Ahad, 19 Jun 2011

KEMBALIKAN SISTEM BERAJA SEBAGAI ALTERNATIF KEPIMPINAN MALAYSIA


Suatu alternatif jelas yang mungkin boleh membawa keamanan dan kedamaian akibat perebutan kuasa politik di Malaysia dan penguasaan mutlak atau berpusat, kuasa PM dan Peguam Negara. Adalah lebih baik jika rakyat Malaysia mengesyorkan disentralisasi kuasa tersebut dan mengembalikannya kepada Majlis Raja-Raja untuk mentadbir negara ini sebagaimana sebelumnya, iaitu semasa mula-mula Tanah Melayu ditadbir sebagai sebagai sebuah negara. Polemik politik yang tidak berkesudahan dan perebutan kuasa termasuk dalam parti-parti yang bertanding sendiri sudah cukup menggambarkan kecelaruan politik negara ini.

Kebijakan pengurusan pentadbiran negara semakin merosot dengan pelbagai beban dan pendapatan yang tidak seimbang dalam kalangan rakyat jelata amat jelas menunjukkan pergolakan yang tidak berkesudahan dari tahun ke tahun.

Rakyat yang diasuh di bawah satu bendera parti politik dan dibesarkan dengan membawa lambang parti itu sehingga ke anak cucu, malah sehingga mati. Dengan terang merujuk kepada kehidupan di Malaysia ini sebagai berpuak-puak. Parti politik yang bukan mengheret ke arah suatu penyatuan dan perpaduan juga dilihat sebagai suatu ancaman besar kepada kestabilan dan keamanan negara ini. Jika semua ini berterusan, maka adalah lebih baik jika rakyat hanya diletakkan di bawah satu payung sahaja: iaitu di bawah panji-panji duli tuanku.

Adalah terlebih aman dan tenang andai negara ini yang mempunyai raja di setiap negeri yang beraja diambil alih semula oleh raja untuk mentadbir negerinya sendiri. Dengan demikian barulah isu perebutan kuasa dan perpecahan dalam kalangan rakyat negara ini yang berakibatkan PARTI POLITIK TERHAPUS. Biar semuanya berjalan seperti dulu dengan pembaharuan-pembaharuan yang lebih ideal dan strategik. Sekurang-kurangnya negara akan berjimat lebih 50 peratus dari sistem yang sedia ada, kerana YB, PM dan sebagainya tidak perlu lagi dibayar gaji mereka.

Ku Li: Gugur pemusatan kuasa di tangan PM, Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.

Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.

“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.

“Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.

“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).

“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.

Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.

Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.

“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.

Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.

“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,” katanya.

Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.

“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.

Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.

“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.

“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau. -TMI


0 comments:

Next Previous Home
hostgator coupon code