Khamis, 18 Ogos 2011

Pesakit nahas ambulans meninggal dunia di Hospital Melaka

MELAKA: Seorang pesakit yang cedera parah ketika dibawa dengan ambulans yang dirempuh sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat persimpangan Seri Negeri di sini Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.

Mariam Baba, 73, dari Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai meninggal dunia pada kira-kira jam 9.10 pagi.
Zaidi Senan, 43, anak bongsu kepada Mariam memberitahu pemberita di hospital ibunya mati setelah menerima rawatan lanjut.
"Sebab kematian tidak diketahui kerana masih menunggu jenazah yang akan dibedah siasat," katanya yang merasa terkilan dengan kematian ibunya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Mariam, seorang pesakit kritikal yang dilaporkan sebagai mangsa samun dan dua lagi termasuk seorang doktor dan jururawat mengalami cedera parah ketika dalam perjalanan dari Hospital Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintenden V Gunasegaran, berkata sebuah teksi merempuh ambulans berkenaan menyebabkan ia hilang kawalan dan terbalik.

Pemandu ambulans itu Mambang Rudy Hartono, 41, serta pemandu teksi Ali Muhamad, 30, hanya mengalami cedera ringan sementara doktor dan jururawat yang tidak didedahkan identiti mereka dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut. - BERNAMA


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code