa pelaburan dalam PRU 13 akan datang jika tidak dituntut segera. Atau mungkin hangus ditelan sang garuda. Bahkan mungkin wang itu telah lama habis dipulun.

KUALA LUMPUR: Waris-waris buruh paksa pembinaan Landasan Keretapi Maut Siam-Burma didesak agar menuntut segera wang pampasan RM207 bilion daripada Kerajaan Malaysia yang telah dibayar oleh Kerajaan Jepun sekitar tahun 1990-an lalu.

AJK PAS Pusat, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin berkata, Kerajaan Malaysia sudah tidak mempunyai alasan untuk enggan menyerahkan wang pampasan itu kepada waris-waris buruh paksa, memandangkan pembayaran pampasan daripada Kerajaan Jepun telah diberi dan disahkan sendiri oleh Kedutaan Jepun di Malaysia.

Menurut beliau, pembayaran tersebut dibuat serentak oleh Kerajaan Jepun kepada Kerajaan Filipina, Vietnam, Indonesia dan India dan kesemua mereka yang menjadi mangsa di empat-empat negara itu telah sekian lama mendapat pampasan masing-masing sejak Setember 1967 lagi.

“Di Malaysia, pembayaranpampasan itu masih lagi tidak dilakukan hingga hari ini. Kita hairan, kenapa pembayaran itu tidak dilakukan. Ke mana wang itu disimpan sekarang?

“Adakah masih disimpan dalam Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tidak ada sebarang penjelasan dibuat oleh kerajaan sehingga kini,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, menurut Nizar, Sekretariat Jejak mencari bekas buruh paksa dan waris landasan maut yang diketuai oleh beliau telah mengadakan pertemuan selama sejam dengan Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia, Takaharu Suegami, bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Dalam pertemuan itu, katanya, Kedutaan Jepun di Malaysia berjanji akan menyemak kembali tarikh sebenar pembayaran itu daripada Tokyo untuk dimaklumkan.

“Begitulah juga dengan jumlah sebenarnya dan nama-nama mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Harakah, 4 Januari lalu.

Turut sama dalam kunjungan itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Iskandar Al-Hiss; Ketua Operasi Jejak, Safarizal Saleh; Penolong Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Binaan Landasan Keretapi Siam-Burma 1942-1946 dan beberapa orang lagi wakil dari Jejak.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Nizar mendakwa, kerajaan Jepun telah membayar RM207 bilion kepada Kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada buruh paksa pembinaan landasan keretapi itu.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan beberapa surat pengesahan dan dokumen rasmi kepada wakil Kedutaan Jepun dalam pertemuan berkenaan.

Salah satu surat tersebut daripada Kementerian Kewangan bertarikh 29 Mac 2011 menjelaskan, “kertas pertimbangan bagi kelulusan pengeluaran wang pampasan kepada buruk paksa ke Burma 1942 hingga 1946. Sukacita dimaklumkan peruntukansejumlah RM207 bilion telah diangkat oleh kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan di peringkat Kementerian Sumber Manusia.”

Mengikut rekod Persatuan Bekas Buruh Paksa itu, jumlah buruh paksa yang terlibat seramai 30,000 orang. Daripada jumlah itu, 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, jelas Nizar, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan daripada Kerajaan Malaysia, tetapi hingga kini masih gagal.

“Pada hal berdasarkan penyelidikan kita, saya yakin sebenarnya pembayaran itu bukan telah dibuat oleh Kerajaan Jepun pada sekitar tahun 1990-an lalu, tetapi pada September 1967 lagi, iaitu bersama dengan pembayaran yang dibuat kepada Kerajaan Filipina, Vietnam, Indonesia dan India,” jelas beliau.

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code