Isnin, 30 Januari 2012

MATINYA SEORANG ULAMA TERKENAL PAS....

PASIR MAS, 30 Jan: Jam 4 pagi tanggal 7 Mac 2008 suara Ustaz Hussin Ibrahim Masri membaca surah memulakan program munajat masih diingati sampai ke hari ini.

Ketika itu padang Stadium Sultan Mohammad Ke IV penuh sesak. Program bermunat terbabit diadakan sehari sebelum pilihan raya umum ke-12 berlangsung.

Ia dianjurkan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan. Hari ini Ustaz Hussin sudah tiada lagi. Beliau dipanggil mengadap penciptaNya pada petang 28 Januari lalu.

Arwah menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pasir Mas di Lati, tidak jauh dari rumahnya di Pondok Lubuk Tapah.

Sebelum itu pada sebelah pagi Allahyarham menghadiri Ijtimak Dewan Ulamak PAS Kelantan di Madu, Machang.

Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, keluarga Ustaz Hussin membawanya ke hospital selepas beliau mengadu sesak di dada.

“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital beliau didapati sudah pergi meninggalkan kita semua. Dewan Ulamak PAS Kelantan amat terasa sekali kehilangan arwah.

“Beliau merupakan tempat rujukan berkaitan dengan agama. Ilmunya mendalam mengenai Fiqah dan Aqidah kerana begitu lama menekuni ilmu di Mekkah dan Kaherah,” katanya di sini.

Allahyarham Ustaz Hussin bekas Adun Bukit Tuku pada 1990. Pernah bertanding kali kedua di Dun sama pada 2004 bagaimana pun gagal mempertahankan Dun terbabit.

Beliau dilahirkan pada 9 Disember 1940 mendapat pendidikan awal di sekolah agama rakyat pada 1952. Kemudian pada 1962 mendalami ilmu agama di Pondok Lubuk Tapah.

Pada 1980 mendapat Diploma lanjutan pengajian Islam di Universiti Al Azhar.

Sekembali dari Mesir mengajar di Pondok Lubuk Tapah membantu bapa saudaranya, Allahyarham Tuan Guru Abdullah Yusof.

Pada 1995 beliau dilantik sebagai Pengelola Dakwah Halaqat Rantau Panjang, selepas tidak bertanding pada pilihan raya umum 1995.

Beliau juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Kelantan sehingga sekarang. Pada sesi 2003-2005 arwah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Rantau Panjang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marjam Salleh dan enam anak. Seorang anaknya Ibrahim Hussin Ibrahim kini Presiden Majlis Perwakilan Pelajar di USIM.

Abdullah berkata, PAS Kelantan begitu terasa kehilangan arwah memandangkan beliau seorang tokoh yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama dan istiqomah dalam perjuangan.

Jenazahnya kini disemadikan di Tanah Perkuburan Islam tidak jauh dari Pondok Lubuk Tapah.

P/S: Sedekah al-fatihah untuk beliau, semoga ditempatkan bersama-sama orang yang takwa...


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code