Khamis, 14 Julai 2011

SKETSA BERSIH 2.0

SPR: Agong perlu rombak segera!
Ahmad Lutfi Othman

Jam 10 pagi Sabtu, 9 Julai, selesai sarapan di Hotel Midah, berdepan Stadium Merdeka, saya cuba meninjau kawasan sekitar. Sunyi, jalan kosong, trak FRU tersusun di seberang jalan. Jarang-jarang sekali kenderaan melintas tetapi polis trafik melencongkan laluan, membuat halangan ke Masjid Negara. Mendongak ke atas, penumpang LRT agak penuh, berhenti di stesen Maharajalela.

Cuaca redup. Nyaman. Jalan di hadapan Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL menuju Stadium Merdeka. Ada kawat besi (barricade) membataskan pergerakan. Lokasi utama himpunan aman Bersih 2.0 dipagar rapi. Kuala Lumpur bagai zon perang. Kata teman yang mengiringi saya, sambil ketawa: "Mungkin beginilah suasana darurat dahulu ... tidak hairanlah polis cuba menakutkan publik dengan kemunculan anasir komunis dan tangkapan tanpa bicara Ordinan Darurat." Saya tumpang gelak sakan.

Semasa melepasi kedai serbaneka 24 jam, saya bertembung sekumpulan anggota FRU yang berjalan menuju gerai teh tarik di belakang hotel. Seorang daripadanya menegur sambil memberi salam: "Dah sihat?" Matanya kelihatan terpaku kepada tongkat saya. Saya sekadar membalas dengan senyuman.

Semasa sarapan tadi, ruang makan hotel penuh dengan pelancong Thailand. Tiada tanda-tanda mereka risau dengan "perintah berkurung" di Kuala Lumpur. Ya, bukankah mereka sendiri sudah biasa dengan aksi-aksi protes di Bangkok ... juga dengan baju kuningkan?

Sepasang warga China, masih muda, bertanyakan arah Petaling Street ketika saya dan rakan melintas jalan. Meskipun melihat pasukan keselamatan di mana-mana, mereka tetap ceria berbicara dan tidak malu-malu bertanyakan apa yang berlaku. Semasa dimaklumkan ada himpunan aman di sebelah petang nanti, si lelaki menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut.

Setengah jam kemudian, saya lihat kumpulan-kumpulan kecil muncul dari lorong-lorong di celah bangunan. Memang tiada seorang pun memakai pakaian terlarang, baju-T kuning. Turut kelihatan anak-anak gadis remaja bertudung labuh. Riak wajah mereka gembira, langsung tiada tersimpan rasa tertekan. Gaya orang bersiar-siar.

Ramai juga peminat Harakah yang menyapa saya. Di awalnya mereka turut tertanya-tanya, "jadi tak demo hari ini?" Ada yang memberitahu ramai sahabat mereka terkandas dan tidak dapat memasuki ibukota.

"Tengoklah nanti, kalau tidak ramai hadir, Najib akan kata demo tak dapat sambutan dan Pakatan Rakyat hilang sokongan. Jika melimpah, polis akan memberkas dan kita pula dituduh merusuh atau mengganas," respons saya terhadap kekhuatiran seorang pakcik dalam usia 60-an dari Felda Jengka. Beliau bimbang "demo tak menjadi".

"Umno akan kata demo ini gagal, macam pelajar yang dihalang masuk dewan exam tapi kemudiannya dapat result gagal," balas kawan saya.

Memang tepat sekali. Tidak sukar untuk menjangka tohmahan kerajaan dan persepsi media terhadap demonstrasi Bersih itu. Pemimpin kerajaan Umno-BN masih terkepung dengan pemikiran kuno. Idea perancang dan strategis keselamatan negara juga tumpul. Minda mereka masih terkurung dengan pendekatan lama di zaman komunis biarpun elemen politik baru mendominasi situasi terkini. Umpama pegawai keselamatan Amerika Syarikat yang menyangka Perang Dingin masih berlangsung.

Mereka melihat kesanggupan untuk berbincang dan berkompromi sebagai satu kekalahan. Kerajaan, bagi mereka, tidak boleh mempamerkan imej mengalah. Ia pancaran daripada sikap ego yang melampau. Titah Agong juga dilihat menekan Umno sedangkan baginda sudah memberi jalan keluar. Dengan menolak permohonan berhimpun di Stadium Merdeka, Najib mengundang padah dan menagih risiko. Siri amaran polis, propaganda murahan media dan pengharaman Bersih seperti menyiram minyak ke bara api.

Semasa dipanggil "menghadap" Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya beberapa hari menjelang demonstrasi dan ketika "sembang-sembang kosong" selepas teguran kepada Harakah disampaikan, saya sempat mengingatkan pegawai-pegawai tertinggi KDN agar jangan "tersilap baca" realiti. Sokongan hebat rakyat terhadap Bersih 2.0 bukan kerana terpedaya dengan hasutan pembangkang, tetapi rasional tuntutan pilihan raya adil dan bersih dekat di hati mereka.

"Usah anggap rakyat terlalu bodoh untuk mengikut apa jua kehendak pemimpin Pakatan, hatta penyokong pembangkang sendiri akan membantah jika arahan pemimpin mereka tidak mempunyai asas justifikasi. Lapan tuntutan Bersih tidak dapat diremehkan," tambah saya.

Sambutan rakyat memang tidak diduga. Agak sukar menjangkakan jumlah kehadiran sebenar kerana lokasinya terpecah-pecah. Media antarabangsa, seperti Aljazeera menganggarkan ia melebihi 100,000 orang. Biarpun laluan utama masuk KL disekat, malah setiap penjuru Lembah Kelang sebenarnya "dirantai", dan polis memulakan "amukan" di setiap pelosok negeri, lama sebelum 9 Julai, namun keghairahan orang ramai untuk mendesak kerajaan mereformasikan sistem pilihan raya cukup hebat.

Saya yakin, sekiranya sekatan tidak sedahsyat itu, sekurang-kurangnya setengah juta warga prihatin akan berdiri gagah menuntut hak. Lebih menarik adalah respons luar biasa masyarakat bukan Melayu. Ia mudah diduga terutama apabila tangkapan awal turut membabitkan aktivis bukan Melayu, termasuk membabitkan pemimpin KeADILan dan DAP, dengan alasan "karut-marut", seperti memakai baju kuning, walaupun tanpa jenama Bersih, dan juga gotong-royong "membersihkan" kawasan perumahan!

Pemimpin Umno dan beberapa penganalis cuba menggambarkan orang Melayu diperkudakan dalam himpunan Bersih ini. Najib yang mempromosi 1Malaysia siang-malam turut terperangkap dengan idea Perkasa apabila menyerang personaliti pengerusi Bersih, S Ambiga, dengan nada perkauman yang pekat. Utusan Malaysia, RTM dan TV3 apatah lagi ... Selain itu, jarang sekali kedengaran pemimpin MCA, Gerakan dan MIC memberikan sokongan kepada sikap bebal pemimpin Umno.

Anda hanya perlu menonton klip video YouTube untuk melihat bagaimana masyarakat Malaysia pelbagai kaum berarak, khususnya di sekitar Jalan Pudu dan Menara Maybank. Ada di antara mereka bergandingan tangan sambil berbual-bual mesra. Mendengar gema slogan "Bersih-Bersih" dengan pelat Cina sudah cukup meyakinkan bahawa demontrasi ini adalah cerminan kesedaran berpolitik semua bangsa yang mahukan amalan demokrasi diperteguhkan.

Pemimpin Umno dan media Melayu di bawah kawalan BN sememangnya tidak belajar daripada pengalaman perit 2008. Mereka tetap mempertahankan "tradisi memperbodohkan" bangsa sendiri. Selain jumlah kehadiran yang direndahkan sehingga 6,000 orang, logika mudah pun diketepikan. Misalnya, selepas pemimpin utama Bersih ditangkap awal-awal lagi, mereka mendakwa tiada kedengaran tuntutan 8 perkara penambahbaikan sistem pilihan raya dalam demonstrasi tersebut.

KPN turut "meracau" apabila membangkitkan slogan "Reformasi" yang lebih jelas dilaungkan demonstran berbanding "Bersih". Janganlah menyempitkan slogan "Reformasi" kepada usaha menjatuhkan pemerintah tanpa melalui proses pilihan raya. Bukankah yang dituntut Bersih secara umumnya adalah melakukan reformasi menyeluruh kepada sistem pilihan raya kita yang tempang dan pincang ini? Rupanya bukan sahaja istilah "Bersih" digeruni, malah "Reformasi" pun masih menganggu tidur pemimpin Umno. Pelik, ya?

Begitu juga dengan dakwaan bahawa Bersih langsung tidak berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum tuntutan, pada 9 Julai lalu. Ia satu pembohongan ketara. Apa yang berlaku, seperti didedahkan Sasterawan Negara, A Samad Said, bahawa rombongan mereka yang berjalan ke Istana Negara daripada Stadium Merdeka, disekat polis dan FRU yang bersenjata lengkap, pada jam 3.30 petang.

Walaupun dijelaskan bahawa wakil Agong sudahpun menunggu di istana untuk menerima memo itu, melalui temujanji yang dipersetujui pada jam 4 petang, namun pihak keselamatan mengugut akan mengambil tindakan kekerasan jika rombongan Bersih meneruskan hasrat mereka. Akhirnya ia terpaksa dibatalkan.

Seperti saya bayangkan dalam kolum sebelum ini, akhbar-akhbar harian seawal terbitan hari minggu, Ahad 10 Julai, akan mengeksploitasi demonstrasi Bersih ini bagi mengangkat kepentingan politik Umno. Harakah hanya dapat dibaca lima hari selepas itu.

Paling nyata, muka depan Berita Minggu memaparkan tajuk KL TEGANG dengan gambar besar "seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram". Mereka mahu menggambarkan demonstrasi itu menjadi tidak terkawal dan bertukar ganas; "perusuh" menggunakan senjata, botol air mineral dan batu untuk melawan polis. Lihat istilah yang digunakan -- "perusuh" -- sebelum itu agak popular dengan panggilan "pengacau".

Berita Minggu sanggup berdusta untuk memuaskan agenda politik pemiliknya. Yang digenggam penunjuk perasaan itu bukannya sebilah pisau tetapi Jalur Gemilang bersaiz kecil. Tidak terduga bagaimana pengamal media sanggup merendahkan kehormatan mereka sebegitu rupa.



Apa pun, yang lebih menarik perhatian saya adalah impak perhimpunan raksasa itu. Meskipun Pengerusi SPR tetap dengan nada angkuhnya, namun saya percaya proses pilihan raya kita akan mengalami perubahan positif selepas ini. Tuntutan 8 perkara akan diambil kira walaupun SPR semakin menunjukkan sikap keras kepalanya untuk menahan diri daripada berubah.

Campur tangan Agong tidak berhenti setakat titah khas baginda. Tanggungjawab Seri Paduka seperti dijelaskan Perkara 114(2), Perlembagaan Persekutuan akan menarik perhatian banyak pihak. Ramai yang tidak menyedari keistimewaan fungsi Agong dalam memastikan pelantikan ahli-ahli SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM.

Saya yakin keanggotaan SPR selepas ini akan diperhatikan. Sempat juga saya membelek profil pengerusi, Abdul Aziz Mohd Yusof, timbalannya Wan Ahmad Wan Omar dan ahli-ahli yang lain, iaitu Zainal Abidin Mat Said, Jamdin Buyong, Mohamad Ramji Alli, Dr P Manogran dan Christopher Wan Soo Kee. Mungkin selama ini mereka kurang dikenali walhal tanggungjawabnya cukup penting dan kritikal. Rasanya lebih ramai yang mudah menyebut nama-nama pesuruhjaya Suhakam daripada ahli-ahli SPR.

Daripada laman web SPR, dimaklumkan bahawa jawatan Abdul Aziz sebelum dilantik Pengerusi SPR ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Manakala Wan Ahmad pernah memegang posisi paling strategik di SPR sendiri iaitu sebagai setiausaha, dan lebih menarik ia berlaku pada 1998-2004, iaitu tempoh yang cukup rumit buat Umno. Persempadan semula kawasan pilihan raya dikatakan tugas terpenting Wan Ahmad, begitu juga dengan senarai pemilih pilihan raya 2004. Sebelum itu beliau banyak terlibat di bahagian keselamatan dan politik, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan Zainal Abidin sebelum dilantik ke SPR adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Jamdin pula pernah menjadi Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sabah. Mohd Ramji merupakan bekas Pengarah Kemas Negeri Sarawak pada tahun 2004. Dr P Manogran adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (2004-2006), manakala Christopher pernah memegang jawatan Ketua Cawangan Khas (SB) Kuala Lumpur (2002-2005) dan jawatan terakhirnya sebelum dilantik ahli SPR adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Secara peribadi saya melihat latar belakang semua ahli-ahli SPR itu "tidak cukup kuat dan meyakinkan", malah "meragukan". Masih ramai tokoh masyarakat yang dihormati dan berwibawa, yang boleh disandarkan amanah berat menerajui SPR; tidak semestinya bekas pegawai kanan kerajaan yang dilihat begitu dekat dengan parti oemerintah.

Pada hemat saya, keahlian SPR perlu dirombak segera, bagi mendapatkan kembali kepercayaan umum kepada institusi yang cukup penting dalam sistem demokrasi itu, dan Agong mempunyai kuasa untuk berbuat demikian menurut peruntukan Perlembagaan.

Demo 9 Julai sudah berlalu. Namun menonton berita TV jam 8 malam tadi (12 Julai) dan menatap akhbar-akhbar harian, isu Bersih ini dijangka tidak mudah reda sebaliknya boleh menimbulkan gelombang baru.

Apa pun saya masih teringat pandangan seorang pelancong yang berselisih ketika saya termengah-mengah berjalan pantas selepas turut dikejar polis (mungkin mereka tidak tergamak menahan seorang yang uzur bertongkat) menuju Hotel Midah: "Selalunya pelancong lebih takutkan lagak penunjuk perasaan, tapi di sini kita lebih bimbang dengan aksi ganas pihak polis."

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code