sambungan dari...
Pada 15 Oktober, usul undi tidak percaya kepada Datuk Haji Mohammad binNasir, Menteri Besar Kelantan telah dibentang dan diluluskan dengan kemenanganmutlak, ertinya tiada siapa menentang. Pihak lawan menjadi panik sehingga terpaksa keluar Dewan Undangan Negeri sebelum pembilangan undi selesai. Ini diikuti oleh orang yang kena undi. Kita mengetahui ada arahan dari pimpinan mereka agar bersikap menentang dalam pengundian itu. Tetapi oleh kerana mereka melihat solidaritas yang padu di kalangan 20 orang anggota PAS dalam Dewan Undangan Negeri, mereka telah kehilangan pegangan dan beramai-ramai keluar dewan. Inilah jawapan kepada andaian yang meragukan kesetiaan anggota-anggota PAS itu. Kejadian tersebut memukul batang hidung mereka, bahawa para pendukung PAS adalah orang-orang yang tak mudah dipujuk dan ditewaskan dengan wang ringgit dan pangkat.
Melihat kebulatan yang tidak tersangkakan itu maka rapat umum haram yang direncanakan, tiba-tiba berubah menjadi tunjuk perasaan dan rusuhan yang di luar dari nilai-nilai kemanusiaan. Sebahagian dari maklumat atas kejadian itu telah saya bentangkan melalui ucapan saya di Dewan Rakyat pada 8hb. November yang lalu. Saya kira tidaklah perlu saya mengulanginya lagi di dalam muktamar khas ini. Kesemua kejadian dalam peristiwa tunjuk perasaan dan rusuhan itu memberi kita satu gambaran seolah-olah berlaku satu 'public prosecution' terhadap 'established order' yang wujud di Kelantan pada waktu itu. 'Prosecution' dan 'Public Judgement' yang timbul di dalam kekosongan undang-undang atau kekakuan undang-undang yang berlaku itu tidak ubah seperti apa yang berlaku di dalam perkembangan Revolusi Kebudayaan di Negeri Cina Komunis, yang dipelopori oleh 'The Gang of Four' melalui 'Red Guard' atau Tentera Merah. Apakah kita di Malaysia ini mempunyai juga The Gang of Four yang sedang menjayakan rancangan 'revolusi' mereka untuk mencapai sesuatu matlamat yang bersifat
'personality cult' atau 'ideological cult'? Sebahagian daripada mereka telah ditangkap dan apakah lebihannya masih berkuasa dan berbahaya kepada negara? Apakah kumpulan ini boleh ditakrifkan sebagai rakyat dan apakah ini boleh dipanggil rusuhan rakyat yang menyebabkan pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan tergamak merampas kuasa Kerajaan Negeri di Kelantan dengan menggunakan kuasa perlembagaan di bawah kuasa darurat Fasal 150? Biarlah rakyat menjawabnya dan sejarah menukilnya.
Pemain-pemain di belakang layar telah menangguk peluang ini untuk membentuk suasana dan keadaan bagi mencapai strategi besar mereka, iaitu:menawan Kelantan dan menghancurkan PAS, dengan cara apa pun. Pihak UMNO yang mulanya menyokong pembubaran Dewan Undangan Negeri, telah mengubah strategi mereka dengan menyokong undang-undang darurat itu.
FORMULA DEMI FORMULA
Perubahan sikap ini terbukti dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Mahathir ke Kelantan pada 22 Oktober dengan menemui beberapa pihak yang terlibat dan kemudiannya menemui pihak PAS bagi mengemukakan apa yang dinamakan formulanya. Formula tersebut katanya untuk menyelesaikan krisis Kelantan. Formula itu bermaksud supaya semua anggota exco PAS yang lama mestilah ditiadakan dalam membentuk kerajaan baru Kelantan. Sebaliknya exco UMNO biarlah orang dan muka lama juga.
Demi untuk menghilangkan kekeruhan dan mewujudkan suasana baik, pihak Perhubungan PAS telah mengambil keputusan bersetuju dengan cadangan tersebut di samping menyatakan saranannya agar exco UMNO yang lama turut juga ditiadakan dalam kerajaan yang akan dibentuk nanti, biar sama-sama muka baru, barulah adil namanya.
Ini adalah satu pengorbanan PAS yang besar dalam konteks Kerajaan PAS Kelantan, kerana Kelantan adalah tapak Kerajaan PAS. Ini suatu tolak ansur yang besar dan luar biasa bagi PAS di mana kerajaannya telah cuba digugat dalam beberapa kali pilihanraya tetapi gagal. Namun pihak UMNO rupa-rupanya belum berpuas hati dengan pengorbanan itu, kerana strategi barunya bukan pembukaan Kerajaan baru, tetapi penguasaan terhadap Kelantan seluruhnya.
