Rabu, 29 Ogos 2012

UNDI TIDAK PERCAYA DI KEDAH TAHUN 70AN

sambungan dari...


Setengah pihak mendakwa bahawa undi tidak percaya di Negeri Kedah bagi menurunkan Menteri Besarnya, sebagai tindakan membalas dendam kerana Kerajaan Pusat menguatkuasakan undang-undang ala-Mageran di Kelantan.Dakwaan tersebut tentulah meleset kalau dilihat tarikh lahirnya suara mahu mengemukakan usul itu yang disebut oleh seorang anggota Dewan Undangan Negeri Kedah dalam bulan Oktober, sedangkan undang-undang ala-Mageran di Kelantan dikuatkuasakan di Kelantan pada 8 hb. November.

Sebenarnya, masalah pokok yang timbul di Kedah itu berpunca dari rasa tidak puas hati rakyat negeri tersebut, terutama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kupang yang berdekatan dengan Baling, di mana suatu demonstrasi rakyat pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Sebagai wakil yang membawa amanah rakyat, penyuara yang membawausul undi tidak percaya itu mempunyai pertimbangan khas bila mana rakyat kawasannya tidak henti-henti mendesak supaya pembangunan di kawasan yang berhampiran dengan sempadan itu dipercepatkan menjadi realiti, jangan hanya sekadar bercakap sahaja.

Rahsia kemerosotan perhatian Kerajaan Negeri di kawasan itu adalah rahsia umum sehinggakan kerap kali dalam Dewan Rakyat ditimbulkan oleh wakil Barisan Nasional bagi kawasan Baling sendiri. Bagi wakil rakyat PAS, tentulah janggal jika ia tidak menyampaikan amanah itu. Pun dalam soal ini, pihak PAS bukanlah mahu meminta wakilnya menjadi Menteri Besar, cuma menukarkan Menteri Besar yang ada sekarang kepada orang lain yang lebih berkaliber, dari kalangan UMNO sendiri.

Hanya sedikit silap faham timbul, kerana kes ini lahir sewaktu krisis Kelantan sedang bergolak hingga mudahlah kepada tukang-tukang reka menokok tambah dan mengaitkannya dengan Kerajaan ala-Mageran di Kelantan. Bagi orang-orang yang rasional, tidaklah timbul masalah yang menakutkan. Tidak munasabah bagi PAS untuk merampas kuasa, tetapi adalah kewajipan PAS untuk menyedarkan pihak-pihak yang memerintah bagi mengatasi masalah kepincangan yang berlaku dan kemunduran yang berpanjangan.


Kita merasakan benar betapa ketakutan yang terpendam terhadap isu Kedah ini, hinggakan Perdana Menteri sendiri menyebutnya dalam satu perjumpaan khas UMNO yang penting di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam hubungan ini, saya kira, ketakutan tersebut sudah di luar rasional, hingga seolah-olah menjadi salah satu faktor pemecatan PAS dari Barisan Nasional.

Pemerintahan negara ini akan menjadi kelam kabut jika apa saja langkah yang jujur dari rakyat atau wakil rakyat, dianggap sebagai mencabar perpaduan dan kepimpinan. Kita tidaklah mahu mengajar itik berenang, tetapi wajar sekali untuk mengingatkan bahawa sesuatu masalah haruslah dihadapi dengan tenang dan kepala dingin, bukan dengan panik dan kehilangan tuju. Pada 21 hb. Disember yang baru lepas Usui itu selamat dikemukakan dan dibahas di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah, dan seperti yang diduga Usul itu telah pun ditolak dengan suara terbanyak, iaitu 9 suara dari anggota PAS menyokong dan 14 suara dari pihak Kerajaan menentang. Sebenarnya kalah menang dalam persoalan ini tidak menjadi perhitungan, tapi jelaslah bahawa PAS telah berjaya membuka tabir yang selama ini tidak ada siapa yang berani membukanya yang dengan demikian terserlahlah hakikat yang selama ini tidak diketahui.

Perbahasan usul itu juga dapat memberi dua gambaran yang jelas, iaituperpaduan anggota PAS yang sering sengaja dipertikaikan dan kegoyahan sikapsebahagian anggota pihak Kerajaan yang benar memahami dan maukankebenaran. Semuanya ini adalah rangkaian rantai dari scope perjuangan yangluas. Bukan Kelantan, bukan Kedah tetapi meliputi negara seluruhnya.

FAKTOR KEKUATAN DAN KEMENANGAN

Dengan langkah-langkah kita seterusnya sejak dari awal hingga ke hari ini,dalam masalah yang menyeluruh ini ternampak pada zahirnya kita kehilangan banyak perkara. Kita kehilangan jawatan-jawatan, kita kehilangan sebuah kerajaan buat sementara dan sebagainya. Berpandukan perkara-perkara lahiriah ini, terdapatlah setengah kalangan mengirakan bahawa kita telah kalah.

Soalnya, dalam sesuatu perjuangan itu apakah kebendaan atau fizikal menjadi ukuran? Ukuran politik bukan di situ! Ukurannya tidak terjangkau oleh materi, nilainya relatif, dan ukurannya pun relatif. Memang sudah tidak ada Kerajaan PAS di Kelantan buat sementara ini, tetapi PAS nyata lebih segar dan penyokong-penyokong PAS lebih bersemangat dari dulu. Tindakan drastik dari pihak lawan, menyentuh hati nurani umat dan hati nurani itu dapat memberi penilaian bahawa langkah-langkah pihak lawan itu adalah langkah tidak sabar dan tidak jujur.

