Ahad, 17 Julai 2011

SPR: PARTI PEMBANGKANG TERLIBAT BERSIH 2.0 SATU ALASAN

SPR telah mengeluarkan kenyataan melalui pengerusinya mempertikaikan keikhlasan Bersih dalam tuntutan mereka. Keadaan ini dilihat satu permainan politik yang tidak berkesudahan, sebaliknya SPR solah-olah menuding jari kepada diri sendiri yang bertopengkan kuasa politik Umno disebaliknya.

SPR sudah tahu bahawa adanya campur tangan pembangkang kerana Bersih telah pun menjemput Umno dan kerajaan untuk sama-sama menyertai Bersih ini, tapi telah ditolak kerajaan malah diharamkan Bersih. Apakah ini satu pandangan yang lahir dari SPR sendiri atau kenyataan sebegini juga didalangi Umno?

Tuntutan Bersih ini bersifat dan natural dan bukanlah sesuatu yang memberi kredit kepada pembangkang semata-mata. Jika adanya transformasi dalam tadbir urus SPR berkenaan sistem pilihan raya negara ini ianya juga memberi keadilan kepada Umno.

Mohd Sabu juga pernah menyatakan bahawa sekiranya ada perubahan dan SPR mematuhi tuntutan Bersih jika berlangsungnya pilihan raya dan kemenangan berpihak kepada BN, parti pembangkang menerimanya dengan rela hati. Tapi masalahnya sekarang ialah mengapa SPR masih berdolak dalih dalam soal ini. Penggunaan biometrik yang diragui dan menanggung kos yang agak tinggi menjadi satu perjuangan buat SPR-Apakah SPR mempunyai kira-kira yang menguntungkan dalam soal ini?

Sistem penggunaan dakwat kekal yang memberi satu keadilan yanng jelas kepada SPR, mengapa ianya tidak mahu digunakan? Apa masalahnya dalam soal ini?

Kempen pilihan raya selama 21 hari dilihat begitu terbuka dan peluang menang kedua-dua pihak amat luas. Mengapa ini juga menjadi satu masalah kepada Umno dan SPR?

Umno mendakwa dalam risalahnya yang diedarkan dari rumah ke rumah dengan mengatakan bahawa kempen 21 hari tiada gunanya, bahkan hanya memberi masa untuk menjatuhkan maruah individu melalui kempen yang panjang ini. Apakah ini alasannya. Langsung tidak masuk akal.

SPR tidak boleh berfikiran kolot dan terlalu konservatif dalam hal ini. Sekiranya Bersih 2.0 itu didalangi Amerika sekalipun usaha untuk menjadikan sistem pilihan raya yang adil dan berwibawa ini harus menjadi matlamat utama SPR sebagai badan yang dilantik khusus untuk menerajui proses demokrasi di negara ini. Jika SPR menjadikan pembangkang sebagai satu alasan tidak menunaikan tuntutan Bersih, ini jelas menunjukkan bahawa SPR tidak profesional dan langsung tidak berwibawa.

Kesimpulannya tuntutan Bersih 2.0 bukanlah satu usaha untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana yang diuar-uarkan oleh media arus perdana dan SPR sendiri. Kejadian demo pada 9 Julai lalu juga adalah disebabkan oleh Umno yang tidak menunaikan janji untuk menyediakan tempat berhimpun secara aman sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kesalahan ini bukan hanya dinilai dari sudut politik semata-mata tapi dari sudut ekonomi. Siapa yang rugi?

Dengan teknik lempar batu sembunyi tangan yang telah sekian lama diamalkan oleh Umno, bukankah SPR tahu teknik ini? Jadi usah jadikan penglibatan pembangkang sebagai satu alasan, bukalah minda anda selayaknya sebagai seorang yang bergelar 'Tan Seri' yang dianegerahkan dengan kebolehan anda sebenarnya, bukan anugerah 'Tan Seri' yang diperoleh kerana sikap anda yang pandai mengampu dan membodek.

Jujurlah dalam tugas anda sebagai orang yang bertanggungungjawab sepenuhnya, gaji dan elaun yang anda perolehi selama berkhidmat itu biarlah ianya berkat dan halal di sisi Allah s.w.t. Jangan jadikan kemewahan hidup anda sebagai satu senjata yang membunuh rakyat jelata.



KUALA LUMPUR, 17 Julai — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terus menyerang kepimpinan Bersih 2.0 dengan mendakwa mereka didalangi parti politik dan “tidak benar-benar ikhlas.”

“Saya sebenarnya tidak pasti adakah penganjur perhimpunan haram Bersih benar-benar ikhlas atau mempunyai maksud lain di sebalik perhimpunan itu,” kata Aziz dalam tulisannya disiarkan Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan hari ini.

Aziz (gambar) juga mendakwa beliau berpandangan sedemikian kerana dalam perjumpaan pertamanya dengan Bersih 2.0 akhir tahun lalu, pihaknya memaklumkan bahawa ia adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan parti politik.

Bersih 2.0 dianggotai oleh sebanyak 62 NGO dan mengemukakan tuntutan lapan perkara dalam membawa pembaharuan sistem pilihan raya.

“Penganjur Bersih mendakwa mereka berkecuali. Tetapi daripada apa yang dilihat sama ada gambar-gambar dan kenyataan parti-parti politik pembangkang, penganjur Bersih sudah memihak dengan jelasnya kepada pembangkang,” kata beliau.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga berulang kali menekankan bahawa pihaknya telah mengundang kesemua parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyertai usaha mereka menuntut pembaharuan pilihan raya, tetapi ia hanya disambut oleh komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, BN dan pihak-pihak yang pro-BN mendakwa Bersih 2.0 bersekongkol dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Kita semua nampak mereka turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin parti politik seperti Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan banyak lagi.

“Wakil-wakil NGO yang datang berjumpa dan berunding dengan saya dulu tidak kelihatan kecuali Marina Mahathir dan dua tiga orang lagi,” kata Aziz sambil menambah, “jadi kenyataan Ambiga kepada saya bahawa Bersih tidak langsung memihak kepada parti politik adalah tidak benar sama sekali.”

Tambahan pula tulis Aziz, baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi.

“Kenapa pula sebelum ini Bersih dan tiba-tiba sekarang parti politik PAS menyuarakan perkara itu?

“Jadi, sekarang sudah jelas Bersih didalangi atau diperalatkan. Mereka bersekongkol dengan parti politik,” kata Aziz lagi.

Aziz menambah, Bersih 2.0 tidak lagi sebuah badan yang berkecuali, sebaliknya “seolah-olah sudah menjadi parti politik.”

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu di ibu negara meskipun dihalang dan disekat oleh pihak berkuasa termasuk Putrajaya mengisytiharkannya sebagai sebuah badan haram.

Sehubungan itu, Aziz juga berkata bagi diri beliau demonstrasi jalan raya tidak menyelesaikan masalah dan lebih malang lagi difahamkan memorandum berkaitan tuntutan mereka belum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong lagi.

“Kalau mereka betul-betul jujur sepatutnya sewaktu berjumpa Yang di-Pertuan Agong baru-bari ini mereka boleh menyerahkan memorandum itu.

“Bukan sahaja boleh menyerahkan, malah menerangkan kenapa mereka membuat tuntutan itu. Kenapa mereka tidak melakukan itu dan memilih demonstrasi haram di jalanan?” katanya.

Dalam tulisannya Aziz juga menyentuh mengenai tuntutan dihentikan amalan politik kotor.

Aziz berkata, sebenarnya semua orang tidak suka orang main politik kotor dan sebab itu “kita adakan undang undang supaya orang politik ini jangan bermain politik kotor.”

“Tetapi politik kotor ini dilakukan oleh ahli ahli politik, sepatutnya mereka sendiri yang menghalang politik kotor misalnya dengan tidak menipu, amanah, tidak kata lain buat lain,” kata beliau lagi.


Source: http://www.themalaysianinsider.com

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code