Rabu, 25 April 2012

ANTARA IPTS, IPTA DAN PTPTN....SIAPA YANG UNTUNG???

ANTARA garis ukur kehidupan seseorang masa kini semuanya berlandaskan tahap pendidikan. Itu belum lagi melibatkan kenaikan pangkat serta gaji bagi yang sudah berkhidmat dalam mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta. Semakin tinggi pelajaran maka tanggapannya semakin hebatlah seseorang itu dalam semua segi. Jika dulu lepasan SPM pangkat 1, lebih baik dari pangkat 2 malah sudah lebih ketara peluang dari berbagai sudut sama ada untuk ke universiti atau peluang pekerjaan. Lebih hebat lagi jika seseorang itu lepasan STPM. Tangga gaji juga berbeza. Jika SPM hanya layak jadi konstabel tapi dengan STP sudah layak berpangkat 'TUAN'. Jika berijazah tak payah ceritalah...lebih agah dan tinggi pangkatnya. Inilah model pembelajaran dulu dan tahap-tahapnya secara umum.

Namun kini semuanya tidak bermakna. Setiap rakyat yang dilahirkan dan wajib menjalani prasekolah atau tadika maka penghujung yang paling gobrol dan pendek ialah memiliki sekurang-kurangnya sarjana muda. Tuntutan dan kemahuan ke arah mencapai tahap sarjana ini tidaklah sepayah dulu. Apa yang penting ialah 'WANG'. Ilmu zaman sekarang boleh dibeli kiranya seorang itu mempunyai wang. Pokoknya wang dan wang.

Jadi konsep menjual ilmu adalah satu bentuk pendapatan yang mengagumkan masa kini, tinggal lagi pengiktirafan di peringkat pemerintah saja. Proses memperkasakan pelajaran melalui pembentukan universiti swasta semakin rancak dilaksanakan sama ada oleh pelabur asing atau badan-badan korporat lain dengan syarat yang sangat mudah diberikan kerajaan dalam berbagai bentuk kemudahan asas. Terutamanya konteks pengiktirafan yang disebutkan tadi.

Akhirnya model perniagaan menjual ilmu ini dikongsi bersama kerajaan dengan membuat pelaburan yang sangat besar, menyediakan dana dalam bentuk pinjaman mudah menjamin pelanggan tetap berkunjung dan pulangan yang sangat lumayan...akhirnya wujudlah PTPTN (PERBADANAN TABUNG TINGGI PENDIDIKAN).

Perniagaan bentuk ini secara mudah adalah seperti pemilik restoran menyewakan sebahagian kedai kepada penjual makanan tapi minuman pula dijual sendiri pemilik kedai itu. Maka hukum mudahnya ialah setiap orang yang makan sudah tentu akan minum, bahkan dikatakan berniaga minuman ini lebih untung dari menjual makanan. Inilah teorinya. Di sisi pelanggan, apa yang mereka dapat? Sudah tentu mereka mendapat kenyang dan kepuasan meski adakalanya tidak berbaloi. Namun siapa yang dapat untung paling banyak? Sudah tentu pemilik kedai yang menjual air minuman. Inilah hakikat yang tidak boleh lari dari praktikalnya.

Siapa yang tidak mahu bergelar sarjana? Mahasiswa/wi? Graduan? Masters? Doktor Falsafah (PHD) dan sebagainya. Semuanya mahu bukan?

Soal kelayakan asas kemasukan bukan menjadi pokok utama, bahkan masih ramai yang berpegang ijazah kelas kedua (bawah) masih tidak tahu sifir, malah terkial-kial bila membuat karangan, apatah lagi bila bercakap orang putih. Ramai yang tenggelam timbul dalam konteks ini, tapi masih boleh bergelar sarjana. Betapa mudahnya zaman sekarang menggenggam segulung ijazah. Nampaknya dalam konteks ini ilmu, kelulusan dan ketulusan bukanlah ratu tapi soalnya 'laba'. Itulah matlamatnya.

Sumbangan bantuan seperti PTPTN demi kebaikan pelajar juga tidak dapat dinafikan, ada kebaikannya dalam industri pendidikan negara kita, pelajar setempat dapat bersaing dalam bidang pendidikan dengan berbagai bangsa di dunia. Kebanjiran pelajar asing memberi pendapatan menarik menjadi faktor yang sangat prioritas, meskipun kebejatan sosial yang dibawa bersama memalitkan tingkah laku songsang kepada pengaruh persekitaran dan budaya masyarakat setempat. Namun pemikiran sebegini dianggap ortodok 'renyeh' oleh sekelompok sarjana negara. Apa yang penting, ada pelanggan maka adalah 'masuk'nya. Inilah pentingnya PTPTN kepada pelajar. Pelajar dapat belajar tapi keuntungan kerajaan sapu bersih dengan mengenakan caj yang tinggi dan tidak munasabah.

Malangnya PTPTN ini menjadi alasan demi memperkasakan pendidikan segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Seolah PTPTN inilah yang menggraduasikan generasi pelajar. Tanpa PTPTN maka ramailah manusia bodoh dan tidak mampu belajar. Konsep belajar bertuhankan PTPTN di Malaysia menjadi satu santapan dan tanggapan positif di pihak yang memberi pinjam iaitu kerajaan Barisan Nasional. Inilah konon satu jasa yang sangat dibanggakan oleh kerajaan, walhal hakikatnya  tidak lebih cuma satu bentuk bantuan bagi mendapatkan pulangan sangat lumayan.

Mutu pelajar yang lemah di peringkat menengah sudah tentu tidak dapat mencapai keputusan yang menjadikan PTPTN ini free buat mereka. Akhirnya mereka ini menanggung hutang PTPTN manakala peluang pekerjaan pula terhad. Maka sibuklah para siswa mengusung ijazah yang tidak laku itu, bahkan sehingga menjadi jenazah pun ijazah itu tidak laku-laku. Akhirnya beban ibu bapa semakin meningkat kerana terpaksa menanggung yuran yang tinggi di IPTS demi menjadikan anak sebagai seorang graduan. Meskipun anak mereka pada dasarnya tidak layak masuk IPTA.

Gulung tikar bagi IPTS yang tumbuh bak cendawan dan berorientasikan perniagaan tidak membawa apa-apa makna melainkan hanya mengisi poket pelaburnya saja. Manakala pelajar dapatlah berbangga kerana bergelar graduan. Jadi ada pro dan kontranya di sini. Apa yang lebih baik ialah hapuskan saja PTPTN dan tukarlah dengan bentuk bantuan yang lebih dinamis dan tidak membebankan pelajar dengan teknik berhutang.

Manakala bagi yang terjebak dengan PTPTN alangkah bagusnya jika dihapus kira saja. Buatlah lembaran baru dalam bidang pendidikan. Sedangkan hutang yang 600 juta oleh Tajuddin Ramlee, Perwaja Steel, MBF, Lembu, PKFZ dan banyak lagi kerajaan boleh lupuskan ini apalah sangat kebajikan untuk anak-anak rakyat kita.

Mengapa begitu berkira sangat dengan rakyat sedangkan para pembesar yang semua rakyat nampak penyelewengan mereka seolah dilupakan begitu saja. Siapa tidak mahu lihat anaknya berjaya belajar ke tahap universiti. Semua orang nak, tapi yang paling sedihnya kesempatan dari kelemahan rakyat ini diniagakan pula oleh kerajaan demi mengaut keuntungan. Paling malang ialah dana PTPTN yang diberikan kepada pelajar habis ditolak untuk melunaskan yuran dan sewa asrama atau rumah saja.

Sudahnya ibu bapa yang bertungkus lumus di kampung menampung beban perbelanjaan lain. Anak tak belajar nanti dikatakan bodoh oleh masyarakat jadi peluang IPTS yang ternganga luas menjilat habis keringat sang miskin demi menjadikan anak cerdik dan bergelar mahasiswa. Walhal kerja belum tentu ada, hutang dah bertempek di sana-sini. Siapa yang untung sebenarnya?



PAKDOE ALLAN

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code