Repleksi ini memberi kesan yang besar kepada rakyat, baik di bandar dan dikampung. Dengan kejadian ini PAS terbukti hidup, mendapat sambutan yang lebih hangat dari masa-masa yang lalu.

Dipandang dari segi kebendaan memang kita rugi, orang-orang kita kehilangan kerja, jadi mangsa, terkorban dan sebagainya. Tetapi dalam politik, perkataan 'pengorbanan' tak dapat dipisahkan. Pengorbanan itu suatu harga yang mesti dibayar untuk mencapai kemenangan yang lebih besar. Perjuangan PAS dimulai dengan pengorbanan dan kemenangan moral itulah kita merangkak dan bertapak untuk mencapai kemenangan dari segenap aspek. Sebab itulah saya pernah mengatakan bahawa peristiwa ini sangat bersejarah, bukan saja dalam PAS tetapi dalam sejarah politik tanah air kita.

Justeru itu, perlulah kita menginsafi semua perkembangan dengan matang, memberikan penilaian atasnya dengan matang, dan berfikir serta bertindak dengan matang. Sesungguhnya kekuatan dan kemenangan kita tidaklah mutlak bergantung kepada kekuatan materi dan kebendaan ataupun kepada kedudukan yang dianggap boleh menaikkan prestige kita, tapi yang lebih penting dan utama dari segala-galanya itu ialah keyakinan dan pegangan kita terhadap cita-cita perjuangan dengan doktrinnya yang tegas dan akidahnya yang jelas. Dalam hubungan ini dan pada kesempatan ini, rasanya amat sesuai bagi kita untuk menyentuh sepintas lalu mengenai satu perkara penting yang kurang kita amati berhubung dengan hukum-hukum perjuangan ideologi untuk dijadikan sebagai panduan kita.

Jika kita tinjau sejarah perjuangan ideologi di dunia,termasuk perjuangan menegakkan Risalah Islamiah, dapatlah diambil kesimpulan bahawa kemenangan perjuangan itu ditentukan oleh beberapa faktor yang antara satu sama lain saling isi mengisi dan saling lengkap melengkapi.

Faktor yang pertama ialah ideologi yang terang dan jelas, yakni segala sesuatu yang kita perjuangkan itu bukan saja jelas sasarannya untuk kita, malah boleh dijelaskan kepada sesiapa yang meminati dan menghajatinya. Jika kita sudah yakin bahawa yang kita perjuangkan itu sangat benar, terang dan nyata maka kita dengan sendirinya merasa bahawa apa yang kita perjuangkan itu sangat berharga, dan kita berani mati kerananya.

Yang kedua ialah potensi yang cukup. Potensi dalam konteks ini ialah 'kekuatan' dan ianya mesti cukup yang boleh menentukan, yang bererti bahawa kekuatan kita itu boleh dikerahkan bila-bila masa saja.

Yang ketiga ialah organisasi yang rapi. Termasuk dalam hukum organisasi yang rapi ini ialah pembentukan anak-anak organisasi mengikut status sosialnya dalam segenap peringkat.

Yang keempat dan terakhir ialah keampuhan dan ketepatan taktik dan strategi, yakni kecekapan kita menggunakan masalah politik tertentu pada saat tertentu sebagai taktiknya. Adapun strateginya pula ialah kemampuan kita menggunakan masalah politik untuk mencapai rencana perjuangan dalam jangka waktu tertentu bagi mencapai sasarannya yang mutlak. Dalam konteks perjuangan PAS, maka sasarannya yang mutlak ialah supaya terjelmalah masyarakat yang mengamalkan dasar-dasar Islam keseluruhannya. Kita yakin hanya dasar-dasar Islam saja yang dapat memberi jawapan terhadap permasalahan dunia masa kini dan bila-bila masa sekalipun.

Kita sentiasa mengingatkan bahawa Barisan Nasional bukanlah matlamat atau sasaran utama kita, dan apabila kita tidak lagi berada di dalamnya namun sasaran kita yang mutlak terus diperjuangkan. Kita berada sekarang di kem yang lain, tetapi matlamat dan sasaran kita tetap tidak berubah. Pikullah amanat perjuangan ini walau di mana kita berada, InsyaAllah kita senantisa diberi kekuatan jiwa dan keteguhan iman dalam perjuangan ini.

Kini sampai ke suatu tahap yang walaupun kembali semula sebagai parti pembangkang, tetapi kita menghadapi masalah yang berlainan, keadaan masyarakat bertambah maju dalam pemikiran, umat Islam kian matang dan lebih ramai yang cintakan kepada Islam. Kerana itu satu pemusatan dan pembinaan ke arah mencapai sasaran yang mutlak itu perlu dipertimbangkan dengan langkah-langkah yang lebih positif. Kita perlu bergerak lebih positif sambil kekuatan kita disusun semula, dipungut dan dihimpun dari semua potensi yang ada, yang memang bukan kecil bagi mewujudkan kekuatan yang sebenar.

Kita mau organisasi kita berlipat ganda kemasnya dan perlulah dilatih mujahid-mujahid teras yang mampu dan sanggup berhadapan dengan segala suasana dan kemelut, di samping gigih bekerja sebagai pekerja partai.

bersambung...

PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code