Rabu, 28 Ogos 2013

BAS MILIK JUTAWAN


LUAR BIASA... bas super ini dibina bekas angkasawan dan ketua aerodinamik Formula 1.

SEORANG hartawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menempah kenderaan digelar ‘bas super’ berharga RM34.5 juta yang mampu memuatkan 23 penumpang.

Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, bas itu juga boleh dipandu pada kelajuan sehingga 250 kilometer sejam.

Dibina di Belanda oleh seorang angkasawan bersama bekas pakar aerodinamik Formula 1, bas itu mampu membawa penumpang dari Dubai ke Abu Dhabi — merentasi jarak 121 kilometer — di dalam tempoh tidak sampai 30 minit.

LANCAR... Antonia memandu uji bas sebaik saja ia tiba di lapangan terbang Abu Dhabi.

MACAM NAK TERBANG... diperbuat daripada bahan ringan seperti aluminium dan polikarbonat, bas ini mampu mencecah kelajuan 250 kmsj.


TAMBANG PASTI MAHAL... keadaan mewah di bahagian dalam kenderaan.

Bekas angkasawan itu yang kini pensyarah di Universiti Teknologi Delft, Prof Wubbo Ockels, berkata selepas siap dibina, bas berkenaan diterbangkan ke UAE untuk diserahkan kepada pemiliknya yang tidak didedahkan identitinya.

Diperbuat daripada bahan ringan termasuk aluminium, gentian karbon, kaca gentian dan polikarbonat, bas itu memiliki panjang 15 meter, selebar 2.5 meter dan tinggi 1.65 meter.

Sesiapa yang menaiki bas itu bakal menikmati keselesaan seperti limosin mewah atau pesawat peribadi.

Ia juga mempunyai lapan pintu di setiap sisi bagi membolehkan penumpangnya bergerak masuk atau keluar dengan pantas.

Pada 1985, Ockels menjadi warga Belanda pertama tiba di angkasa lepas apabila dia dipilih sebagai sebahagian daripada anggota rombongan kapal Challenger.

Projek itu disokong kerajaan Belanda, syarikat kimia Amerika Syarikat, Dow, dan konglomerat Arab Saudi, Sabic.

Digerakkan oleh kuasa elektrik, bas unik itu terus mendapat perhatian apabila tiba di UAE.

Ia dipandu untuk kali pertama di atas jalan raya biasa di sekitar Lapangan Terbang Abu Dhabi, manakala kuasanya pula dijana tenaga solar.

Menurut sumber, hartawan itu bercadang membawa bas berkenaan di jalan biasa di Abu Dhabi atau Dubai — juga menggunakan kelajuan biasa.

Bagaimanapun, sebaik keluar daripada pusat bandar raya, bas berkenaan boleh ‘mengubah penampilannya’ sesuai dengan ciri uniknya.

Di situ, bas berkenaan boleh dipandu sehingga ke kelajuan maksimum.

Sejurus sebelum tiba di destinasi, bas itu sekali lagi perlu diperlahankan bagi menyesuaikan keadaan rangkaian jalan tempatan.

Pereka projek itu, Antonia Terzi, menjadi pemandu uji pertama bas berkenaan sebaik saja ia tiba di Abu Dhabi.

Antonia adalah bekas ketua pakar aerodinamik untuk pasukan Formula 1 BMW Williams.

“Pemandunya tidak merasai apa-apa perbezaan berbanding kereta biasa kerana dua set penggerak roda belakang membantu melicinkan pergerakan di sesuatu selekoh.

“Jika ia mula digunakan, ia tidak memerlukan sebarang laluan atau jadual khusus,” katanya.

Antonia berkata, untuk menggunakan perkhidmatan bas itu, penumpang perlu membuat tempahan tiket secara on-line atau menggunakan telefon bimbit.

Apabila disahkan, bas berkenaan akan datang mengambil penumpang di mana-mana lokasi dikehendaki dan menghantar mereka ke mana saja.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Abu Dhabi, Hussein al Harethi berkata, bas menggunakan tenaga elektrik itu bukan saja mengurangkan kesesakan jalan raya, malah membantu memulihara alam sekitar.

“Kenderaan elektrik adalah kaedah pengangkutan masa kini dan kami berharap lebih banyak produk seumpama itu dikeluarkan,” katanya.

Pengarah Pihak Berkuasa Jalan dan Pengangkutan Dubai, Peyman Younes Parham berkata, penghasilan bas mewah elektrik satu idea bernas.

“Walaupun tidak boleh dijadikan kenderaan pengangkutan awam, ia boleh dimanfaatkan untuk golongan eksekutif atau menarik pelancong,” katanya.

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code