Khamis, 26 Julai 2012

KERETA DISERET KERETA API DI ARAU

HANCUR...keadaan kereta mangsa yang remuk selepas dirempuh kereta api.

ARAU: Akibat terlajak selepas memotong barisan kereta yang berhenti di lintasan kereta api Kampung Ngulang di sini, seorang warga emas terbunuh apabila keretanya terkandas di tengah landasan dan diseret kereta api sejauh 10 meter, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Yahaya Kassim, 74, maut akibat cedera parah di kepala dan dada apabila Proton Wira dipandunya dirempuh kereta api barang dari arah Butterworth ke Padang Besar.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 1, Kampung Ngulang dan kereta dipandunya terlajak melepasi palang sebelum tersangkut di landasan.

Anak keduanya, Asri Yahaya, 50, yang tinggal di Kangar, dekat sini, berkata bapanya kerap menggunakan jalan berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Dia yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya pada minggu lalu.

“Ayah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli 60 telur di kedai berhampiran. Dia sempat berpesan kepada anak lelaki saya supaya membelikan juadah untuk berbuka puasa bersama ibu saya (Rosnah Abdullah, 72),” katanya.

Pengawal pagar lintasan kereta api dikenali sebagai Khairul berkata, dia sudah memeriksa kawasan lintasan sebaik palang diturunkan dan kereta serta motosikal berbaris di belakang palang.

Menurutnya, sebaik kereta api melintasi pondoknya yang berada bersebelahan palang, dia terdengar bunyi hon daripada kereta api berkenaan diikuti dentuman kuat.

“Saya tidak sedar kenderaan mangsa melepasi landasan berkenaan kerana sedang memberi isyarat bendera hijau kepada pemandu kereta api yang melintasi sebelum terdengar bunyi hon dan dentuman kuat.

“Sebelum palang diturunkan, saya dapati semuanya berada dalam keadaan elok dengan kereta berbaris di belakang palang, tetapi tidak menyangka sebuah kereta sudah melepasi landasan dipercayai terlajak.

“Saya terkejut apabila mendengar dentuman itu dan nampak kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum tersadai kira-kira 10 meter dari tempat pelanggaran,” katanya.

Khairul dan orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang berlumuran darah dari dalam keretanya dan kereta api barang berkenaan berhenti kira-kira 100 meter dari lintasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kereta mangsa dipercayai memotong kenderaan lain yang beratur sebelum terlajak memasuki landasan.

“Sebaik dirempuh, mangsa yang berada di dalam keretanya diseret kereta api berkenaan sejauh 10 meter sebelum tersadai di bahu landasan.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang cedera parah di kepala dan dadanya, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di HTF,” katanya.

PAKDOE ALLAN


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code