Jumaat, 19 April 2013

POLITIKUS MAKAN MAGGI DALAM KAIN SELIMUT!

KERANA TAKUT DIMINTA OLEH ORANG LAIN, NAJIB SANGGUP CURI-CURI MAKAN MAGGI DALAM KAIN SELIMUT. TANPA SEDAR AROMA MAGGI ITU TETAP BERBAU, SIKAP TAMAK DAN 'KEDEKUT MODAL' INI SERING DIAMALKAN DALAM POLITIK UMNO DEMI KEJAR KUASA. UMNO SANGGUP MENCURI DALAM POKET ORANG LAIN, SANGGUP MAKAN SENDIRI, SANGGUP SELIMUT DIRI TAPI DALAM SELIMUT TERBONGKOK-BONGKOK MAKAN MAGGI, DENGAN SUDU MASIH DI MULUT.

Ternyata pelbagai perkara yang menggemparkan dan melibatkan kaum India berlaku di negara ini sejak belakangan ini. Apa-apa yang berlaku adalah lebih menarik berbanding plot filem dan drama bersiri Tamil dari India.

Dalam perkembangan terbaru yang boleh disimpulkan sebagai “sleeping with the enemy”, Barisan Nasional (BN) yang dikemudi Umno sudah bersekutu secara rasmi dengan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan P Waythamoorthy.

Harus dijelaskan bahawa Hindraf ini adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tiba-tiba diluluskan pendaftarannya pada 8 Mac 2013, iaitu dua hari sebelum Waythamoorthy memulakan mogok lapar sebagai usaha mendesak/memujuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menerima pelan tindakan khas bagi kaum India yang dikemukakannya.

Berita mengenai pendaftaran Hindraf sebagai sebuah NGO hanya diketahui melalui laporan di portal berita dalam talian seperti Free Malaysia Today pada 13 April 2013. Jika tidak didedahkan, mungkin kita masih beranggapan Hindraf (2013) yang pro-BN sama dengan Hindraf (2006) yang bercita-cita menumbangkan BN/Umno.

Pendedahan itu juga sebenarnya amat penting supaya orang ramai – khasnya kaum India – tidak terkeliru dengan penggunaan nama “Hindraf” oleh sebuah lagi parti politik iaitu Parti Hak Asasi atau Human Rights Party (HRP) yang belum diluluskan pendaftarannya.

Seperti diakui menerusi laman sesawang rasmi HRP, pertubuhan itu yang diketuai P Uthayakumar – abang kepada Waythamoorthy – telah berusaha mengemukakan pelan tindakan khas bagi “kaum India miskin” kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apabila cadangan serta permintaan supaya Pakatan Rakyat (PR) memberi sejumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi oleh HRP ditolak, maka pada 4 April 2013, HRP mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.

Saya turut menerima risalah yang diedarkan oleh HRP dalam kempen “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”. Dalam risalah itu dinyatakan secara terang-terangan supaya “Jangan Undi BN” – termasuk dalam Bahasa Tamil. HRP mula meludah PR; sambil masih mengharapkan/merayu diberi peluang bertanding sebagai calon PR.

Secara logik, Hindraf dan HRP adalah dua entiti (pertubuhan) yang berbeza: Hindraf adalah sebuah NGO berdaftar manakala HRP adalah parti politik yang belum diluluskan pendaftaran. Tentulah tidak wajar HRP “menyalah gunakan” nama Hindraf sehingga mampu mengelirukan orang ramai; khususnya pengundi kaum India menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sementara itu, satu lagi kejutan besar yang diterima masyarakat pelbagai kaum adalah apabila pada 16 April 2013, Najib dengan bangganya mengumumkan pemilihan Zulkifli Noordin sebagai “rakan BN” untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Shah Alam.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa sementara masyarakat awam (pelbagai kaum) meluahkan rasa tidak puas hati menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook sebagai membantah pemilihan lelaki rasis, etnosentrik, fanatik dan ultra kiasu itu, tidak ada seorang pun pemimpin MIC serta calon MIC yang cukup “jantan” untuk tampil membantah pemilihan itu.

Hanya pada keesokan hari, Ketua Publisiti dan Perhubungan MIC, Vell Paari mula bersuara menerusi portal berita dalam talian, sementara para pemimpin MIC yang kononnya “pembela maruah kaum India” terus kekal sebagai orang dayus dan bisu. Mungkin terlalu sibuk berkempen di kawasan masing-masing.

Umno, Hindraf berkongsi bantal, selimut

Sebelum ini, apabila Rindhuan Tee Abdullah menghina agama Hindu dan penganut agama Hindu menerusi sebuah rencana di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013), Vell Paari tampil memberi tempoh dua minggu kepada kerajaan (baca: BN/Umno) mengambil tindakan terhadap lelaki ultra kiasu itu.

Jika tidak ada tindakan diambil dalam masa dua minggu, anak kepada Datuk Seri S Samy Vellu itu “mengugut” akan mengetuai gerakan menggesa orang ramai tidak mengundi mana-mana calon BN dalam PRU-13.

Tempoh “dua minggu” sudah menjadi “dua bulan” tetapi nampak gayanya Vell Paari masih setia bersama MIC dan BN. Cuma, dalam perkembangan terbaru, dia tiba-tiba muncul kembali untuk memberi amaran bahawa tindakan meletakkan Zulkifli sebagai calon BN akan menyebabkan BN kalah di Selangor.

Usah terkejut jika Vell Paari sekali lagi memberikan tempoh “dua minggu” kepada BN untuk menyingkirkan Zulkifli daripada senarai calon – walaupun seluruh negara tahu bahawa tarikh penamaan calon adalah pada hari esok (20 April 2013) dan tarikh mengundi pula dalam masa “dua minggu” (5 Mei 2013).

Sehingga makalah ini ditulis, belum ada mana-mana calon MIC yang menyuarakan bantahan terhadap pencalonan Zulkifli. Tindakan paling besar yang berlaku hanyalah seorang rakan saya yang merupakan calon MIC bagi satu kerusi DUN di Perak bertindak menyekat (“block”) saya dalam Facebook selepas yang menghantar mesej peribadi bertanya pandangannya mengenai tindakan Najib memilih Zulkifli.

Kini, secara logik, sementara Umno “berkongsi bantal dan selimut” bersama musuh lamanya iaitu Hindraf, MIC pula perlu melakukan perkara sama bersama-sama pemimpin Perkasa yang secara terang-terangan menghina kaum India dan agama Hindu.

Tentu sahaja tidak akan ada mana-mana pemimpin, pengikut, penyokong dan juak-juak dalam MIC yang berani membantah pencalonan Zulkifli. Sebaliknya, mereka terpaksa memuji-muji dan memuja-muja lelaki ultra kiasu itu sebagai calon terbaik bagi para pengundi pelbagai kaum di Parlimen Shah Alam.

Jangan terkejut jika MIC, NGO India dan jawatankuasa kuil tertentu mengundang Zulkifli ke upacara sembahyang khas di kuil serta mengkalungkannya dengan malai gergasi mengatasi malai yang pernah dikalungkan kepada Najib dan isterinya yang anggun di Batu Caves sebelum ini.

Pada masa sama, memandangkan Najib (Umno) “tidur sebantal dan seselimut” dengan Waythamoorthy (Hindraf), tentulah sekali lagi pemimpin dan juak-juak MIC terpaksa melakukan perkara sama. Sejak kebangkitan Hindraf (sebagai suatu gerakan; bukan sebagai NGO) pada 2007, MIC terpaksa menjadi musuh kepada Hindraf kerana akur pada arahan tuan (Umno). Apatah lagi kerana MIC sentiasa mendabik dada mahu kekal menjadi satu-satunya entiti yang layak dan berhak mewakili kaum India dalam kerajaan.

Kini, para pemimpin MIC (khasnya presiden, Palanivel dan naib presiden, M Saravanan yang hadir semasa MoU) terpaksa berjabat tangan serta berpeluk-pelukan dengan para pemimpin Hindraf. Pengikut, penyokong dan juak-juak dalam MIC terpaksa mengaku bahawa ahli Hindraf (NGO pimpinan Waythamoorthy) adalah “saudara kandung”.

Di pihak Hindraf pula, sebagai sekutu kepada BN/Umno, tentulah Waythamoorthy akan meminta para pengikut dan penyokongnya melupakan kenangan pahit dan pedih diperlakukan serta dihina seperti anjing kurap di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain pada 25 November 2007.

Politikus sanggup jilat kembali ludah

Orang Hindraf juga akan diwajibkan tampil berkempen bagi calon-calon BN/Umno/MIC. Malah, selepas memorandun persefahaman (MoU) ditandatangani bersama setiausaha agung Umno di dewan SJKT Vivekananda, Brickfields pada 18 April 2013, Waythamoorthy sudah mula merayu supaya kaum India kembali menyokong BN.

Pada pendapatnya, hanya BN (baca: Umno) boleh menjaga kebajikan kaum India di negara bertuah ini dan pengundi kaum India perlu memastikan BN menang majoriti dua per tiga dalam PRU-13. Demikianlah perkembangan plot drama politik tanah air yang mengatasi kehebatan drama bersiri Tamil di stesen televisyen berbayar!



Keputusan Waythamoorthy untuk “meniduri” Najib pasti membuatkan abangnya, Uthayakumar sakit hati dan tidak mampu tidur dengan tenang. Apa tidaknya! Uthayakumar mengetuai kempen besar-besaran menggesa “kaum India miskin” di seluruh negara supaya “Jangan Undi BN” tetapi adik kesayangannya pula sudah memulakan kempen lebih besar menggesa kaum India di seluruh negara “Undilah BN”.

Lebih malang bagi Uthayakumar dan HRP kerana jika mereka masih khusyuk dan agresif membuat kempen “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen” maka mereka seolah-olah membuat kempen percuma bagi Waythamoorthy! Rugilah segala poster, sepanduk dan risalah yang disediakan oleh HRP tanpa menyedari bahawa Waythamoorthy sudah secara senyap-senyap mendaftar Hindraf sebagai sebuah NGO pada awal Mac sedangkan kempen HRP bermula secara rasmi pada awal April. Inilah yang dikatakan jatuh tangga ditimpa tangga.

Di pihak Najib pula, ternyata “Tokoh Nambikei” itu terlalu terdesak sehingga sanggup “menjilat kembali ludah”. Sebagai “upah” kepada Waythamoorthy kerana berkempen bagi pihak BN/Umno, tentulah ada “cadangan” bahawa jika BN menang majoriti dalam PRU-13, maka pemimpin Hindraf itu dilantik sebagai Senator.

Hal ini bermakna bahawa penyokong, pengikut dan juak-juak dalam HRP tidak boleh marah kerana apa yang berlaku adalah selaras dengan kempen mereka: “hantar calon Hindraf pertama ke Parlimen”. Parlimen terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Senator boleh dilantik ke Dewan Negara.

Bagaimana pula dengan harapan Uthayakumar? Secara logik, memandangkan Uthayakumar secara spesifik hanya mahukan undi “kaum India miskin”, maka mustahil dia akan mampu menang kerusi Parlimen Kota Raja. Perkara paling “besar” yang boleh dilakukannya dengan penuh jaya adalah memecah undi dan memastikan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS) kalah kepada S Murugesan (BN/MIC).

Maka, secara amat logik, kesemua wakil HRP yang bertanding sebagai calon bebas di 3 kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN di Selangor sebenarnya merupakan “rakan BN” yang membantu memastikan calon BN menang dengan cara pecah undi! Bezanya, Hindraf (pimpinan Waythamoorthy) mendapat pelbagai habuan manakala HRP (pimpinan Uthayakumar) terpaksa telan air liur sahaja.

Akhirnya, Hindraf dan HRP ternyata memang mempunyai tujuan yang sama, walaupun masing-masing menggunakan laluan yang berbeza. Wayhtamoorthy (Hindraf) memujuk pengundi kaum India mengundi calon BN. Uthayakumar (HRP) pula memujuk saki-baki pengundi kaum India memilih calon HRP supaya calon PR akan kalah. Akhirnya, BN akan kembali menguasai Selangor.

Agak menarik bahawa pada 19 April 2013, wakil HRP membuat kempen di Facebook untuk “memujuk” Anwar supaya menerima Uthayakumar bertanding di Kota Raja atas tiket PR. Aneh kerana wakil yang sama mengesahkan pada 13 April bahawa Uthayakumar sudah membayar deposit untuk bertanding di Kota Raja dan Seri Andalas “menentang” calon PR.

Nampaknya, kaum India di Selangor khasnya dan di seluruh negara amnya hanyalah seperti “kambing” dan “lembu” di mata BN, Umno, MIC, HRP dan Hindraf. Politikus terbabit boleh berbincang, berunding, tawar-menawar dan jual-beli kaum India.

Akan tetapi, mereka lupa bahawa pengundi kaum India tidak boleh diperlakukan sesuka hati atau diperbodohkan. Cukuplah segala apa yang berlaku sejak lebih 50 tahun dahulu!

Kaum India – sebagaimana rakan-rakan daripada kaum/etnik lain – menolak politik perkauman. Mereka akan bersama-sama menggunakan kuasa undi pada 5 Mei 2013 untuk menghukum “syaitan-syaitan dikenali” yang cuba memujuk dan menghasut orang ramai masuk ke pintu neraka.

PAKDOE ALLAN

0 comments:

hostgator coupon code