Kita telah bersetuju pada dasarnya bahawa kerajaan yang akan dibentuk terdiri dari muka-muka baru dari orang kita, cumanya untuk lebih adil pihak UMNO juga hendaklah muka-muka baru. Apabila kita kemukakan soal ini kepada mereka, tidaklah banyak cerewet mereka untuk menerimanya. Tetapi dengan penambahan satu syarat baru yang luar biasa yang berbunyi:
"Memandangkan kepada keadaan yang memerlukan kawalan ketat sekarang, buat beberapa waktu pentadbiran negeri Kelantan diurus oleh seorang pentadbir yang terdiri dari pegawai kanan M.C.S. di bawah satu undang-undang yang akan diluluskan oleh Parlimen di bawah undang-undang darurat sekarang. Pegawai ini akan diberi kuasa penuh dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri supaya pentadbiran yang berkesan dapat diadakan."
Ini adalah cadangan baru sama sekali, yang tidak pernah disebut atau ditimbulkan baik sewaktu Dr.Mahathir melawat Kelantan atau Iain-Iain tempat sebelum kenyataan yang pertama dan tawaran yang pertama. Maka jelaslah cadangan baru itu dibuat bagi membolehkan niat dan hasrat mereka kepada "penguasaan Kelantan seluruhnya".
Perhubungan PAS Kelantan telah mengadakan satu mesyuarat pada 29hb.Oktober 1977 dan telah mengambil keputusan melantik sebuah jawatankuasa khas bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kandungan formula Dr. Mahathir yang dianggap adalah dari Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn sendiri.
Jawatankuasa Khas berkenaan, dengan merujuk kepada kandungan formula baru itu telah bersetuju mengambil keputusan menolak cadangan tersebut, dengan hujah tepat bahawa cadangan tersebut "akan bererti demokrasi dalam kehidupannya sudah tiada wujud lagi". Oleh kerana soal muka baru dan muka lama didapati kait-mengait dengan cadangan di atas, maka soal perlantikan orang dalam kerajaan dianggap tidak berbangkit lagi.
Sebagai cadangan balas, Jawatankuasa tersebut bagi pihak PAS Negeri Kelantan telah mengemukakan Formula baru, iaitu:
a) Sebuah Kerajaan baru hendaklah ditubuhkan dengan seberapa segera yang boleh yang mengandungi komposisi 6 orang PAS termasuk Menteri Besar serta Timbalan Menteri Besar dan 3 UMNO.
b) Memandangkan kepada keadaan keselamatan dan keamanan yang memerlukan kawalan ketat sekarang, buat sementara waktu Jawatankuasa Keselamatan Negeri hendaklah disusun semula dengan satu komposisi baru iaitu:
1) Pengerusi - Seorang pegawai kanan M.C.S. yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak (PAS-UMNO).
2) Timbalan Pengerusi — Timbalan Menteri Besar atau wakilnya.
3) Anggota-anggota —
(a) Setiausaha Kerajaan NegeriKelantan
(b) Ketua Polis Kelantan
(c) Pegawai Pemerintah Askar di Kelantan.
(d) Pengarah Penerangan Negeri Kelantan- (bukan Haji Abdul Hamid bin Omar, orang yang memegang jawatan itu sekarang)
4) Setiausaha — Hendaklah dilantik mengikut peraturan biasa, tetapi Encik Hasan bin Abdullah setiausaha yang ada sekarang hendaklah digantikan.
c) Bagi membolehkan komposisi jawatankuasa keselamatan Negeri Kelantan dilaksanakan maka jika terdapat sebarang percanggahan di dalam undang-undang atau akta yang ada sekarang maka undang-undang atau akta tersebut hendaklah dipinda sama ada terpaksa melalui Dewan Rakyat atau sebagainya.
d) Oleh kerana tawar menawar formula demi formula antara PAS Negeri Kelantan dengan pihak UMNO atau dengan Barisan Nasional telah memakan masa begitu lama maka pihak PAS Negeri Kelantan merasa tidaklah perlu mengambil masa yang lama lagi untuk mencapai penyelesaian.
e) Cadangan ini dikemukakan dengan penuh yakin bahawa ianya dapat diterima dengan baik demi kebajikan rakyat dan Negeri Kelantan.Cadangan itu ditutup dengan kata-kata:
"Oleh yang demikian adalahmenjadi kewajipan PAS Negeri Kelantan mempertahankan kedudukan ini jikasekali pun terpaksa berada di luar Barisan Nasional Peringkat NegeriKelantan."
Berikutan dengan cadangan tersebut, Perdana Menteri memanggil anggota Jawatankuasa Khas untuk mengadakan perbincangan dengannya di Jabatan Perdana Menteri dan perjumpaan itu berlangsung pada 2hb. November 1977. Saya sebagai Yang Dipertua Agung bersama Datuk Abu Bakar Umar Naib Yang Dipertua Agung turut menemani delegasi tersebut.
Pertemuan tersebut merupakan pertemuan yang malang, kerana pihak Perdana Menteri langsung tidak menyentuh cadangan balas dari Jawatankuasa Khas yang begitu moderat serta lengkap itu. Sebaliknya Perdana Menteri cuba memberi taklimat terhadap cadangan dan rancangannya yang asal yang mahu Kerajaan ala-Mageran. Pertemuan itu nampaknya sebagai memberitahu: Inilah yang kami mahu buat, mahu atau tidak, kami buat juga. Kemudian diberi tempoh selama tiga hari untuk pihak PAS menjawabnya.
bersambung...
Rabu, 29 Ogos 2012
TUNJUK PERASAAN DAN RUSUHAN DI KELANTAN 1970AN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan