Peserta BERSIH: Polis ancam nak bunuh saya
Beberapa peserta perhimpunan BERSIH menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat dakwaan keganasan polis yang dialami mereka semasa perhimpunan itu Sabtu lalu.
Diketua ahli jawatankuasa pemandu BERSIh 2.0, Maria Chin Abdullah, kira-kira 30 peserta menyerahkan memorandum kepada timbalan pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee di ibupejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum menyerahkan memorandum tersebut, empat peserta mengimbas kembali pengalaman traumatik mereka dengan pihak polis pada hari berkenaan.
Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.
Menurutnya, dia kemudiannya ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa,sedang berdiri di atas jalan.
Berikutan itu, dia meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun.
Sebaliknya, kata beliau, anggota FRU menyerbu ke arahnya. Manakala sepupunya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap.
Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap, dan mencederakan dahinya (atas) dan tangan (bawah).
Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak Hii Tiong Huat, yang ditahan sehari sebelum perhimpunan tersebut, dan anak serta anak saudara Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas ditangkap pada hari Sabtu.
Pemuda PAS seru mangsa, saksi adu keganasan polis
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru semua mangsa dan saksi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Dalam satu kenyataan hari ini ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata dewan itu menyokong penuh keputusan Suhakam mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis itu.
"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pendirian yang dikeluarkan oleh pihak Suhakam dalam menentang keganasan yang dilakukan ke atas sebilangan rakyat Malaysia.
"Dewan Pemuda PAS juga meminta untuk sekalian mangsa dan saksi keganasan polis pada 9 Julai baru-baru ini untuk kita tampil bersama memberikan keterangan kepada pihak Suhakam," katanya.
Ianya juga selaras dengan seruan pesuruhjaya Mohd Sha’ani Abdullah yang mahu semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham).
Mohd Sha’ani sebelum ini juga mendakwa penangkapan yang dilakukan ke atas peserta himpunan aman dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) adalah satu bentuk pencabulan.
Beliau juga dilapor berkata, tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan Bersih 2.0 juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.
"Rakyat perlu bersuara apabila berlaku pencabulan ke atas hak asasi mereka. Keganasan dan ketidak adilan yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa perlu dibongkarkan supaya masyarakat lain dapat melihat realiti demokrasi yang ada di dalam negara kita," kata Nasrudin.
0 comments:
Catat Ulasan