DILEMA pembinaan kilang memproses nadir bumi yang kini sudah masuk usia 98% - 100% siap dibina dan hanya menunggu lesen TOL (kebenaran beroperasi sementara). Logiknya mahu tidak mahu kerajaan persekutuan harus dan telah campur tangan dalam pelancaran pembinaan projek ini, kerajaan negeri mula membisu seribu bahasa dan kelu bila bantahan dan pemulauan sekumpulan penduduk mula merebak menjadi wabak yang sukar ditempis.
Setelah bertahun membina dan kini sudah siap menelan belanja lebih dari 700juta. Apa mungkin dengan mudah kerajaan akan membatalkan hasrat ini? Apa dengan mudah melanggar perjanjian yang dibuat antara syarikat yang mengendalikan dengan pihak kerajaan? Rasanya tidak semudah itu. Oleh itu baik atau buruk kesannya kepada alam sekitar dan manusia, pihak yang memberi kontrak ini harus bertanggungjawab membenarkan pengoperasian ini berjalan dengan lancar. Sudah tentu berbagai kaedah dan alasan yang terpaksa diberi sama ada secara pintu depan atau sudah tentu pintu belakang agar projek ini terlaksana.

Kerajaan terpaksa mencari dan mengupah pakar-pakar dalam bidang berkaitan serta terpaksa menjelajah agar penerangan yang jitu dapat diberikan kepada penduduk, terutama yang menentang projek ini. Dasarnya ialah untuk membenarkan kilang ini beroperasi. Itu matlamatnya.
Kerajaan terpaksa berbuat demikian demi mempertahankan pelaburan syarikat ini dari mengalami kerugian seterusnya akan mencetus berbagai reaksi perundangan dari syarikat kepada kerajaan yang membenarkan. Inilah masalahnya. Kerajaan TERPAKSA...dan TERPAKSA. Kerajaan sudah menyelam terlalu jauh ke dasar mana mungkin dengan mudah untuk timbul ke permukaan. Seboleh-bolehnya kerajaan UMNO khususnya akan berusaha agar mendapat restu dari penduduk umum bukan pembantah. Apatah lagi pilihan raya sudah semakin hampir. Manakala isu ini masih lagi menjadi kudis yang mampu menggugat keselesaan parti kerajaan.
Lantaran itu setelah berhempas-pulas bagi menghalang berlakunya kekalahan parti, kerugian besar kerajaan dan menentang rakyat keseluruhannya. Buat masa ini seolah digambarkan kerajaan cuba untuk menarik rambut dalam tepung, agar semuanya linang dan tenteram. Tapi nampak gayanya semakin rumit dan mencabar. Bilakah agaknya TOL akan diluluskan? Mungkin selepas PRU 13, itupun kalau masih berkuasa.
Jadi jika boleh kerajaan TERPAKSA untuk membenarkan operasi ini berjalan, cuma mungkin dengan membuat beberapa pendedahan penting dalam memorandom perjanjian syarikat yang juga akan terpaksa menyebabkan syarikat membuat tuntutan dan pampasan. Kerajaan telah silap mencongak dalam hal ini.
Bila TERPAKSA maka kini timbul pula soal DIPAKSA. Siapa yang DIPAKSA dan siapa yang MEMAKSA. Sudah terang lagi bersuluh yang DIPAKSA itu adalah kerajaan manakala yang memaksa itu adalah syarikat dan individu yang bakal meraih keuntungan dari pengoperasian ini. Kerajaan akan DIPAKSA dengan berbagai cara termasuk membeli apa-apa keperluan bagi melihat bahawa kilang ini tidak memberi kesan sedikit pun kepada alam sekitar dan masyarakat khasnya. Kerajaan juga dipaksa untuk memberi lesen pengoperasian sementara ini secepat mungkin untuk syarikat dan individu yang berkaitan mendapat pulangan dari pelaburan yang tinggi ini. Tekanan dan paksaan ini telah menyebabkan Najib dan Adnan Yaakub pening kepala, jika tak ikut, banyak sudah diperhabis dan dikaut oleh kroni. Serba salah. Jika dibatalkan maka banyak pula masalahnya.
