Pendekatan kerajaan Barisan Nasional menangani perhimpunan BERSIH 2.0 semakin sukar untuk dipertahankan, malah mereka yang berada dalam MCA sendiri. Ketika ditanya berkali-kali oleh DJ sama ada dirinya menerima cara kerajaan BN menangani isu BERSIH 2.0, seorang blogger MCA terpaksa memberi jawapan "kurang meyakinkan".
Blogger MCA yang bernama Lau Key Kok ini mengakui bahawa BERSIH 2.0 mungkin tidak berpuas hati dengan cara pihak kerajaan sebelum ini, ketika menangani tuntutan mereka untuk reformasi sistem pilihan raya. Tuntutan tersebut telah dikemukakan sejak beberapa tahun yang lalu, namun mungkin tidak dilayan dengan sebaiknya.
ngacara rancangan, Jamaluddin Ibrahim (gambar kanan) melontarkan soalan kepada Lau Key Kok, sama ada dirinya yakin dengan cara kerajaan. "Bergantung kepada aspek mana? Seandainya dikatakan pelaksanaan, maka ada sedikit sebanyak tidak berpuas hati. Seandainya dikatakan dari aspek dasar, saya rasa tiada masalah besar," Key Kok cuba memberi jawapan yang agak kabur.
Jamaluddin Ibrahim terus mendesak, sama ada Lau Key Kok yakin dengan cara kerajaan menangani isu BERSIH 2.0. Beliau menjadi serta salah, dan tergelak pahit, "Agak sukar untuk menjawab..."
Key Kok menambah, "Pada hakikatnya, untuk saya, jikalau saya tidak berada dalam mana-mana parti politik, saya rasa perkara ini... masih kekurangan sesuatu yang meyakinkan orang ramai," jawabnya.
Pimpinan MCA sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan disiplin akan diambil ke atas ahli yang menyertai Perhimpunan BERSIH 2.0.
Tian Chua menyanggah hujah jejaskan ekonomi
Demikianlah perbualan dalam rancangan "Soaring Pegasus", Durian FM pada pagi ini. Naib Presiden PKR merangkap ahli parlimen Batu, Tian Chua diundang ke rancangan untuk membincangkan isu perhimpunan BERSIH 2.0, yang bakal berlangsung pada 9 Julai 2011. Tian Chua juga tersenarai sebagai antara individu yang dihalang menghampiri beberapa kawasan komersial dalam wilayah Kuala Lumpur pada 9 Julai, menurut perintah larangan majistret.
KeyKok membangkitkan hujah bahawa "demonstrasi jalanan bakal menimbulkan ketakutan pelabur, lantas menjejaskan ekonomi negara". Ketika menyanggah hujah sebegini, Tian Chua sebaliknya menuding jari kepada pendekatan polis mengendalikan perhimpunan jalanan. Tian berkata, situasi perhimpunan tidak berbeza dengan Marathon, di mana polis juga menyekat jalan utama untuk perjalanan acara tersebut.
Malah, Tian Chua berkata, seandainya polis tidak menyuraikan perhimpunan dengan gas pemedih mata, meriam air berkimia, maka 300,000 orang yang masuk ke kawasan Kuala Lumpur bakal menambah pendapatan peniaga tempatan. Beliau membuat perhitungan seandainya setiap orang memberi tiga botol air mineral, maka peniaga di Kuala Lumpur akan memperolehi pendapatan RM1 juta dalam sehari. "Itu belum kira nasi lemak, tambang pengangkutan dan sebagainya," selorohnya.
Tian Chua menyindir, apakah Menteri Pelancongan Malaysia Ng Yen Yen yang membuat promosi di seluruh dunia, mampu untuk membawa 300,000 orang ke Kuala Lumpur dalam sehari?
Kek Kok adalah bekas setiausha akhbar Ng Yen Yen. Kek Kok cuba membangkitkan hujah bahawa isu BERSIH 2.0 telah "dipolitikkan". Secara terus-terang Tian Chua berkata, "Kedua-dua orang kita bukan hari pertama menceburi bidang politik. Sebagai parti politik, kita semestinya akan menjuarai isu yang menyentuh hati rakyat."
Tian menambah, isu penyelewengan sistem pilihan raya telah menjadi isu yang menarik hati rakyat. Malah beliau berkata, Pakatan Rakyat berkemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan BN, meskipun terpaksa melalui sistem pilihan raya yang tidak memihak kepada PR.
Namun, beliau berkata, seandainya PR berkuasa dalam keadaan sistem pilihan raya yang tidak dibersihkan, maka ada kemungkinan bahawa PR juga akan menggunakan sistem ini untuk mengukuhkan kuasa pada hari-hari yang akan datang. Dan apabila keadaan ini berlaku, apakah asas moral BN untuk mempertikaikannya pada masa depan?
Tian Chua menganggap senario sebegitu harus dielakkan, dan tidak diingini rakyat Malaysia yang mendokong demokrasi dan keadilan. Justeru itu, beliau berkata adalah lebih baik sistem pilihan raya dibersihkan pada ketika ini, supaya semua parti politik mampu bertanding di gelanggang yang rata dan adil pada masa yang akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan