TELUK INTAN: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah yang berlaku kepada sepasang suami isteri yang sering membawa dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun untuk mencuri pelbagai barangan di pusat beli-belah dan kedai sekitar negeri ini, sebelum ditahan selepas mencuri dua telefon bimbit seorang kerani di Taman Ros di sini, Selasa lalu. Pasangan terbabit yang begitu licik menjalankan kegiatan mereka berjaya meloloskan diri daripada buruan polis kerana sering berpindah randah. Modus operandi suspek adalah pergi ke premis perniagaan yang tiada pelanggan sebelum si bapa atau ibu berpura-pura bertanya harga sesuatu barangan dan kemudian bertengkar dengan peniaga berkenaan.
Pada masa sama seorang daripada mereka mengajak dua anak kecil masing-masing seorang lelaki dan perempuan mencuri barangan di kedai itu sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pasangan itu yang masing-masing berusia 29 tahun turut diburu polis Sungai Siput, Tapah dan Sitiawan kerana pelbagai kesalahan termasuk kes curi motosikal.
Beliau berkata, pasangan itu diberkas ketika menunggang motosikal curi di Jalan Sungai Manik di sini, ketika melarikan diri selepas mencuri dua telefon bimbit milik seorang kerani syarikat insurans di Taman Ros.
Katanya, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku terbabit dalam beberapa kes mencuri di beberapa pusat beli-belah dan kedai di sekitar Teluk Intan.
“Polis kemudian merampas pelbagai barangan curi termasuk telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan kamera yang disembunyikan di dua rumah iaitu di Taman Fajar dan Jalan Perak di Taman Malaysia.
"Siasatan mendapati pasangan itu bersama dua anak mereka terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes curi di sekitar Teluk Intan sejak dua bulan lalu.
"Siasatan juga mendapati motosikal dinaiki pasangan itu turut dilaporkan dicuri di Sitiawan. Lelaki terbabit mempunyai beberapa kes jenayah lampau dan masih menjadi buruan polis Tapah, Sungai Siput dan Sitiawan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Rabu, 13 Julai 2011
Bapa, ibu ‘ketua’ pencuri anak beranak
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan