Rabu, 13 Julai 2011

Bersih 2.0: Abim gesa semua pihak mula rundingan kaji tuntutuan

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Susulan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan dikemukakan oleh gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan menuntut pembaharuan pilihan raya.

Presiden Abim Dr Muhamad Razak Idris berkata berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu lapan tuntutan, pihaknya beranggapan tuntutan-tuntutan dikemukakan wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

“Bagi tujuan tersebut, Abim ingin menyeru pihak SPR dan Bersih 2.0 meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Muhamad menambah, jika terdapat sebahagian daripada tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Kata beliau lagi, dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif.

“Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihan raya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri,” kata Muhamad lagi.

Sebagaimana sedia diketahui, kata beliau, amalan pilihan raya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperoleh.

“Ini secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak,” katanya lagi.

Muhamad menegaskan kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara.

Semalam, PAS berkata sekiranya tuntutan Bersih 2.0 tidak dipenuhi mereka tidak menolak kemungkinan mengadakan satu lagi perhimpunan yang dikenali sebagai Bersih 3.0.

Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007.

Mengikut laporan satu akhbar semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya sudah serik untuk berbincang dengan Bersih 2.0.


Source: http://www.themalaysianinsider.com

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code