Selasa, 12 Julai 2011

Apa beza sosialis dan komunis?



PKM adalah Parti Komunis Malaya yang telah ditubuhkan pada tahun 1930 sebagai sebahagian daripada Comintern (Komunis Antarabangsa).
PKM telah berjuang menentang penjajahan Jepun sebagai MPAJA dan kemudian menentang penjajahan British dan menuntut kemerdekaan. PKM adalah parti pertama dalam negara yang menuntut kemerdekaan dari British.

Mereka akhirnya meletakkan senjata dan membuat perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989 dan hari ini tidak lagi wujud sebagai sebuah parti yang aktif.

PSM pula memohon untuk pendaftaran pada tahun 1998 dan berideologi sosialis. Setelah sebelas tahun berjuang, akhirnya PSM mendapat kelulusan pendaftaran parti pada tahun 2008. PSM pula mendaftar untuk melibatkan diri dalam proses pilihan raya dan telah bertanding dalam tiga pilihan raya setakat ini.

Benarkah PSM hidupkan fahaman komunis?

Perjuangan PSM berlandaskan ideologi sosialisme dan bukannya komunisme.

Sosialisme adalah sistem ideologi yang mengatakan sumber kekayaan negara mesti dimiliki oleh awam daripada sektor swasta. Program PSM mengutamakan rakyat, memastikan pengagihan kekayaan dan sumber negara secara adil dan saksama.

Antara perjuangan PSM ialah pendidikan untuk semua, kesihatan untuk semua dan segala kemudahan asas seperti air, letrik dan perumahan selesa untuk semua.

Maka, kempen-kempen yang sedang dijalankan oleh PSM ialah tuntutan Akta Gaji Minima untuk pekerja-pekerja bergaji rendah, pemansuhan GST agar tidak memiskinkan lagi rakyat, hak perumahan selesa untuk rakyat berpendapatan rendah dan peneroka bandar, hak pendidikan percuma dan kempen membantah penswastaan hospital.

PSM juga bersama kumpulan-kumpulan masyarakat madani yang berjuang untuk hak demokrasi seperti pilihanraya kerajaan tempatan, dan pilihanraya yang bersih dan adil.

Fahaman Komunis secara idealnya adalah satu tahap dimana kaum pekerja memiliki segala harta dan tidak ada sektor swasta.

Kenapa PSM mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin komunis?

Apa salahnya PSM mengiktiraf pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah menentang penjajahan British dan Jepun sehingga negara mendapat kemerdekaan.

Antara pejuang-pejuang ini Abdullah CD, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Suriani, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Chin Peng yang mewakili organisasi-organisasi seperti PKMM, API, AWAS dan PKM.

Malah sejarah juga membuktikan bahawa selepas perjanjian perdamaian ditandatangani antara kerajaan Malaysia (IGP Hanif Omar) dan Parti Komunis Malaya (Chin Peng & Rashid Maidin) pada tahun 1989, peranan yang dimainkan oleh PKM dalam perjuangan kemerdekaan negara telah diiktiraf. Suriani dan Abdulah CD juga telah diperkenan oleh DYMM Sultan Azlan Shah pada tahun 1998.

Mereka bercakap lebih dua jam, malah Permaisuri sendiri tertarik dengan cerita perjuangan pejuang-pejuang ini!

Sepatutnya kerajaan Umno-BN (dulu Perikatan) patut dipersoalkan kenapa mereka mengenepikan sumbangan pejuang-pejuang kiri kemerdekaan tanah air dalam Buku-Buku sejarah kurikulum akademik masa kini.

Kenapa Umno-BN menyeleweng dari sejarah sebenar? Adakah disebabkan UMNO mendapat
kemerdekaan kerana bersekongkol dengan British?

Pakar-pakar sejarah juga telah mengakui bahawa sejarah Malaysia harus ditulis semula.

Sejak bila T'shirt Chin Peng dan Rashid Maidin menjadi senjata untuk melancarkan perang ke atas Yang di Pertuan Agung?

Kenapa perlu PSM berjuang selama 10 tahun untuk pendaftaran selepas lebih 20 tahun bekerja di bawah NGO? Kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohammad mencabar rakyat Malaysia untuk bertanding dalam pilihan raya jika tak puas hati.

PSM membuat permohonan pendaftaran pada 30 April 1998. Sejak itu hingga PSM didaftarkan pada August 2008 dan sehingga hari ini, segala aktiviti-aktiviti PSM adalah secara terbuka dan diketahui oleh semua pihak

Sejak tahun 1999, PSM telah ambil bahagian dalam sistem pilihanraya di mana calon PSM telah bertanding dalam pilihanraya di bawah tiket DAP dan PKR oleh kerana PSM masih belum di daftar.

Semua aktivis-aktivis PSM dan pemimpin-pemimpinnya memang diketahui umum termasuk pihak polis. Pemimpin-pemimpin PSM selalu di 'front line' dalam semua isu rakyat seperti isu kenaikan harga barang, masalah pengusiran paksa, isu akta gaji minima, protes GST dan penswastaan hospital.

Jangan memperkudakan PSM. Terbukti sudah paranoia BN apabila Buku Kartun Zunar, T'shirt Rashid Maidin dan kini sajak sasterawan negara dikatakan anti-kerajaan dan hasutan !

Kalau T-shirt pemimpin komunis antarabangsa seperti Che Guevara, Mao Tse Tung, Ho Chi Ming dan lain-lain dapat dipakai secara bebas, mengapa pula T-shirt komunis tanahair tidak boleh dipakai ?

PSM menggunakan BERSIH untuk menjatuhkan kerajaan dan mempropagandakan ideologi komunis?

BERSIH adalah usaha bersama masyarakat madani (NGO-NGO) di negara ini dan Perhimpunan BERSIH adalah untuk mendesak kerajaan untuk reform proses pilihanraya dan bukannya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Tuntutan-tuntutan ini adalah bertujuan untuk pilihanraya bersih dan adil. Jika berlaku pertukaran kerajaan, ia adalah melalui pilihanraya bersih dan adil. PSM menyokong tuntutan-tuntutan BERSIH seperti mana parti-parti PAS, DAP dan PKR kecuali parti-parti di bawah BN, PERKASA dan 'katak-katak' lain.

Usaha NGO-NGO ini turut menerima sokongan majoriti rakyat. Kita semua tahu itulah punca kenapa kerajaan BN-Umno sekarang bertindak tidak tentu arah dan mahu menangkap semua yang memakai baju kuning dan mengedarkan risalah kuning. Warna Diraja juga kuning, apakah ini bermaksud kita boleh menuduh kerajaan Umno-BN anti-monarki?

Bukankah propaganda anti-kerajaan PSM boleh mengancam keselamatan negara?

PSM adalah satu badan politik yang berideologikan sosialisme dan perjuangan PSM adalah seperti mana yang di katakan di atas (1) iaitu berjuang untuk memastikan rakyat tidak ditindas dan dieksploit oleh segelintir yang kaya dan berkuasa.

Sebagai parti politik, PSM berhak membuat kempen pilihanraya seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan BN sendiri yang membuat kerja-kerja kempen dan propagandanya sepanjang tahun dan selama-lamanya.

Seperti mana juga PKR, PAS, DAP dan parti-parti lain, PSM juga membuat kempen

BN kata 'Rakyat di dahulukan dan pencapaian diutamakan' tapi polisi-polisi dan undang-undang yang dibuat membuktikan sebaliknya dan PSM menentang dan mendedahkan segala polisi-polisi kerajaan yang anti-rakyat, menindas dan mengeksploitasi rakyat – apa salahnya?

Maka PSM membuat kempen “udahlah itu...bersaralah ”. Tapi Umno-BN yang paronoid menuduh ini adalah sebahagian kempen BERSIH

PSM memiliki bahan-bahan berunsur komunis spt T shirt.

Era perang dingin telah berlalu dan semua bahan-bahan zaman itu seperti memoir sedia didapati dipasaran dan boleh dibeli mana-mana sahaja. Ia sudah menjadi bahan 'fashionable'.

Di seluruh dunia kita boleh dapat T shirt, selipar, key chain dan bermacam-macam lagi dengan gambar-gambar pemimpin-pemimpin dunia Lenin, Chandra Bose, Martin Lurther King, Ho Chin
Minh, Che Guevara, simbol tukul dan sabit komunis serta simbol bintang .

Adakah ini bermaksud mereka yang memakai semua ini juga berfahaman komunis?

T-shirt ini dan juga T-shirt Chin Peng, Suriani memang boleh dibeli dari pelbagai tempat seperti Chow Kit, Petaling Street dan sebagainya. Kerajaan Umno-BN sudah paranoia sehingga citarasa rakyat pun mahu di kongkong!

Kalau kerajaan Umno-BN begitu anti-komunis, kenapa mahu ada hubungan dengan kerajaan-kerajaan komunis?

Bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah melawat Pemimpim Parti Komunis China Mao Tse Tung pada tahun 1974 dan tahukah anda gambar (foto) perjumpaan ini pula telah digunakan semasa pelancaran Barisan Nasional!

Lawatan ke negara komunis Cuba oleh Mahathir dan lawatan Fidel Castro ke Malaysia. Kenapa Petronas dan lain-lain kumpulan kapitalis membuka pernigaan di negara-negara komunis seperti Vietnam?

Akhir kata PSM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PDRM dan KDN kerana telah mempopularkan PSM di kalangan rakyat Malaysia dan sekali gus memberikan peluang kepada kita mendidik rakyat tentang apakah berbezaan antara PSM dan PKM dan sosialis dan komunis.

Penulis adalah setiausaha agung PSM


Source: http://www.malaysiakini.com

0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code