Fukushima malapetaka terburuk dalam sejarah
WASHINGTON: Pakar sains percaya bencana nuklear Jepun sebenarnya lebih teruk daripada apa yang didedahkan untuk pengetahuan umum dan lebih serius dibandingkan krisis loji Chernobyl, Ukraine, lebih dua dekad lalu.
Gempa bumi pada tahap magnitud 9 pada 11 Mac lalu disusuli tsunami melumpuhkan sistem penyejukan di loji nuklear Fukushima diikuti beberapa letupan hidrogen dan reaktornya lebur hingga memaksa penduduk yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer dari loji itu dipindahkan.
Ibu Pejabat Tindakan Kecemasan Nuklear Jepun mengakui awal bulan ini bahawa reaktor 1, 2 dan 3 loji Fukushima lebur sepenuhnya.
Syarikat Elektrik Tokyo (TEPCO) yang bertanggungjawab atas reaktor itu turut mengumumkan ‘kemalangan’ itu mungkin melepaskan lebih banyak bahan radioaktif ke alam sekitar berbanding Chernobyl sekali gus menjadikannya bencana terburuk nuklear dunia setakat ini.
Ketika diwawancara stesen Al Jazeera, seorang pakar nuklear, Arnold Gundersen, berkata: “Fukushima adalah bencana industri terbesar dalam sejarah manusia.”
Beliau percaya, lebih banyak teras reaktor di loji nuklear Fukushima melepaskan radiasi daripada apa yang diketahui umum.
Gundersen mempunyai pengalaman kejuruteraan kuasa nuklear selama 39 tahun dan pernah mengurus serta menyelaras projek di 70 loji kuasa nuklear seluruh Amerika Syarikat.
TEPCO menyembur air ke beberapa reaktor dan teras bahan api nuklear loji itu tetapi ia hanya membawa lebih banyak masalah termasuk radiasi dilepaskan ke udara dan air laut termasuk beribu-ribu tan air laut dicemari radioaktif yang perlu dibuang.
Baru-baru ini, TEPCO mendedahkan rancangan baru membersihkan air yang mengandungi radioaktif tetapi menangguhkannya kerana masalah teknikal yang bermakna proses menyejukkan reaktor Fukushima belum bermula.
“Masalahnya ialah bagaimana menyejukkannya. Mereka curah air tetapi bagaimanakah mereka dapat buang mendapan radioaktif yang dihasilkan serta mengandungi plutonium dan uranium? Di mana mereka boleh simpan air itu?
“Sebanyak 20 teras nuklear terdedah (dan melepaskan radiasi), itu bermakna ia berpotensi 20 kali ganda lebih buruk kesannya berbanding Chernobyl.
“Anda tidak mungkin dapat bersihkannya. Kita masih kesan radiasi pada babi hutan di Jerman, 30 tahun selepas Chernobyl berlaku,” kata Gundersen.
Di Tokyo, kebimbangan meningkat selepas penduduk diberi amaran supaya tidak memberi air paip kepada bayi mereka kerana kebocoran radiasi di Fukushima.
Meskipun amaran itu kemudian ditarik balik, kadar radiasi dalam produk ladang termasuk daun teh di kawasan lebih jauh dari Fukushima, melebihi had ditetapkan.
Tinjauan terbaru mengesan radiasi satu meter di atas tanah di sebuah taman di Tokyo mencapai 0.06 mikrosievert sejam.
Saintis lain yang memantau ‘kawasan panas’ radioaktif di sekitar Jepun dan tempat lain turut bimbang, lebih-lebih lagi selepas seorang penasihat kerajaan Jepun melaporkan kawasan seluas 966 kilometer persegi, 17 kali ganda saiz Manhattan, mungkin tidak sesuai untuk didiami.
Dua pakar perubatan kanan Amerika, Janette Sherman dan Joseph Mangano menyiarkan artikel mengenai peningkatan 35 peratus kematian bayi di lapan bandar di barat laut Amerika yang mungkin disebabkan radiasi Fukushima.
Bandar itu termasuk San Jose, Berkeley, San Francisco, Sacramento, Santa Cruz, Portland, Seattle dan Boise. Gundersen berkata, radiasi yang dilepaskan sebenarnya lebih banyak hingga sampai ke bandar di Amerika.
Paling bahaya ialah ‘partikel panas’ membabitkan pembebasan isotop caesium, strontium dan plutonium.
“Kami temui partikel panas di semua tempat di Jepun, termasuk Tokyo. Ramai menghidunya kerana ia memasuki penapis udara enjin kenderaan.
“Partikel itu akan melekat pada paru-paru dan akan sentiasa memberi masalah. Sebatang rokok yang dihisap tidak bahaya kerana memakan masa lama. Partikel panas itu boleh menyebabkan kanser dan ia tidak dapat diukur menggunakan alat Geiger,” katanya. – Agensi
Source: BURITa ALIAn
0 comments:
Catat Ulasan