Aspek yang menjadikan segala-galanya serba salah adalah akibat dari penentangan rakyat yang tidak berkesudahan. Rakyat dengan jelas menentang kilang ini akibat pendedahan demi pendedahan yang mengancam keselamatan alam sekitar dan kesan terhadap populasi dalam jangka panjang dan jangka pendek. Meski penerangan yang diberikan dengan jelas berserta kajian pakar-pakar. Nampaknya ini masih belum cukup untuk memberi kepuasan kepada penduduk sekitar yang kononnya didakwa didalangi pembangkang. Kenyataan yang tidak berasas ini hematnya langsung tidak tepat kerana Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota David Choi juga menentang pembinaan kilang ini. Akibat tidak sehaluan dengan pendirian parti berkaitan isu ini, maka keahlian partinya digantung.
Penentangan dan tunjuk perasaan ini telah mengganggu secara langsung pemberian TOL kepada syarikat. Kerajaan terus dihimpit SERBA-SALAH dalam mengendalikan permasalahan ini. Soalnya, apakah dengan jujur dalam masa yang terdekat operasi kilang ini tidak langsung menyebabkan mudarat kepada penduduk sekitar? Ibarat seorang ahli sarkas yang menjinakkan harimau, tidak mungkin harimau itu sentiasa baik dengan tuannya, dan si tuan pula akan sentiasa berwaspada dengan harimau peliharaannya. Jika tidak rasanya...Maka akibat dari sentiasa berwaspada inilah yang menyebabkan keselesaan rakyat tergugat. Rakyat akan berada dalam situasi yang tertekan dengan berbagai andaian. Contoh yang paling dekat ialah loji nuklear di Jepun yang terkena tsunami baru-baru ini. Walau Jepun mempunyai berbagai kemudahan mencegah tapi tanpa diduga kecelakaan yang menimpa. Jepun terpaksa berdepan dengan berbagai krisis kesihatan populasinya. Bahkan sehingga kini setelah hampir 4 tahun Jepun masih lagi trauma dengan insiden itu.
Apakah rakyat Pahang juga mahu dalam situasi yang sedemikian? Inilah persoalannya, kerana ada ramai yang masih sokong dengan pembinaan kilang itu. Masih ramai yang inginkan cabaran sedemikian, tapi jika difikirkan apa yang mereka dapat? Keuntungan dari segi ekonomi hanya diraih oleh kerajaan dan segelintir individu sahaja. Kalaupun ada hanya dari segi bekalan sumber tenaga kerja itupun hanya segelintir sahaja bahkan mungkin juga bukan rakyat Pahang seratus-peratus. Perkembangan akibat aktiviti perniagaan di sekitar kilang hanya segelintir rakyat sahaja yang dapat atau terlibat. Sebaliknya mudarat yang belum diketahui secara jelas dan nyata masih samar dan tidak tahu bahkan ibarat membela ular di dalam rumah. Apatah ular itu selamanya tidak mematuk?
Terkadang memang juga pelik dengan rakyat Pahang yang rata-rata tidak mempedulikan nasib mereka sendiri. Masih ramai yang buta sains. Walaupun pakar sains yang berkata selamat dan bebas. Tapi apapun sisanya adalah radioaktif yang bahaya. Pengendalian yang teliti saja masih belum cukup untuk memastikan kesan yang mendatang.
Apakah kerajaan negeri, bahkan kerajaan Malaysia silap? Tekaan dan telahan yang salah kerana memilih lokasi yang agak tinggi dengan penduduk? Sebenarnya bukan masalah itu. Tapi yang silapnya ialah kerajaan telah mengajak pelabur yang salah, demi mengejar keuntungan material semata-mata. Sekali gus meminggirkan kemaslahatan penduduk keseluruhannya. Inilah kesilapannya.
Malaysia ingin maju, tapi apa gunanya kemajuan andai kesihatan dan keselamatan alam sekitar sentiasa digadaikan kerajaan Malaysia.
"Rakyat didahulukan terkorban, pencapaian poket pemimpin diutamakan." Inilah slogan UMNO-BN.
Isnin, 25 Jun 2012
LYNAS: ANTARA TERPAKSA + DIPAKSA - TENTANGAN= SERBA SALAH
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan